KALAM ABU ZULFIQAR:
Macamlah Imam al-Ghazali tadi. Namanya Muhammad. (Selain itu) Dia juga dikenali sebagai Ibnu Muhammad, sebab (nama) bapanya Muhammad. (Dia) Dikenali juga sebagai Abu Hamid, kerana anaknya bernama Hamid. (Jadilah) Tiga nama.
SYARAHNYA:
Imam al-Ghazali mempunyai empat orang anak, seorang lelaki dan tiga orang perempuan. Anak lelakinya yang bernama Hamid itu meninggal dunia ketika masih kecil. Nama ‘Hamid’, ‘Ahmad’ dan ‘Muhammad’ pada nama Imam al-Ghazali iaitu Abu Hamid Muhammad bin Muhammad bin Muhammad bin Ahmad al-Ghazali semuanya berkaitan dengan ‘terpuji’.
KALAM ABU ZULFIQAR:
Mungkin tuan-tuan masih ingat lagi satu kisah dalam waktu perang, orang hendak menjaga khemah Nabi Muhammad. Masa itu sudah malam, jadi orang pun buat pengumuman: “Siapa hendak menjaga khemah Nabi Muhammad malam ini?”
Kita ambil satu (nama) contoh, orang itu namanya Sufyan.
“Saya!”
“Siapa itu?”
“Sufyan.”
“Ok Sufyan.”
“Orang kedua. Siapa hendak menjaga khemah Nabi Muhammad malam ini?”
“Saya!”
“Siapa dia itu?”
“Ibnu Halim.”
“Ok, Sufyan ada, Ibnu Halim pun ada.”
“Baik. Orang ketiga. Kita hendak tiga orang. Siapa lagi sukarela hendak menjaga khemah Nabi Muhammad?”
“Saya!”
“Siapa tu?” Malam... tak nampak.
“Abu Zulfiqar.”
“Ok, Abu Zulfiqar. Ok, datang sini ketiga-tiga orang. Sufyan pun (sila) datang. Ibnu Halim pun (sila) datang. Abu Zulfiqar pun (sila) datang.”
Apabila sampai di depan ketua, tengok-tengok seorang sahaja yang datang.
“Eh, tadi tiga orang. Ini kenapa seorang (sahaja)?”
“Kamu siapa?”
“Sayalah Sufyan.” Sebab namanya (memang) Sufyan.
“Habis, Ibnu Halim tadi siapa dia?”
“Saya le jugak, sebab bapa saya namanya Halim.”
“Abu Zulfiqar tadi?”
“Saya le jugak.”
“Kenapa?
“(Kerana) Anak saya nama Zulfiqar.”
Jadi ketiga-tiga itu nama dia. Sufyan pun nama dia, Ibnu Halim pun nama dia, Abu Zulfiqar pun nama dia.
“Mengapa apabila diminta, untuk ketiga-tiga kali kamu (seorang) yang menyahut?”
“Sebab saya nak ‘kampoi’ (monopoli) seorang. Saya seorang hendak menjaga Nabi Muhammad, hendak pahala lebih.” Punyalah (dia) sayang akan Nabi Muhammad. Jadi biasanya orang Arab ni (ada) tiga namalah.
SYARAHNYA:
Kisah sebenar ada dimuatkan oleh Maulana Muhammad Zakaria al-Kandhlawi dalam kitabnya Fadhail ‘Amal. Pada suatu malam menjelang peperangan, Rasulullah bersabda :
“Siapakah dalam kalangan kamu yang akan mengawal khemahku pada malam ini?”
“Aku ya Rasulullah!”
“Siapakah nama kamu?”
“Zakwan namaku.”
“Baiklah, ambillah tempat kamu.”
Orang itu pun duduk kembali. Suasana sekeliling gelap membuatkan Rasulullah tidak mengecam orang yang menyahut itu. Rasulullah perlukan tiga orang untuk berkawal secara bergilir-gilir.
“”Siapa lagi yang sukarela mahu mengawal khemahku pada malam ini?”
“Aku wahai Rasulullah!”
“Siapakah kamu ini?”
“Aku ialah Abu Saba (bapa kepada Saba).”
“Baiklah, silalah duduk di bawah.”
Nabi bertanya lagi:
“Siapakah yang akan jadi orang ketiga yang akan mengawal khemahku malam ini?”
“Aku ya Rasulullah!”
“Nama kamu?”
“Ibnu Abdil Qais (anak kepada Abdil Qais).”
“Baiklah, engkau juga duduk.”
