28.7.11

Puasa Menurut Al-Quran dan As-Sunnah

PUASA MENURUT AL-QURAN DAN AS-SUNNAH

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.

Segala pujian bagi Allah yang telah menganugerahkan kebaikan yang amat besar kepada segala hamba-Nya dengan menolakkan tipuan dan kecerdikan syaitan daripada mereka, dan menolakkan harapan dan mengecewakan sangkaan dari syaitan itu, kerana Allah telah menjadikan puasa suatu benteng dan kota pertahanan bagi segala aulia’-Nya. Dan membukakan bagi mereka dengan puasa itu segala pintu syurga.

Serta memperkenalkan kepada mereka bahawa jalan syaitan ke dalam hati segala aulia’-Nya ialah nafsu yang telah teguh kuat. Dan dengan mencegah segala hawa nafsu itu, maka jadilah jiwa yang aman tenteram, menampak keperkasaannya dalam membasmi musuhnya yang teguh cita-citanya.

Dan selawat kepada Nabi Muhammad, pemimpin segala makhluk dan yang mempersiapkan sunnah. Dan kepada kaum keluarga dan para sahabatnya yang mempunyai pandangan mata yang tembus dan akal fikiran yang kukuh kuat. Kiranya Allah mencurahkan keselamatan sebanyak-banyaknyan kepada mereka.

Kemudian dari itu, bahawa puasa itu adalah ¼ iman menurut sabda Nabi saw :

“Puasa itu separuh (daripada) kesabaran.” (Turmizi, Ibnu Majah)

Dan menurut sabdanya lagi :

“Sabar itu separuh (daripada) iman.”(Abu Na’im, sanad baik)

Kemudian, puasa itu beroleh kedudukan yang istimewa dengan disandarkan kepada Allah Ta’ala apabila dibandingkan dengan rukun-rukun Islam lainnya, kerana firman Allah Ta’ala menurut yang diceritakan Nabi saw :

“Setiap perbuatan baik itu pahalanya 10 kali sampai kepada 700 kali, selain puasa. Maka puasa itu adalah bagi-Ku dan Aku akan membalasnya.” (Bukhari, Muslim)

Allah Ta’ala berfirman :

“Sesungguhnya orang-orang yang berhati teguh (bersabar) itu akan dibayar pahalanya dengan tiada batas.” (Az-Zumar: 10)

Dan puasa itu adalah setengah (daripada) sabar. Maka pahalanya melampaui undang-undang penentuan dan penghitungan. Cukuplah bagi anda untuk mengetahui kelebihannya berdasarkan sabda Nabi saw :

“Demi Allah yang jiwaku di dalam tanganNya! Sesungguhnya bau busuk mulut orang yang berpuasa adalah lebih harum di sisi Allah daripada bau kasturi. Berfirman Allah Ta’ala : “Sesungguhnya orang yang berpuasa itu meninggalkan hawa nafsu, makanan dan minuman kerana Aku. Maka puasa itu untukKu dan Aku akan membalasnya.” (Bukhari, Muslim)

Bersabda Nabi saw :

“Syurga itu mempunyai sebuah pintu yang dinamakan Ar-Rayyan. Yang tidak memasuki pintu itu selain orang-orang yang berpuasa. Dan dijanjikan dengan menemui Allah Ta’ala pada balasan puasanya.” (Bukhari, Muslim)

Bersabda Nabi saw :

“Orang yang berpuasa itu mempunyai dua kesenangan : kesenangan ketika berbuka, dan kesenangan ketika berjumpa dengan Tuhannya.” (Bukhari, Muslim)

Bersabda Nabi saw :

“Setiap sesuatu itu mempunyai pintu. Dan pintu ibadah itu ialah puasa.”

Bersabda Nabi saw :

“Tidur orang yang berpuasa itu ibadah.”

