14.7.11

Kelebihan Ilmu (Menurut Tokoh-tokoh)

KELEBIHAN ILMU (MENURUT TOKOH-TOKOH)

Adapun (menurut) atsar (perkataan, perbuatan dan pengakuan para sahabat) iaitu:

Ali bin Abi Talib berkata kepada Kumail : “Wahai Kumail, ilmu itu lebih baik daripada harta. Ilmu menjaga engkau, sedangkan engkau menjaga harta. Ilmu itu penghukum, sedangkan harta itu terhukum. Harta itu berkurang apabila dikeluarkan (dibelanjakan), sedangkan ilmu itu bertambah dengan dikeluarkan (diajarkan).”

Berkata pula Ali ra : “Orang berilmu lebih utama daripada orang yang selalu berpuasa, bersolat dan berjihad. Apabila mati orang yang berilmu, maka terdapatlah suatu kekosongan dalam Islam yang tidak dapat ditutup selain orang penggantinya.”

Berkata pula Ali dengan syair:


Tidaklah kebanggaan selain bagi ahli ilmu.

Mereka memberi petunjuk kepada orang yang meminta ditunjukkan.


Nilai manusia adalah dengan kebaikan yang dikerjakannya.

Dan orang-orang bodoh itu adalah musuh ahli ilmu.


Menanglah engkau dengan ilmu, hiduplah lama.

Orang lain mati, ahli ilmu itu terus hidup.


Berkata Abul Aswad : “Tidak adalah yang lebih mulia daripada ilmu. Raja-raja itu menghukum manusia dan (sedangkan) ‘alim ‘ulama itu menghukum raja-raja.”

Berkata Ibnu Abbas ra : “Disuruh pilih (Nabi) Sulaiman bin (Nabi) Daud as antara ilmu, harta dan kerajaan. Maka dipilihnya ilmu. Lalu dianugerahkanlah kepadanya harta dan kerajaan bersama-sama ilmu itu.”


Ditanyakan kepada Ibnu Mubarak (Abdullah bin Mubarak) : “Siapakah manusia itu?”

Maka dia menjawab : “Orang-orang yang berilmu.”

Lalu ditanyakan : “Siapakah raja itu?”

Maka dia menjawab : “Orang yang zuhud.”

Ditanyakan pula : “Siapakah orang yang hina itu?”

Maka dia menjawab : “ Mereka yang memakan (mendapatkan) dunia dengan agama.”

Ibnu Mubarak tidak memasukkan orang yang tidak berilmu dalam golongan manusia, kerana ciri yang membezakan antara manusia dan haiwan ialah ilmu.


Maka manusia itu adalah manusia, di mana ia menjadi mulia kerana ilmu. Dan tidaklah yang demikian itu disebabkan kekuatan dirinya, unta adalah lebih kuat daripada manusia. Bukanlah kerana besarnya, gajah lebih besar daripada manusia. Bukanlah kerana beraninya, binatang buas lebih berani daripada manusia. Bukanlah kerana banyak makannya, perut lembu lebih besar daripada perut manusia. Bukanlah kerana seksnya dengan wanita, burung pipit yang paling rendah lebih kuat bersetubuh dibandingkan dengan manusia. Bahkan manusia itu tidak dijadikan selain kerana ilmu.”

Berkata sebahagian ulama : “Hai kiranya, barang apakah yang dapat diperoleh oleh orang yang tiada ilmu, dan barang apakah yang hilang dari orang yang memperoleh ilmu.”

Bersabda Nabi saw :

“Barangsiapa dihadiahkan kepadanya Al-Quran lalu ia memandang ada yang lain yang lebih baik daripadanya, maka orang itu telah menghinakan apa yang dibesarkan oleh Allah Ta’ala.”

Bertanya Fathul-Mausuli ra : “Benarkah orang sakit itu apabila tidak mahu makan dan minum, lalu (akan) mati?”

Orang di sekelilingnya menjawab : “Benar.”

Lalu Fathul-Mausulu menyambung : “Begitu juga hati. Apabila (hati kita) tidak mahu kepada hikmah dan ilmu dalam masa tiga hari, maka matilah hati itu.”

Benar perkataan itu, kerana sesungguhnya makanan hati itu ialah ilmu dan hikmah. Dengan dua itulah hidupnya hati, sebagaimana tubuh itu hidup dengan makanan.

Orang yang tidak berilmu, hatinya menjadi sakit dan kematian hatinya itu suatu kepastian. Tetapi dia tidak menyedari hal sedemikian kerana kecintaannya dan kesibukannya dengan dunia menghilangkan perasaan itu. Sebagaimana takut yang bersangatan kadang-kadang menghilangkan kepedihan luka seketika sekalipun luka itu masih ada.

Apabila mati itu telah menghilangkan kesibukan duniawi, maka dia berasa dan merugi besar. Kemudian, itu tidak bermanfaat (lagi) baginya. Yang demikian itu seperti yang dirasakan oleh orang yang telah aman (selamat) dari ketakutan dan telah pulih dari mabuk, dengan luka-luka yang diperolehinya dahulu sewaktu sedang mabuk dan takut.