Selepas itu, Rasulullah s.a.w meminta ketiga-tiga orang sukarelawan datang menemuinya, tetapi hanya seorang sahaja yang tampil.
“Mana lagi dua orang sahabatmu?”
“Wahai Pesuruh Allah, sesungguhnya akulah orangnya yang berdiri sebanyak tiga kali berturut-turut.”
Rasulullah mendoakan keberkatan ke atas Zakwan, dan sepanjang malam itu dialah yang berkawal ketiga-tiga shif.
KALAM ABU ZULFIQAR:
Selain daripada kitab Ihya’ ‘Ulumiddin ini, ataupun ringkasannya kitab Bimbingan Mu’minin, pada saya ada beberapa kitab lagi sama ada yang (dalam) bahasa Arab, dan ada juga yang terjemahan. Salah satunya ialah kitab Al-Munqiz min ad-Dhalal, (yang maksudnya) Selamat daripada Sesat. Yang kedua, karangan Imam al-Ghazali... Al-Risalah al-Laduniyyah. Yang ketiga, Misykatul Anwar. Yang keempat, Kimia as-Sa’adah, (yang maksudnya) Kimia Kebahagiaan.
Kitab Kimia’ as-Sa’adah ini, kita ada sentuh sikit-sikit (suatu waktu) dahulu. Ada sebelas fail (syarahan saya di Youtube) kesemuanya, kita (memang) ada ajar sikit di sini, walaupun bukan keseluruhan.
Ini(lah) kitab-kitab yang ada dalam simpanan saya. Yang tidak ada dalam simpanan saya lagi banyaklah. Sebab Imam al-Ghazali ini, kata sesetengah pendapat, kitab-kitabnya hampir 100 buah. Kemudian orang kaji pula lagi, campur dengan yang hilang, orang kata ada 300 buah. Punya(lah) rajinnya (al-Ghazali) mengkaji.
Antara karya Imam Ghazali yang popular, yang lainnya:
1. Maqasid al-Falasifah.
2. Tahafut al-Falasifah.
3. Minhaj al-Abidin.
4. Tafsir Al-Ghazali. Imam Al-Ghazali ada membuat satu (kitab) tafsir Al-Quran. Kata orang, tafsirnya sampai 40 jilid dia mentafsirkan Al-Quran. Tapi sayangnya sewaktu orang-orang Monggol serang Baghdad, Baghdad habis musnah, kitab-kitab (yang ada di Baghdad) dibakar. Orang Monggol ini (umumnya) tidak ada Tuhan, dia bakar habis kitab-kitab itu semua. Jadi banyaklah karangan Imam al-Ghazali yang hilang. Rugilah kita, termasuklah (antara yang hilang itu ialah) Tafsir Quran Imam al-Ghazali.
5. Kemudian kitab Fadaih al-Batiniyyah wa al-Fadhail al-Mustaziriyyah.
6. Majalis al-Ghazaliyyah. Yang ini anak muridnya yang karang. Imam Ghazali bagi kuliah, disebabkan sedap sangat kuliahnya, suatu hari anak muridnya terfikir hendak salin apa yang dia cerita. Jadi anak muridnya ini pun susun balik kuliah Imam al-Ghazali ini, kemudian dia tunjuk kepada Imam Ghazali. “Tuan Imam, cuba ‘check’ betul tak apa yang Tuan Imam cakap dengan apa yang saya tulis.” Imam Ghazali sahkan, (lalu) dia (iaitu anak muridnya itu) buat satu kitab, namanya Majalis Ghazaliyyah.
7. Kemudian kitab Mizan al-Amal
8. Al-I’tisad fi al-I’tiqad.
9. Sirr al-‘Alamin
10. Al-Maa’rif al-‘Aqaliyyah.
11. Kitab al-Arba’in.
12. Jawahir al-Quran.
13. Ayyuhai Walad.
14. Hujjah al-Haqq.
15. Qisas al-Mustaqim
Dan banyak lagi kalau hendak disenaraikan.
Yang popular di negara kita ini, antaranya kitab:
1. Minhaj al-‘Abidin. Ramai tok-tok guru ajar kitab itu.
2. Dan juga ringkasan (Ihya’) inilah – Bimbingan Mu’minin, ramai orang ajar.
3. Dan juga kitab Ayyuhai Walad.
Yang lain-lain itu biasanya susah hendak jumpa orang ajar.