Diriwayatkan oleh Abi Hurairah ra bahawa Nabi saw bersabda :

“Apabila masuk bulan Ramadhan, maka terbukalah segala pintu syurga dan terkuncilah segala pintu neraka dan dirantaikan segala syaitan. Dan berserulah seorang penyeru : “Wahai orang yang ingin berbuat kebajikan! Marilah kamu! Wahai orang yang ingin berbuat kejahatan! Hentikanlah kejahatan itu!” (Turmizi)

Berkata Waki tentang firman Allah Ta’ala :

“Makan dan minumlah dengan kepuasan disebabkan (amalan baik) yang telah kamu kirimkan terlebih dahulu pada hari yang lampau.” (Al-Haqqah : 24)

Adalah yang dimaksudkan dengan hari-hari yang lampau itu ialah hari-hari puasa, kerana mereka telah meninggalkan padanya makan dan minum.

Telah dikumpulkan oleh Rasulullah saw dalam tingkatan membanggakan antara zuhud di dunia dan puasa ,dengan sabdanya :

“Bahawa sesungguhnya Allah Ta’ala membanggakan kepada para malaikat-Nya dengan seorang pemuda yang banyak beribadah dengan firmanNya : “Wahai pemuda yang meninggalkan hawa nafsunya kerana-Ku, yang menyerahkan kemudaannya bagi-Ku! Engkau pada sisiKu adalah seperti sebahagian para malaikat-Ku.” (Ibnu Uda, sanad dhaif)

Bersabda Nabi saw tentang orang yang berpuasa :

“Berfirman Allah ‘Azza wa Jalla : “Lihatlah wahai para malaikat-Ku kepada hamba-Ku yang meninggalkan hawa nafsunya, kesenangannya dan makan minumnya kerana Aku.”

Ada Yang mengatakan tentang firman Allah Ta’ala :

Tidak ada seorang pun yang mengetahui cahaya mata yang disembunyikan untuk mereka, sebagai balasan atas apa yang mereka kerjakan.” (As-Sajjadah : 17)

bahawa amalan mereka itu ialah puasa. Kerana Allah berfirman : “Sesungguhnya orang-orang yang berhati teguh (sabar) itu akan dibayar cukup pahalanya dengan tiada terbatas.” (Az-Zumar : 10)

Maka dituangkan balasan bagi orang yang berpuasa, dan dilebihkan dengan kelebihan tanpa takaran (tanpa sukatan). Dan yang demikian itu tidak masuk di bawah sangkaan dan taksiran.

Maka layaklah adanya yang demikian itu, kerana puasa adalah untuk-Nya, dan itu tanda kemuliaan dengan disangkutkan (ibadah puasa itu terus) kepada-Nya, meskipun ibadah itu seluruhnya adalah untuk-Nya, sebagaimana dimuliakan sebuah rumah (Baitullah) dengan disangkutkan kepada-Nya (iaitu sebagai Rumah Allah), padahal seluruh bumi adalah kepunyaan-Nya, adalah kerana dua pengertian :

Pertama :

Bahawa puasa itu mencegahkan dan meninggalkan. Dan pada puasa itu sendiri ada rahsia. Tidak ada padanya perbuatan yang terlihat, sedangkan segala amalan taat adalah dengan disaksikan dan dilihat oleh orang ramai. Dan puasa itu tidak ada yang melihatnya mealinkan Allah ‘Azza wa Jalla. Dari itu, puasa adalah amalan pada batin dengan kesabaran semata-mata.

Kedua :

Bahawa puasa itu adalah paksaan bagi musuh Allah ‘Azza wa Jalla. Sesungguhnya jalan bagi syaitan, dikutuk Allah akan dia, ialah (melalui) hawa nafsu, dan hawa nafsu itu menjadi kuat dengan makan dan minum.

Kerana itulah bersabda Nabi saw :

“Sesungguhnya syaitan berjalan pada anak Adam pada tempat jalan darahnya. Maka sempitkanlah tempat laluannya dengan lapar.” (Bukhari, Muslim)

Kerana itu bersabda Nabi saw kepada A’isyah ra :

“Berterusanlah mengetuk pintu syurga!”

Bertanya A’isyah ra : “Dengan apa?”

Maka jawab Nabi saw : “Dengan lapar.” (Menurut Al-Iraqi, dia tidak menemui hadith ini)

Dan akan datang keutamaan lapar pada Kitab (Bab) Kelobaan Makanan dan Mengubatinya dari bahagian (rubu’) Yang Membinasakan.

