9.4.11

Teks Kuliah Syarah Ihya 3



Setakat itu sahaja (doa kita). Cerdik itu cerdik yang mana? Kadang-kadang (apabila) dia besar (sudah dewasa), dia cerdik bahagian (perkara-perkara) jahat.

“Ya Allah, bagilah anak aku ini ada lesung pipit.”

Setiap hari asyik doa yang itulah sampai terigau-igau dalam mimpi, (kerana) hendak sangat anak yang ada lesung pipit. Tidak salah, tapi itu sudah jadi doa yang ‘atas’ sekali. Itu yang tidak berapa kena.

“Ya Allah jadikanlah anak aku cantik, mukanya macam Siti Norhaliza.”

Tidak salah, tetapi jangan itu jadi doa utama.

“Bagilah anak aku apabila besar nanti ‘handsome’ macam Rosyam Nor.”

Tidak salah juga. Tapi bapa Imam Ghazali tadi, doanya yang teratas sekali (ialah) dia hendak dapat anak, Allah kurniakan anak yang jadi ulama. Dan doanya dimakbulkan Tuhan.

Kita minta memang Tuhan beri, cuma masalahnya doa kita yang ‘atas’ sekali, yang utama itu apa dia? Kalau dapat anak cantik tapi perangai tak cantik pun, susah juga kita nanti.

Jadi Allah kurniakan dua orang anak lelaki. Kalau Imam Ghazali namanya Muhammad, adiknya bernama Ahmad – ‘Terpuji’ juga (maksudnya). Muhammad (dan) Ahmad, kedua-duanya pun ‘Mat’. Imam Ghazali, gelarannya Abu Hamid. Adiknya tadi (dipanggil) Abul Futuh Ahmad bin Muhammad. Gelaran adiknya Mujiduddin.

Sungguhpun berjaya mendapat dua orang anak yang baik, tapi bapanya meninggal awal. Tidak sempatlah hendak melihat anak-anak membesar dan jadi ulama. Sungguhpun begitu, yang penting usaha, bukannya (mesti) hendak tengok kejayaan. Kita didik anak kita, kita ‘target’ jadi orang yang soleh, jadi orang baik, jadi orang berjaya. Kita tidak sempat tengok (kejayaan mereka) pun tidak mengapa, asalkan mereka ini berjaya.

Adik kepada Imam Ghazali ini pun ulama besar, kita tidak boleh hendak menyisihkan adiknya. Sebab apa? Suatu ketika Imam Ghazali jadi imam, adiknya sembahyang di belakang. Tengah-tengah sembahyang, adiknya mufaraqah, keluar (dari sembahyang). Adiknya beri salam, keluar. Selepas sembahyang, Imam Ghazali pun tanyalah, “Kenapa tadi (waktu) abang jadi imam, kamu keluar?”

Adiknya kata, “Tiba-tiba saya ternampak badan abang ni dalam api.” Setengah riwayat kata , “...badan abang ni berlumuran dengan darah.” Sebab itu saya keluar. Saya berasa ada sesuatu yang tidak kena. (Sebenarnya) Masa (sembahyang) itu adiknya diangkat hijab. Sebab adiknya (pada) zaman itu mendahului Imam Ghazali dari segi kerohanian. Adiknya ini di bidang kerohanian, tasawuf, adiknya teroka lebih dahulu berbanding Imam al-Ghazali.

“Jadi, apa yang abang fikir tadi?”

Barulah Imam Ghazali teringat.

“Ooh memang betul. Masa dalam sembahyang tadi aku terfikir permasalahan fiqh, iaitu masalah darah wanita, darah haid. Macam mana hukum-hakamnya begini begini.”

Tengah sembahyang dia fikir persoalan agama. Kalau ikut kita, tidak salahlah (sebab masih fikir hal ehwal agama juga). Tapi bagi ulama-ulama, dia mesti tumpu pada Tuhan. Tidka boleh hendak fikir masalah agamakah, perjuangankah, tidak boleh. Jadi Imam Ghazali ini pada masa itu ulama fekah. Dia menyelesaikan masalah hukum-hakam yang orang tanya, terbawa-bawa dalam sembahyangnya persoalan tentang darah wanita. Disebabkan dia terfikir begitu, Tuhan beri nampak kepada adiknya tadi, nampak dirinya... setengah riwayat kata ‘berapi’, setengah riwayat kata badannya berlumuran darah.

Apabila Imam Ghazali dengar sebegitu, “Memang betullah. Aku tadi terfikir selain daripada Allah iaitu masalah fiqh. Mulai hari ini aku pun hendak terjun ke dalam dunia tasawuf, dunia kerohanian.”

Sejak hari itu Imam Ghazali pun belajar juga, bertekun juga dalam bidang kerohanian, adiknya pula kalah dengannya. Hebat dia lagi.

Jadi masa kecil ini, ketika bapanya hendak mati itu, bapanya sudah berpesan, anak lelakinya yang dua orang ini beri kepada seorang ustaz untuk dijaga, seorang ulama tasawuf. Duduk dengan ahli tasawuf. Selepas bapanya meninggal, Imam Ghazali dan adiknya duduk dengan ulama tasawuf.