Jadi Imam Ghazali ini seorang yang hebat, sebab pada zaman dahulu hendak menulis susah (jika dibandingkan dengan hari ini). Hendak cari kertas susah, cari dakwat susah, cari pen pun susah. Bukan macam sekarang, tekan komputer, tulis. Laju saja. Sungguhpun dalam keadaan yang macam itu, Imam Ghazali boleh menulis ratusan kitab. Dengan mengajar lagi, dengan belajar lagi, dengan ibadahnya yang hebat lagi. Itu yang kita berasa hairan. Sebab itu orang kata Imam Ghazali ini pun salah seorang daripada wali-wali Allah juga.
Yang kita zaman sekarang ini, petik komputer sahaja boleh (terus) menulis, apa kitab pun kita tak buat, sebab kita tidak mampu. Imam Ghazali zaman dahulu buat ratusan kitab.
Apakah kitab-kitab ringkasan Ihya’ ‘Ulumiddin yang popular di rantau Nusantara ini? Di Alam Melayu ini ada kitab-kitab ringkasannya.
1. Salah satu yang popular, kitab Bimbingan Mu’minin.
2. Kemudian kitab Bidayatul Hidayah.
3. Yang ketiganya kitab Hidayah as-Salikin yang disusun oleh Syeikh Abdus Samad Falimbani, orang Palembang. Kitab Hidayatus Salikin ini (merupakan) huraian kepada kitab Bidayatul Hidayah, karangan Imam al-Ghazali.
4. Yang keempatnya kitab Sairus Salikin karya Syeikh Abdus Samad Falimbani juga.
Ini semua ada kait-mengait dengan kitab Ihya’ ‘Ulumiddin.
Susah hendak mencari orang yang mengajar kitab Ihya’ ‘Ulumiddin terus. Biasanya mereka mengajarkan ringkasannya.
SYARAHNYA:
Kitab Al-Munqiz min adh-Dhalal mengisahkan perjalanan Imam al-Gazhali dalam mencari kepuasan dan kemuncak dalam beragama. Dia mengkaji dan memahami ilmu kalam, ilmu falsafah, ilmu kaum Batiniyyah dan lain-lain tapi akhirnya menamatkan pencariannya pada ilmu tasawuf.
Kata Imam al-Ghazali dalam kitab itu:
“Aku telah membuat kajian tentang akidah dan membongkarsegala rahsia-rahsia mazhab (aliran pemikiran) setiap kumpulan tadi, (tujuannya) untuk membezakan antara yang hak dan yang batil, serta mana yang bersesuaian dengan sunnah dan mana yang bid’ah.”
“Aku tidak meninggalkan seorang ahli kebatinan melainkan setelah aku menghalusi akan kebatinan itu. Dan aku tidak meninggalkan seorang ahli ilmu zahir melainkan aku telah mengetahui aspek kezahirannya. Dan aku tidak meninggalkan seorang ahli falsafah melainkan setelah aku mengetahui hakikatnya. Dan aku tidak meninggalkan seorang ahli kalam melainkan setelah aku berusaha untuk mempelajari tujuan percakapannya. Dan aku tidak meninggalkan seorang ahli sufi melainkan setelah aku mengetahui rahsia kesufiannya. Dan aku tidak meninggalkan seorang ahli ibadah melainkan setelah aku memerhatikan hasil ibadahnya. Dan aku tidak meninggalkan seorang atheis (tidak percaya kewujudan Tuhan) melainkan setelah aku mengekori di belakangnya tentang sebab-sebab kejatuhannya.”
Adakah Imam Ghazali membanggakan dirinya apabila membuat kenyataan sebegini? Tidak! Dia menceritakan sejauh mana pemahamannya tentang aliran-aliran yang dikajinya itu. Dia memang mahir dalam bidang yang dikajinya, maka memang padanlah kata-katanya ini dengan pemahamannya.
Kata Imam al-Ghazali lagi:
“Aku yakin seseorang itu tidak mengetahui kecacatan sesuatu ilmu melainkan setelah dia mengetahui kemuncak ilmu itu sendiri, sehinggakan dia menyamai orang yang paling mengetahui tentang asal-usul ilmu itu.”
Maksudnya Imam Ghazali menguasai peringkat tertinggi dalam setiap ilmu aliran-aliran yang dikajinya itu.
TENTANG AHLI-AHLI KALAM, Imam mengatakan:
“Aku bukanlah menidakkan pencapaian golongan itu, tetapi pencapaian (mereka) itu bercampur-aduk dengan taqlid dalam perkara-perkara yang tidak asasi.