Tatkala puasa itu khususnya adalah pencegahan bagi syaitan, penghambatan bagi tempat-tempat yang dilaluinya, penyempitan bagi tempat-tempat yang ditempuhinya, maka berhaklah puasa itu dikhususkan penyangkutannya kepada Allah ‘Azza wa Jalla. Maka pada mencegah musuh Allah itu adalah menolong (agama) Allah SWT. Dan menolong Allah Ta’ala adalah terhenti kepada menolong-Nya.

Berfirman Allah Ta’ala :

“Kalau kamu menolong Allah (agama) tentu Allah akan menolong kamu dan mengukuhkan kedudukanmu.” (Muhammad : 7)

Maka permulaannya adalah dengan perjuangan dari hamba dan pembalasan dengan petunjuk daripada Allah ‘Azza wa Jalla. Kerana itulah Allah Ta’ala berfirman :

“Dan orang-orang yang berjuang untuk Kami, nescaya Kami akan tunjukkan kepada mereka jalan Kami.” (Al-Ankabut : 69)

Dan berfirman Allah Ta’ala :

“Sesungguhnya Allah tidak mengubah keadaan sesuatu kaum, sebelum mereka mengubah keadaan diri mereka sendiri.” (Ar-Ra’d : 11)

Dan bahawasanya perubahan itu ialah pembanyakan hawa nafsu. Maka hawa nafsu adalah tempat bersenang-senang dan tempat menjaga diri syaitan-syaitan. Maka selama hawa nafsu itu subur, nescaya tidak putus-putuslah para syaitan itu pergi balik. Dan selama mereka pergi balik itu, nescaya tidaklah terbuka bagi hamba akan kebesaran Allah SWT. Dan adalah ia terdinding daripada menemui-Nya.

Nabi saw bersabda :

“Jikalau tidaklah syaitan-syaitan itu berkeliling di atas hati anak Adam, nescaya anak-anak Adam melihat ke alam malakut yang tinggi.” (Ahmad)

Maka dari sudut ini, jadilah puasa itu pintu ibadah dan banteng. Dan apabila besar kelebihannya sampai kepada batas ini, maka tidak boleh tidak daripada menerangkan syarat-syarat, yang zahir dan yang batin dengan menyebutkan rukun-rukun, sunat-sunat dan syarat-syaratnya yang batin. Dan Kami terangkan yang demikian itu dalam 3 bahagian :

19.7.11

Ihya' 'Ulumiddin Bahasa Melayu

Ketika saya mensyarahkan kitab 40 Hadith Tentang Peristiwa Akhir Zaman, ramai pendengar mampu membelinya. Bahkan tidak kurang yang sudah sedia ada di rumah. Harganya pun murah sahaja. Di internet juga boleh dibaca secara percuma. Selesai satu masalah.

Ketika mensyarahkan kitab Munyatul Musolli pula, ada pendengar yang sudah memilkinya dan tidak menjadi masalah untuk membelinya kerana harganya yang benar-benar murah di pasaran. Sampailah pada kitab Kifayatul Muhtaj, rata-rata pendengar tidak memilikinya kerana jarang-jarang ada pengajian kitab ini. Namun ia mudah didapati dan sangat murah juga harganya. Selesai masalah.

Tiba zamannya untuk saya mensyarahkan kitab Ihya’ ‘Ulumiddin karya Hujjatul Islam Imam al-Ghazali. Para pendengar baik di depan mata mahupun yang di ruang maya internet mengeluh....... terjemahan kitab itu sukar didapati, hendak memahami bahasa Melayu Indonesianya pun sukar dan masalah utamanya ialah harganya yang ratusan ringgit. Belajar tanpa kitab memang tidak puas hati. Untuk para pendengar kuliah, saya boleh bekalkan nota. Tapi untuk pendengar di internet?