Antara tok guru yang mereka belajar... ulama tasawuf ini menjaga mereka macam anaklah. Imam Ghazali belajar ilmu fiqh dengan Syeikh Ahmad bin Muhammad ar-Razakani. Zaman itu cukup ramai yang bernama Ahmad, cukup ramai yang bernama Muhammad. Dia punya tok guru pun nama Ahmad bin Muhammad. Adiknya bernama Ahmad bin Muhammad. Dia pula bernama Muhammad bin Muhammad bin Muhammad bin Ahmad. Itulah nama mereka zaman itu.

Selain belajar ilmu fiqh dengan Imam Razakani, belajar pula tasawuf dengan Yusuf an-Nassaj. Selepas itu dia pergi mengembara ke Jurjan, belajar. Gurunya bernama Abi Nassar al-Isma’ili. Selepas belajar, balik ke kampungnya, mengajar di sana. Jadi, ramailah ulama yang ditemui oleh Imam al-Ghazali. Saya senaraikan di sini dua tiga orang sahaja. Sebenarnya ramai ulama yang dia temui sepanjang hidupnya.

Dulu saya pernah ‘test’ satu kumpulan remaja berusia 14 tahun. Saya bagi satu kertas, saya cakap kepada mereka, “Dalam masa dua minit, kamu senaraikan nama artis yang kamu tahu. Bermula dari sekarang.”

Mereka pun apa lagi, tulis nama artis. Dua minit tidak cukup. “Cukup,cukup! Dua minit!”

“Ada lagi ni!” Punya ramainya nama artis yang mereka ini ingat, remaja sekarang. Dua minit tidak cukup.

“OK, sudah!”

Penuh kertas.

“Baik. Sekarang kertas kamu pusing sebelah belakang.” Mereka pun pusing.

“Saya beri masa dua minit, kamu senaraikan nama ulama yang kamu tahu.”

Terpinga-pinga budak-budak ni tadi. Hendak tulis satu (nama) pun susah.

“Siapa dia ulama ye?”

Cukup dua minit, saya tengok paling banyak ada 7-8 nama ulama. Itu paling banyaklah tu. Biasanya 3 orang, 2 orang. Sebab apa? Generasi sekarang tidak kenal ulama. Artis? Dua minit kita bagi, dia tak cukup kertas hendak tulis. Tu dia tulis nama. Tulis nama ulama, dua minit... tak tahu hendak tulis.

“... siapa dia ulama?”

Yang tidak ulama pun dia masukkan juga. Ustaz kecil pun dia tulis juga, sebab sudah tidak tahu (tidak kenal ulama).

Balik rumah, kita boleh ‘test’ anak-anak kita.

“Awang, mari sini sekejap, bapak nak ‘test’ ni. Ini kertas, ini pen, bapa bagi masa dua minit, cuba kamu tulis nama-nama artis.” Laju dia tulis. Tulis nama ahli sukan? Laju dia tulis.

“Ok, cukup dua minit! Sekarang bapak bagi dua minit lagi, tulis nama ulama.”

Hah, tengok dia hendak tulis macam mana! Silap-silap kertas kosong. Sebab? Generasi kita tidak kenal ulama.

Tapi yang kita takut dia ‘test’ kita balik : “Ooh, bapak pandai ya? Hah,nah! Saya bagi dua minit, bapak tulis nama-nama ulama!” Takut-takut kita pun tak boleh.

Baik. Selepas itu Imam Ghazali pergi ke Nisapur. Di sana ada satu sekolah Nizamiyyah, dia berguru pula dengan seorang ulama besar bernama Imam Haramain. ‘Haramain’ ini maksudnya ‘Dua Tanah Haram’. Imam ini cukup terkenallah di Makkah dan di Madinah, (lalu) diberi nama Imam Haramain. Belajar dengan Imam Haramain ini, Imam Haramain cukup sayang kepadanya kerana dalam banyak-banyak anak muridnya, Imam Ghazali yang paling handal, paling hebat dalam ilmu-ilmu agama dan amalan. Sampaikan kalau Imam Haramain tidak ada, (jika) dia ada urusan di luar, dia akan suruh Imam Ghazali tolong mengajar. Padahal masa itu Imam Ghazali muda lagi.

Apabila sampai umurnya 25 tahun, dia dipilih sebagai seorang pensyarah di Universiti Nizamiyyah. Umur baru 25 tahun. Dia mengajar itu pun orang-orang yang sebaya dengannya, menunjukkan handalnya dia.

Pada tahun 479 Hijrah, Imam Haramain iaitu tok gurunya yang handal itu meninggal. Apabila tok gurunya meninggal, orang lantik dia jadi pensyarah menggantikan tempat tok gurunya. Muda lagi dia masa itu. Yang lantik dia siapa dia? Perdana Menteri Nizam al-Mulk, dari Bani Abbasiyyah.