Tentang ahli-ahli falsafah, Imam Ghazali membahagikan mereka kepada 3 kumpulan utama iaitu:
1. Golongan Dahriyyun
2. Golongan Tabi’iyyun
3. Golongan Ilahiyyun
Perkataan ‘falsafah’ berasal dari bahasa Yunani atau Greek iaitu ‘philo’ yang bermaksud ‘cinta’ dan ‘sophia’ yang bermaksud ‘kebijaksanaan/hikmah’. Jadi falsafah bermaksud ‘cinta akan kebijaksanaan/hikmah’. Pada mulanya istilah digunakan oleh seorang ahli falsafah terkenal bernama Phytagoras (570-574 Masihi).
Berbalik pada 3 golongan ahli falsafah tadi:
Golongan Dahriyyun ialah golongan zindik. Antara pegangan mereka ialah percaya bahawa alam ini jadi dengan sendirinya.
Golongan Tabi’iyyun ialah golongan zindik yang mengikut hawa nafsu seperti binatang. Antara pegangan mereka ialah manusia yang mati tidak akan hidup semula. Mereka menolak hari akhirat, syurga, neraka, mahsyar, kiamat, hisab, dosa dan pahala.
Golongan Ilahiyyun pula mempunyai ramai tokoh ternama seperti Socrates, Plato, Aristotle, Ibnu Sina (Avicenna) dan Al-Farabi/ Alpharabius (Guru Ibnu Sina). Golongan ini terpecah kepada dua puak yang saling bertelagah iaitu:
1. Golongan Dahriyyah
2. Golongan Tabi’iyyah
Kata Al-Ghazali:
“Kemudian Aristotle tidak menerima pendapat Plato dan Socrates.”
“Maka sewajarnyalah mereka itu dianggap kafir, dan juga mengkafirkan pengikut-pengikut mereka dalam kalangan ahli falsafah Islam seperti Ibnu Sina, Al-Farabi dan orang-orang seperti mereka. Tidak ada seorang pun yang paling banyak menceduk ilmu-ilmu Aristotle selain dari mereka ini.”
“Mereka menjadi kafir sebelum sampai kepada ilmu-ilmu keTuhanan.”
Menurut Al-Ghazali, 3 pegangan kaum falsafah (yang dipengaruh oleh fahaman Socrates, Plato dan Aristotle) yang wajib dikufurkan ialah:
1. Selepas mati, jasad tidak akan disatukan semula dengan ruh. Yang dibangkitkan hanyalah ruh. Nikmat syurga dan azab neraka hanya akan dirasai oleh ruh, bukannya oleh ruh dan jasad.
2. Tuhan tidak mengetahui semua perkara. TuHAn hanya tahu perkara-perkara umum (kulliyyat) sahaja tapi tidak tahu hal-hal yang kecil-kecil (juz’iyyat). Hal ini bererti Tuhan ada kelemahan. Mustahil Allah bersifat lemah walaupun sedikit.
3. Alam ini qadim. Maksudnya alam ini sudah sedia ada sejak azali. Asas kepada binaan alam ini sudah sedia ada bersama-sama Tuhan sejak azali.
Tentang Ibnu Sina yang diagung-agungkan oleh kebanyakan orang itu, Imam al-Ghazali menulis:
“(Tentang mereka yang beraliran falsafah Ibnu Sina dan Abi Nasr al-Farabi)) Namun begitu mereka tidak meninggalkan arak, melakukan berbagai-bagai kefasikan dan kekufuran. Apabila ada orang bertanya : “Kalaulah nabi itu tidak betul, mengapakah kamu mengerjakan solat?” Lantas dia menjawab : “Untuk latihan badan, ia menjadi kebiasaan pada orang ramai dan untuk menjaga harta dan anak-anak.”
Maksudnya ada orang dalam aliran ini yang menolak kenabian dan mengerjakan solat bukan kerana Allah.
“Kadang-kadang dia berpendapat : “Bahawa (sesungguhnya) syariat itu betul dan nabi itu benar.” Tetapi apabila ditanya : “Mengapa kamu minum arak?” Lantas ia menjawab : “Dilarang minum arak kerana takut perseteruan dan permusuhan. Namun aku dengan kebijaksanaanku dapat menghindarkan perkara tersebut. Di sebaliknya, aku bermaksud hendak mempertajamkan lagi fikiranku (dengan meminum arak itu).”