Atas dasar itu, dengan keizinan Tuhan saya mengambil inisiatif untuk mengubah terjemahannya dari bahasa Melayu Indonesia ke bahasa Melayu Malaysia. Terjemahan bahasa Melayu Malaysia ini saya buat beransur-ansur dan sebahagian hasilnya udah boleh didapati di laman Ihya’ ‘Ulumiddin http://syarahihya.blogspot.com/ (lihat di sebelah kanan, bawah, dengan tajuk IHYA’ ‘ULUMIDDIN BAHASA MELAYU) . Maksudnya, para pendengar akan memperolehi terjemahan kitab Ihya yang lebih mudah difahami secara percuma. Hinggalah suatu hari nanti para pendengar akan memiliki satu kitab penuh.... dalam bahasa Melayu Malaysia.

Sekadar ini sahaja yang dapat saya berikan (atas keizinan Tuhan) kepada para pendengar. Semoga bermanfaat.



Abu Zulfiqar

19 JULAI 2011

15.7.11

Keutamaan Belajar

KEUTAMAAN BELAJAR

Ayat-ayat yang menerangkan keutamaan belajar iaitu firman Allah Ta’ala :

“Mengapa tidak pula berangkat satu rombongan dari setiap golongan itu untuk mempelajari perkara agama?” (At-Taubah : 122)

Dan firman Allah ‘Azza wa Jalla :

“Maka bertanyalah kamu kepada ahli ilmu jika kamu tidak tahu.” (An-Nahl : 43)

Adapun hadith Nabi, antara lain sabdanya :

“Barangsiapa melalui suatu jalan untuk menuntut ilmu, maka dianugerahkan Allah kepadanya jalan ke syurga.” (Muslim)

Bersabda Nabi saw :

“Sesungguhnya malaikat itu membentangkan sayapnya kepada penuntut ilmu, tanda rela akan usahanya itu.” (Ahmad, Ibnu Hibban, Al-Hakim)

Dan sabda Nabi saw :

“Bahwa sesungguhnya engkau pergi mempelajari satu bab daripada ilmu, adalah lebih baik daripada engkau melakukan solat 100 rakaat.” (Ibnu Abdul Birri)

Bersabda Nabi saw :

“Satu bab daripada ilmu yang dipelajari oleh seseorang, adalah lebih baik baginya daripada dunia dan isinya.” (Ibnu Hibban, Ibnu Abdul Birri)

Bersabda Nabi saw :

“Tuntutlah ilmu walau ke negara China sekalipun.” (Ibnu Uda)

Bersabda Nabi saw : “Menuntut ilmu itu wajib atas setiap muslim.”

Dan bersabda Nabi saw :

Ilmu itu adalah gudang-gudang. Anak kuncinya pertanyaan. Dari itu, bertanyalah. Sesungguhnya diberi pahala pada bertanya itu empat orang iaitu yang bertanya, yang berilmu (yang ditanya), yang mendengar dan yang suka akan yang tiga orang tadi.” (Abu Na’im)

Bersabda Nabi saw :

“Tidak wajarlah bagi orang jahil berdiam diri atas kejahilannya. Dan tidak wajarlah bagi orang yang berilmu, berdiam diri atas ilmunya.” (Thabrani, Abu Na’im, sanad dhaif)

Dalam hadith yang diriwayatkan Abu Dzar ra berbunyi :

“Menghadiri majlis orang berilmu (adalah) lebih utama daripada mendirikan solat 1,000 rakaat, mengunjungi 1,000 orang sakit dan bertakziah 1,000 jenazah.”

Lalu orang bertanya : “Wahai Rasulullah, dari membaca Al-Quran?”

Maka Nabi menjawab : “Adakah manfaat Al-Quran itu selain dengan ilmu?”

Bersabda Nabi saw :

“Barangsiapa meninggal dunia sedang (dia) menuntut ilmu untuk menghidupkan Islam, maka antara dia dan nabi-nabi dalam syurga sejauh satu tingkat.”

Menurut atsar, berkata Ibnu Abbad ra : “Aku telah menghinakan seorang penuntut ilmu, lalu aku memuliakan yang dituntutnya.”

