19.4.11

Syarah Hikmah Al-Ghazali 1

HIKMAH 1

“Akhirat itu di hadapan dan dunia itu di belakang. Ajal itu dekat. Perjalanan itu jauh. Perbekalan itu sedikit. Bahaya itu besar. Dan jalan itu tertutup.”

Mengapa akhirat itu di hadapan?

Kerana kita sedang menuju ke arahnya, dan akhirat itulah matlamat sebenar kita, iaitu kehidupan yang kekal. Ia sedang datang dan semakin hampir, tetapi kita kurang menghiraukannya kerana kita selalu meyakinkan diri sendiri bahawa ia masih jauh.

Antara tindakan kita – Tanamkan dalam hati dan ingatlah selalu bahawa : “Aku sedang menuju kematian.” Ia mungkin berlaku sebentar lagi, malam ini, esok, minggu depan dan seterusnya. Kaedah begini dapat memotivasikan kita untuk menambah ilmu, meningkatkan iman dan melonjakkan amal-amal soleh.

Mengapa dunia itu di belakang?

Kerana kita sedang bergerak meninggalkannya, dan dunia itu hanyalah sementara. Ia perlahan-lahan sedang pergi dan semakin menjauh... menjauh..... menjauh.......

Antara tindakan kita – Berusaha keraslah untuk dunia, tetapi jangan melebihi usaha kita untuk akhirat. Bandingkan jumlah masa yang kita habiskan sehari-hari untuk memenuhi keperluan keduniaan kita dengan masa yang dihabiskan untuk memenuhi keperluan keakhiratan kita. Cubalah seimbangkan kedua-duanya. Tidak ada salahnya jika sesekali kita memotivasikan diri dengan menyebut: “Selamat tinggal dunia. Selamat tinggal semua.”

Bahkan kita boleh cuba duduk bersendirian pada waktu malam hening, andaikan diri kita bakal pergi buat selama-lamanya malam ini, dan tuliskan pesanan-pesanan untuk orang-orang yang rapat dengan kita. Tinggalkan pesanan untuk ibu, bapa, suami, isteri, anak-anak...

InsyaAllah bermanfaat.

Mengapa ajal itu dekat?

Kerana ia sedang bergerak ke arah kita dan semakin hari semakin hampir.

Kerana ia boleh berlaku pada bila-bila masa, tanpa dijangka dan dengan sangat segera.

Kerana Malaikat Maut iaitu Izrail tidak boleh dihalang oleh apa jua pun daripada mendekati kita. Ketika ajal datang, kita tidak boleh bergerak menjauhinya, melainkan ia akan berlaku ketika itu juga.

Antara tindakan kita – Cukuplah mati itu sebagai peringatan. Selalulah berfikir tentang kematian dan alam selepasnya. Tidak ada salahnya jika sesekali kita memotivasikan diri dengan menyebut : “Selamat datang kematian. Selamat datang pemutus segala nikmat dunia.” Hal ini kerana pada hakikatnya memang kematian itu sedang mendatangi kita, tetapi hanya kita yang selalu menyedapkan hati dengan beranggapan yang ia masih sangat jauh dan tidak bergerak-gerak dari tempatnya.

Mengapa perjalanan itu jauh?

Kerana apa yang hendak kita capai di dunia yang sekejap ini pun memakan masa yang lama untuk mencapainya. Berapa lama kita berusaha untuk berjaya dalam hidup di dunia? Berapa banyak masa, belanja dan tenaga sudah dihamburkan untuk berada dalam keadaan kita hari ini?

Sedangkan apa yang hendak kita kita capai di akhirat, iaitu matlamat terakhir kita itu memakan masa yang jauh lebih lama untuk mencapainya. Kita terpaksa melalui pelbagai peringkat yang setiap satunya boleh memakan masa yang amat lama. Antara peringkatnya ialah alam dunia, alam sakaratul maut, alam kubur, Padang Mahsyar, timbangan amal, titian sirat dan lain-lain. Berapa lama masa yang diperlukan untuk menamatkan pengembaraan terpanjang ini? Seribu tahun? Sepuluh ribu tahun? Sejuta tahun?...