“Sehinggakan Ibnu Sina sendiri telah menulis wasiatnya, bahawa dia telah berjanji dengan Allah tentang perkara-perkara tersebut. Dia membesarkan hukum-hukum syara’, (dan) tidak mencuaikan ibadah-ibadah keagamaan. DIA MINUM ARAK sebagai ubat dan bukannya untuk berseronok-seronok. Bahkan semasa kemuncak keimanannya dan sentiasa beribadat, dia tetap meminum arak sebagai ubat.”
“Inilah keimanan orang yang mendakwa dirinya beriman sedangkan mereka telah ditipu oleh satu kumpulan.”
Jadi, jika kita mengimani pegangan Ibnu Sina, bolehlah kita minum arak asalkan kita boleh mengawal diri daripada membuat kerosakan. Arak juga boleh diminum untuk mencerdaskan fikiran menjelang peperiksaan dan sesuai dijadikan ubat.
Saya pernah mendengar cerita bahawa Ibnu Sina meninggal dunia dalam keadaan dirinya disarangi pelbagai jenis penyakit, padahal dia seorang Raja Tabib/Doktor. Saya tidak pasti kesahihan cerita ini, tapi sekiranya cerita ini benar, maksudnya ilmu-ilm Ibnu Sina tidak dizinkan Tuhan untuk bermanfaat buat dirinya sendiri. WaAllahua’lam.
Masalah kaum falsafah ini sangat panjang untuk dihuraikan dan agak berat untuk difahami. Oleh itu tidaklah saya mengisahkan hal ehwalnya di sini. Imam al-Ghazali sendiri ada menyusun kitab Maqasid al-Falasifah dan Tahafut al-Falasifah khusus untuk membahaskan perihal ilmu dan kaum falsafah.
Kitab Maqasid al-Falasifah berisi matlamat-matlamat fahaman kaum falsafah, manakala kitab Tahafut al-Falasifah pula berisi penolakan terhadap perkara-perkara yang salah dan yang lemah daripada pegangan ahli-ahli falsafah itu. Perkara yang baik daripada ilmu falsafah tidak pernah ditolak oleh Al-Ghazali.
Beberapa puluh tahun selepas zaman Imam Al-Ghazali, lahirlah seorang pendukung kaum falsafah di Andalusia (Sepanyol) iaitu tokoh yang bernama Ibnu Rusyhd (Averrous). Dia cuba mempertahankan golongan falsafah dan menolak pegangan Imam Ghazali. Antara usahanya ialah dengan mengarang sebuah kitab bertajuk ‘Tahafut al-Tahafut al-Falasifah’ untuk menolak hujah-hujah Imam al-Ghazali dalam kitabnya ‘Tahafut al-Falasifah’. Namun akhirnya karya al-Ghazali tetap gagal ditenggelamkan oleh Ibnu Rusyhd kerana kebenaran dan kekukuhan hujah-hujah Hujatul Islam itu.
TENTANG DUNIA TASAWUF, Imam al-Ghazali banyak mengkaji buku Qutub al-Qulub (karya Abu Talib al-Makkiy), buku-buku al-Harith al-Mahasibiy, perkataan-perkataan Junaid la-Baghdadi, Asy-Syibli dan Abu Yazid Bustami. Kesemuanya ulama besar dunia tasawuf dan dipercayai bertaraf wali-wali Allah. Kata-katanya menggambarkan kenikmatan alam tasawuf sebagai:
“Alangkah banyaknya perbezaan setelah mengetahui sempadan antara rasa biasa dengan kenyang...”
“... aku berkeyakinan bahawa orang-orang sufi merupakan golongan yang mengikut jalan yang semata-mata menuju kepada Allah. Cara hidup mereka adalah sebaik-baik kehidupan dan jalan yang diikuti adalah jalan yang paling tepat, serta akhlak mereka adalah sebersih-bersih akhlak.”
Perkara lain yang disentuh dalam kitab al-Munqiz min adh-Dhalal ialah:
“Jahil tentang Allah sebagai racun yang membinasakan.”
“Ringkasnya para nabi merupakan doktor kepada penyakit-penyakit hati.”
“Orang yang kedua pula mendakwa dirinya alim dalam bidang tasawuf, menganggap bahawa dia telah mencapai taraf yang tidak perlu lagi beribadah.”
Al-Ghazali juga menyentuh sedikit ilmu hakikat dengan katanya: “Sesungguhnya bukan aku yang menggerakkan tetapi Dia yang menggerakkan aku. Bukan aku yang berusaha tetapi Dia yang memperalatkan aku.”
Tamat bicara tentang kitab Al-Munqiz min adh-Dhalal.
# Bersambung ke Syarah Teks Kuliah 2B