Kita berlindung dengan Allah dari hari pembukaan apa yang tertutup. Sesungguhnya manusia itu tertidur. Apabila mati, maka (barulah) dia terbangun (terjaga).

Berkata Al-Hassan ra : “Ditimbang tinta para ulama dengan darah para syuhada’. Maka beratlah timbangan tinta para ulama itu daripada darah para syuhada’.”

Berkata Ibnu Mas’ud ra : “Hendaklah engkau berilmu sebelum ilmu itu diangkat. Diangkat ilmu adalah dengan kematian para perawinya. Demi Tuhan yang jiwaku di dalam kekuasaanNya, sesungguhnya orang-orang yang syahid dalam perang sabil lebih suka dibangkitkan oleh Allah nanti sebagai ulama, kerana melihat kemuliaan ulama itu. Sesungguhnya tidak ada seorang pun yang dilahirkan berilmu, kerana ilmu itu adalah (diperolehi) dengan belajar.”

Berkata Ibnu ‘Abbas ra : “ Bertukar-tukar fikiran tentang sebahagian dari malam , lebih aku sukai daripada berbuat ibadah pada malam itu.”

Begitu juga menurut Abu Hurairah ra dan Ahmad bin Hanbal.

Berkata Al-Hassan tentang firman Allah Ta’ala:

“Wahai Tuhan kami! Berikanlah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat.” (Al-Baqarah : 201)

Bahawa kebaikan di dunia itu ialah ilmu dan ibadah, sedangkan kebaikan di akhirat itu ialah syurga.

Ditanyakan kepada sesetengah hukama’ (ahli hikmah) : “Barang apakah yang dapat disimpan lama?”

Lalu dia menjawab : “Iaitu barang-barang yang apabila kapalmu karam, maka dia berenang bersama-sama kamu, yakni ilmu.”

Dikatakan bahawa yang dimaksudkan dengan kapal karam ialah binasa badan, (iaitu) dengan mati.

Berkata sebahagian hukama’ : “Barangsiapa menjadikan ilmu sebagai kekang di mulut kuda, nescaya dia diambil manusia menjadi imam. Dan barangsiapa dikenal dengan hikmahnya, nescaya dia diperhatikan oleh semua mata dengan mulia.”

Berkata Imam Asy-Syafi’i : “Antara (bukti) kemuliaan ilmu ialah bahawa setiap orang dikatakan berilmu meskipun dalam soal yang remeh, maka dia berasa gembira. Sebaliknya apabila dikatakan tidak (berilmu), maka dia bersedih.”

Berkata Umar ra : “Wahai manusia! Hendaklah engkau berilmu! Bahawasanya Allah SWT mempunyai selendang yang dikasihiNya. Barangsiapa mencari sebuah pintu dari ilmu, maka ia diselendangi Allah dengan selendangNya. Jika ia berbuat dosa, maka dimintanya kerelaan Allah tiga kali, supaya selendang itu tidak dibuka daripadanya, dan walaupun berpanjangan dosanya sampai ia mati.”

Berkata Al-Ahnaf ra : “Hampirlah orang yang berilmu itu dianggap sebagai Tuhan. Dan tiap-tiap kemuliaan yang tidak dikuatkan dengan ilmu, maka hinalah kesudahannya.”

Berkata Salim bin Abil-Ja’ad : “Aku dibeli oleh tuanku dengan harga 300 dirham lalu dimerdekakannya aku. Lalu aku bertanya : “Pekerjaan apakah yang akan aku lakukan?” Maka bekerjalah aku dalam lapangan ilmu. Tidak sampai setahun kemudian, datanglah ia berkunjung kepada pemerintah kota Madinah, Maka tidak aku izinkan dia masuk.”

Berkata Zubair bin Abu Bakar : “Bapaku di Iraq menulis surat kepadaku. Antara lain isinya ialah : “Hendaklah engkau berilmu, kerana jika engkau memerlukannya, maka ia menjadi harta bagimu. Dan jika engkau tidak memerlukannya, maka ilmu menambahkan keelokanmu.”

Diceritakan juga yang demikian dalam nasihat Luqman kepada anaknya. Berkata Luqman : “Wahai anakku! Duduklah bersama ulama. Rapatkanlah kedua-dua lututmu dengan mereka. Sesungguhnya Allah SWT menghidupkan hati dengan cahaya hikmah seperti menghidupkan bumi dengan hujan dari langit.”

Berkata sebahagian hukama’ : “Apabila meninggal seorang ahli ilmu, maka ia ditangisi oleh ikan di dalam air dan burung di udara. Wajahnya hilang tetapi sebutannya tidak dilupakan.”

Berkata Az-Zuhri : “Ilmu itu jantan, dan tidak menyukainya selain oleh laki-laki yang jantan.”