Demikian pula berkata Ibnu Abi Mulaikah ra : “Belum pernah aku melihat orang seperti Ibnu Abbas. Apabila aku melihatnya maka tampaklah mukanya amat cantik. Apabila ia berkata-kata maka lidahnya amat lancar. Dan apabila ia memberi fatwa maka dialah orang yang banyak ilmunya.”

Berkata Ibnu Mubarak : “Aku hairan akan orang yang tidak menuntut ilmu. Bagaimana ia mahu membawa dirinya kepada kemuliaan?”

Berkata sebahagian hukama’ : “Sesungguhnya aku tidak berbelas kasihan kepada orang sebagaimana belas kasihanku kepada salah seorang dari dua : orang yang menuntut ilmu dan tidak memahaminya, dan orang yang memahami ilmu tapi tidak menuntutnya.”

Berkata Abu Darda’ ra : “Aku lebih suka mempelajari satu masalah daripada mengerjakan solat (sepanjang) satu malam.”

Dan ditambahnya pula : “Orang yang berilmu dan orang yang menuntut ilmu bersyarikat dalam kebajikan. Dan manusia lain adalah bodoh, tidak ada kebajikan baginya.”

Dan katanya lagi : “Hendaklah engkau (menajdi) orang berilmu, atau belajar, atau mendengar. Dan janganlah engkau (menjadi) orang (jenis) yang keempat, maka binasalah engkau.”

Berkata ‘Atha’ : “Suatu majlis ilmu itu akan menutup dosa 70 majlis yang sia-sia.”

Berkata Umar ra : “Meninggalnya 1,000 orang ‘abid yang malamnya mengerjakan solat dan siangnya berpuasa, adalah lebih mudah daripada meninggalnya seorang alim yang mengetahui (apa) yang dihalalkan dan (apa) yang diharamkan.”

Berkata Imam Syafi’i : “Menuntut ilmu adalah lebih utama daraipada melakukan ibadah sunat.”

Berkata Ibnu Abdil Hakam : “Adalah aku menuntut ilmu pada Imam Malik, lalu masuk waktu Zuhur. Maka aku kumpulkan semua kitab untuk mengerjakan solat.”

Maka berkata Imam Malik : “Wahai, tidaklah yang engkau bangun hendak mengerjakannya itu lebih utama daripada apa yang ada engkau di dalamnya, apabila niat itu benar.”

Berkata Abu Darda’ ra : “Barangsiapa berpendapat bahawa pergi menuntut ilmu bukan jihad, maka dia adalah orang yang kurang fikiran dan akal.”

14.7.11

Kelebihan Ilmu (Menurut Tokoh-tokoh)

KELEBIHAN ILMU (MENURUT TOKOH-TOKOH)

Adapun (menurut) atsar (perkataan, perbuatan dan pengakuan para sahabat) iaitu:

Ali bin Abi Talib berkata kepada Kumail : “Wahai Kumail, ilmu itu lebih baik daripada harta. Ilmu menjaga engkau, sedangkan engkau menjaga harta. Ilmu itu penghukum, sedangkan harta itu terhukum. Harta itu berkurang apabila dikeluarkan (dibelanjakan), sedangkan ilmu itu bertambah dengan dikeluarkan (diajarkan).”

Berkata pula Ali ra : “Orang berilmu lebih utama daripada orang yang selalu berpuasa, bersolat dan berjihad. Apabila mati orang yang berilmu, maka terdapatlah suatu kekosongan dalam Islam yang tidak dapat ditutup selain orang penggantinya.”

Berkata pula Ali dengan syair:


Tidaklah kebanggaan selain bagi ahli ilmu.

Mereka memberi petunjuk kepada orang yang meminta ditunjukkan.


Nilai manusia adalah dengan kebaikan yang dikerjakannya.

Dan orang-orang bodoh itu adalah musuh ahli ilmu.


Menanglah engkau dengan ilmu, hiduplah lama.

Orang lain mati, ahli ilmu itu terus hidup.


Berkata Abul Aswad : “Tidak adalah yang lebih mulia daripada ilmu. Raja-raja itu menghukum manusia dan (sedangkan) ‘alim ‘ulama itu menghukum raja-raja.”