Sebab itu perjalanan itu.... sangat jauh...

Antara tindakan kita – Siapkanlah perbekalan untuk hidup di dunia, sepadan dengan usia kita di dunia ini, iaitu sekitar 70-80 tahun. Mahu siapakan perbekalan untuk anak cucu? Baiklah, siapakanlah untuk 300 tahun. Dan siapkanlah perbekalan untuk hidup di akhirat, sepadan dengan usia kita dan anak cucu kita di sana, iaitu selama-lamanya.

Carilah guru, rakan dan buku. Pelajarilah cara menyediakan bekalan-bekalan untuk setiap alam yang disebutkan di atas tadi.

Mengapa perbekalan itu sedikit?

Kerana kita lalai mengejar fatamorgana. Fatamorgana-fatamorgana ini sebenarnya menyimpangkan perjalanan kita daripada laluan sebenar menuju Allah. Lagi diikut, lagi seronok kerana ia mengghairahkan kita untuk mencapainya. Sebenarnya, lagi diikut, lagi jauh kita tersimpang dan tersesat.

Kerana kita meyakinkan diri sendiri bahawa kematian itu lambat lagi berlakunya dan kita punya banyak masa lagi untuk membuat persediaan. Kita selalu menangguh-nangguhkan kerja mempersiap bekalan ke sana, padahal untuk setiap satu alam yang bakal kita lalui itu, ada perkara-perkara yang perlu kita bawa untuk melepasinya.

Tindakan kita – Tanamkan dalam sanubari, bahawa : “Aku tak akan kalah dengan fatamorgana.” Apabila bertemu dengan perkara-perkara yang menjauhkan kita dari agama, sekalipun menyenangkan kita, sebut saja, “Fatamorgana semua ini” dan menjauhlah daripadanya dengan sesegera mungkin.

Mulai saat ini, fikir-fikirkanlah : “Apa yang boleh aku buat mulai hari ini dan seterusnya untuk menyiapkan perbekalan untuk hidup di akhirat?” Senaraikan perancangan anda, dan laksanakanlah perancangan itu.

Mengapa bahaya itu besar?

Kerana jika kita tersilap memilih jalan, kita akan mengalami kerugian dan penderitaan yang tidak ada tolok bandingnya lagi di akhirat kelak. Rumah terbakar, kaum keluarga mati dibunuh, hilang pekerjaan, dipenjara 100 tahun, dihukum mati dengan suntikan beracun dan sebagainya di dunia ini hanyalah sebutir debu jika hendak dibandingkan dengan bahaya, kerugian dan penderitaan yang bakal dialami di akhirat kelak. Tidak ada bahaya yang lebih besar daripada bahaya alam akhirat. Dan tidak ada nikmat yang lebih besar daripada nikmat alam akhirat. Yang mana satu pilihan hati kita?

Antara tindakan kita – Ambil tahulah tentang hal ehwal sakaratul maut, alam kubur, Padang Mahsyar, timbangan amal, titian, syurga, neraka dan lain-lian yang bersangkutan dengan alam akhirat. Dengan mnegetahui serba-sedikit tentang ini semua, akan memotivasikan kita ke arah mencapai kecemerlangan di dunai dan di akhirat.

Mengapa jalan itu tertutup?

Kerana jalan itu perkara ghaib. Hakikatnya tidak dapat dikesan oleh pancaindera dan fikiran makhluk, membuatkan kita memandang remeh padanya. Kita tidak nampak dosa pahala, malaikat-malaikat yang membuat catatan, syaitan-syaitan jin yang menggoda, Malaikat Maut dan alam akhirat. Seandainya jalan itu terbuka, lain ceritanya. Sebab tertutup itulah maka kita sangat kurang ambil peduli tentangnya.

Antara tindakan kita – Buka sedikit demi sedikit pengetahuan tentang jalan yang tertutup itu dengan mengambil tahu hal ehwal alam akhirat. Apabika kita sudah boleh ‘nampak’ sebahagian alam itu, akan lebih mantaplah iman dan usaha kita berbanding sebelum ini. InsyaAllah.