Berkata Ibnu Abbas ra : “Disuruh pilih (Nabi) Sulaiman bin (Nabi) Daud as antara ilmu, harta dan kerajaan. Maka dipilihnya ilmu. Lalu dianugerahkanlah kepadanya harta dan kerajaan bersama-sama ilmu itu.”


Ditanyakan kepada Ibnu Mubarak (Abdullah bin Mubarak) : “Siapakah manusia itu?”

Maka dia menjawab : “Orang-orang yang berilmu.”

Lalu ditanyakan : “Siapakah raja itu?”

Maka dia menjawab : “Orang yang zuhud.”

Ditanyakan pula : “Siapakah orang yang hina itu?”

Maka dia menjawab : “ Mereka yang memakan (mendapatkan) dunia dengan agama.”

Ibnu Mubarak tidak memasukkan orang yang tidak berilmu dalam golongan manusia, kerana ciri yang membezakan antara manusia dan haiwan ialah ilmu.


Maka manusia itu adalah manusia, di mana ia menjadi mulia kerana ilmu. Dan tidaklah yang demikian itu disebabkan kekuatan dirinya, unta adalah lebih kuat daripada manusia. Bukanlah kerana besarnya, gajah lebih besar daripada manusia. Bukanlah kerana beraninya, binatang buas lebih berani daripada manusia. Bukanlah kerana banyak makannya, perut lembu lebih besar daripada perut manusia. Bukanlah kerana seksnya dengan wanita, burung pipit yang paling rendah lebih kuat bersetubuh dibandingkan dengan manusia. Bahkan manusia itu tidak dijadikan selain kerana ilmu.”

Berkata sebahagian ulama : “Hai kiranya, barang apakah yang dapat diperoleh oleh orang yang tiada ilmu, dan barang apakah yang hilang dari orang yang memperoleh ilmu.”

Bersabda Nabi saw :

“Barangsiapa dihadiahkan kepadanya Al-Quran lalu ia memandang ada yang lain yang lebih baik daripadanya, maka orang itu telah menghinakan apa yang dibesarkan oleh Allah Ta’ala.”

Bertanya Fathul-Mausuli ra : “Benarkah orang sakit itu apabila tidak mahu makan dan minum, lalu (akan) mati?”

Orang di sekelilingnya menjawab : “Benar.”

Lalu Fathul-Mausulu menyambung : “Begitu juga hati. Apabila (hati kita) tidak mahu kepada hikmah dan ilmu dalam masa tiga hari, maka matilah hati itu.”

Benar perkataan itu, kerana sesungguhnya makanan hati itu ialah ilmu dan hikmah. Dengan dua itulah hidupnya hati, sebagaimana tubuh itu hidup dengan makanan.

Orang yang tidak berilmu, hatinya menjadi sakit dan kematian hatinya itu suatu kepastian. Tetapi dia tidak menyedari hal sedemikian kerana kecintaannya dan kesibukannya dengan dunia menghilangkan perasaan itu. Sebagaimana takut yang bersangatan kadang-kadang menghilangkan kepedihan luka seketika sekalipun luka itu masih ada.

Apabila mati itu telah menghilangkan kesibukan duniawi, maka dia berasa dan merugi besar. Kemudian, itu tidak bermanfaat (lagi) baginya. Yang demikian itu seperti yang dirasakan oleh orang yang telah aman (selamat) dari ketakutan dan telah pulih dari mabuk, dengan luka-luka yang diperolehinya dahulu sewaktu sedang mabuk dan takut.

Kita berlindung dengan Allah dari hari pembukaan apa yang tertutup. Sesungguhnya manusia itu tertidur. Apabila mati, maka (barulah) dia terbangun (terjaga).

Berkata Al-Hassan ra : “Ditimbang tinta para ulama dengan darah para syuhada’. Maka beratlah timbangan tinta para ulama itu daripada darah para syuhada’.”

Berkata Ibnu Mas’ud ra : “Hendaklah engkau berilmu sebelum ilmu itu diangkat. Diangkat ilmu adalah dengan kematian para perawinya. Demi Tuhan yang jiwaku di dalam kekuasaanNya, sesungguhnya orang-orang yang syahid dalam perang sabil lebih suka dibangkitkan oleh Allah nanti sebagai ulama, kerana melihat kemuliaan ulama itu. Sesungguhnya tidak ada seorang pun yang dilahirkan berilmu, kerana ilmu itu adalah (diperolehi) dengan belajar.”

Berkata Ibnu ‘Abbas ra : “ Bertukar-tukar fikiran tentang sebahagian dari malam , lebih aku sukai daripada berbuat ibadah pada malam itu.”

Begitu juga menurut Abu Hurairah ra dan Ahmad bin Hanbal.

Berkata Al-Hassan tentang firman Allah Ta’ala:

“Wahai Tuhan kami! Berikanlah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat.” (Al-Baqarah : 201)

Bahawa kebaikan di dunia itu ialah ilmu dan ibadah, sedangkan kebaikan di akhirat itu ialah syurga.

Ditanyakan kepada sesetengah hukama’ (ahli hikmah) : “Barang apakah yang dapat disimpan lama?”

Lalu dia menjawab : “Iaitu barang-barang yang apabila kapalmu karam, maka dia berenang bersama-sama kamu, yakni ilmu.”

Dikatakan bahawa yang dimaksudkan dengan kapal karam ialah binasa badan, (iaitu) dengan mati.

Berkata sebahagian hukama’ : “Barangsiapa menjadikan ilmu sebagai kekang di mulut kuda, nescaya dia diambil manusia menjadi imam. Dan barangsiapa dikenal dengan hikmahnya, nescaya dia diperhatikan oleh semua mata dengan mulia.”

Berkata Imam Asy-Syafi’i : “Antara (bukti) kemuliaan ilmu ialah bahawa setiap orang dikatakan berilmu meskipun dalam soal yang remeh, maka dia berasa gembira. Sebaliknya apabila dikatakan tidak (berilmu), maka dia bersedih.”

Berkata Umar ra : “Wahai manusia! Hendaklah engkau berilmu! Bahawasanya Allah SWT mempunyai selendang yang dikasihiNya. Barangsiapa mencari sebuah pintu dari ilmu, maka ia diselendangi Allah dengan selendangNya. Jika ia berbuat dosa, maka dimintanya kerelaan Allah tiga kali, supaya selendang itu tidak dibuka daripadanya, dan walaupun berpanjangan dosanya sampai ia mati.”

Berkata Al-Ahnaf ra : “Hampirlah orang yang berilmu itu dianggap sebagai Tuhan. Dan tiap-tiap kemuliaan yang tidak dikuatkan dengan ilmu, maka hinalah kesudahannya.”

Berkata Salim bin Abil-Ja’ad : “Aku dibeli oleh tuanku dengan harga 300 dirham lalu dimerdekakannya aku. Lalu aku bertanya : “Pekerjaan apakah yang akan aku lakukan?” Maka bekerjalah aku dalam lapangan ilmu. Tidak sampai setahun kemudian, datanglah ia berkunjung kepada pemerintah kota Madinah, Maka tidak aku izinkan dia masuk.”

Berkata Zubair bin Abu Bakar : “Bapaku di Iraq menulis surat kepadaku. Antara lain isinya ialah : “Hendaklah engkau berilmu, kerana jika engkau memerlukannya, maka ia menjadi harta bagimu. Dan jika engkau tidak memerlukannya, maka ilmu menambahkan keelokanmu.”

Diceritakan juga yang demikian dalam nasihat Luqman kepada anaknya. Berkata Luqman : “Wahai anakku! Duduklah bersama ulama. Rapatkanlah kedua-dua lututmu dengan mereka. Sesungguhnya Allah SWT menghidupkan hati dengan cahaya hikmah seperti menghidupkan bumi dengan hujan dari langit.”

Berkata sebahagian hukama’ : “Apabila meninggal seorang ahli ilmu, maka ia ditangisi oleh ikan di dalam air dan burung di udara. Wajahnya hilang tetapi sebutannya tidak dilupakan.”

Berkata Az-Zuhri : “Ilmu itu jantan, dan tidak menyukainya selain oleh laki-laki yang jantan.”