28.7.11

Puasa Menurut Al-Quran dan As-Sunnah

PUASA MENURUT AL-QURAN DAN AS-SUNNAH

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.

Segala pujian bagi Allah yang telah menganugerahkan kebaikan yang amat besar kepada segala hamba-Nya dengan menolakkan tipuan dan kecerdikan syaitan daripada mereka, dan menolakkan harapan dan mengecewakan sangkaan dari syaitan itu, kerana Allah telah menjadikan puasa suatu benteng dan kota pertahanan bagi segala aulia’-Nya. Dan membukakan bagi mereka dengan puasa itu segala pintu syurga.

Serta memperkenalkan kepada mereka bahawa jalan syaitan ke dalam hati segala aulia’-Nya ialah nafsu yang telah teguh kuat. Dan dengan mencegah segala hawa nafsu itu, maka jadilah jiwa yang aman tenteram, menampak keperkasaannya dalam membasmi musuhnya yang teguh cita-citanya.

Dan selawat kepada Nabi Muhammad, pemimpin segala makhluk dan yang mempersiapkan sunnah. Dan kepada kaum keluarga dan para sahabatnya yang mempunyai pandangan mata yang tembus dan akal fikiran yang kukuh kuat. Kiranya Allah mencurahkan keselamatan sebanyak-banyaknyan kepada mereka.

Kemudian dari itu, bahawa puasa itu adalah ¼ iman menurut sabda Nabi saw :

“Puasa itu separuh (daripada) kesabaran.” (Turmizi, Ibnu Majah)

Dan menurut sabdanya lagi :

“Sabar itu separuh (daripada) iman.”(Abu Na’im, sanad baik)

Kemudian, puasa itu beroleh kedudukan yang istimewa dengan disandarkan kepada Allah Ta’ala apabila dibandingkan dengan rukun-rukun Islam lainnya, kerana firman Allah Ta’ala menurut yang diceritakan Nabi saw :

“Setiap perbuatan baik itu pahalanya 10 kali sampai kepada 700 kali, selain puasa. Maka puasa itu adalah bagi-Ku dan Aku akan membalasnya.” (Bukhari, Muslim)

Allah Ta’ala berfirman :

“Sesungguhnya orang-orang yang berhati teguh (bersabar) itu akan dibayar pahalanya dengan tiada batas.” (Az-Zumar: 10)

Dan puasa itu adalah setengah (daripada) sabar. Maka pahalanya melampaui undang-undang penentuan dan penghitungan. Cukuplah bagi anda untuk mengetahui kelebihannya berdasarkan sabda Nabi saw :

“Demi Allah yang jiwaku di dalam tanganNya! Sesungguhnya bau busuk mulut orang yang berpuasa adalah lebih harum di sisi Allah daripada bau kasturi. Berfirman Allah Ta’ala : “Sesungguhnya orang yang berpuasa itu meninggalkan hawa nafsu, makanan dan minuman kerana Aku. Maka puasa itu untukKu dan Aku akan membalasnya.” (Bukhari, Muslim)

Bersabda Nabi saw :

“Syurga itu mempunyai sebuah pintu yang dinamakan Ar-Rayyan. Yang tidak memasuki pintu itu selain orang-orang yang berpuasa. Dan dijanjikan dengan menemui Allah Ta’ala pada balasan puasanya.” (Bukhari, Muslim)

Bersabda Nabi saw :

“Orang yang berpuasa itu mempunyai dua kesenangan : kesenangan ketika berbuka, dan kesenangan ketika berjumpa dengan Tuhannya.” (Bukhari, Muslim)

Bersabda Nabi saw :

“Setiap sesuatu itu mempunyai pintu. Dan pintu ibadah itu ialah puasa.”

Bersabda Nabi saw :

“Tidur orang yang berpuasa itu ibadah.”

Diriwayatkan oleh Abi Hurairah ra bahawa Nabi saw bersabda :

“Apabila masuk bulan Ramadhan, maka terbukalah segala pintu syurga dan terkuncilah segala pintu neraka dan dirantaikan segala syaitan. Dan berserulah seorang penyeru : “Wahai orang yang ingin berbuat kebajikan! Marilah kamu! Wahai orang yang ingin berbuat kejahatan! Hentikanlah kejahatan itu!” (Turmizi)

Berkata Waki tentang firman Allah Ta’ala :

“Makan dan minumlah dengan kepuasan disebabkan (amalan baik) yang telah kamu kirimkan terlebih dahulu pada hari yang lampau.” (Al-Haqqah : 24)

Adalah yang dimaksudkan dengan hari-hari yang lampau itu ialah hari-hari puasa, kerana mereka telah meninggalkan padanya makan dan minum.

Telah dikumpulkan oleh Rasulullah saw dalam tingkatan membanggakan antara zuhud di dunia dan puasa ,dengan sabdanya :

“Bahawa sesungguhnya Allah Ta’ala membanggakan kepada para malaikat-Nya dengan seorang pemuda yang banyak beribadah dengan firmanNya : “Wahai pemuda yang meninggalkan hawa nafsunya kerana-Ku, yang menyerahkan kemudaannya bagi-Ku! Engkau pada sisiKu adalah seperti sebahagian para malaikat-Ku.” (Ibnu Uda, sanad dhaif)

Bersabda Nabi saw tentang orang yang berpuasa :

“Berfirman Allah ‘Azza wa Jalla : “Lihatlah wahai para malaikat-Ku kepada hamba-Ku yang meninggalkan hawa nafsunya, kesenangannya dan makan minumnya kerana Aku.”

Ada Yang mengatakan tentang firman Allah Ta’ala :

Tidak ada seorang pun yang mengetahui cahaya mata yang disembunyikan untuk mereka, sebagai balasan atas apa yang mereka kerjakan.” (As-Sajjadah : 17)

bahawa amalan mereka itu ialah puasa. Kerana Allah berfirman : “Sesungguhnya orang-orang yang berhati teguh (sabar) itu akan dibayar cukup pahalanya dengan tiada terbatas.” (Az-Zumar : 10)

Maka dituangkan balasan bagi orang yang berpuasa, dan dilebihkan dengan kelebihan tanpa takaran (tanpa sukatan). Dan yang demikian itu tidak masuk di bawah sangkaan dan taksiran.

Maka layaklah adanya yang demikian itu, kerana puasa adalah untuk-Nya, dan itu tanda kemuliaan dengan disangkutkan (ibadah puasa itu terus) kepada-Nya, meskipun ibadah itu seluruhnya adalah untuk-Nya, sebagaimana dimuliakan sebuah rumah (Baitullah) dengan disangkutkan kepada-Nya (iaitu sebagai Rumah Allah), padahal seluruh bumi adalah kepunyaan-Nya, adalah kerana dua pengertian :

Pertama :

Bahawa puasa itu mencegahkan dan meninggalkan. Dan pada puasa itu sendiri ada rahsia. Tidak ada padanya perbuatan yang terlihat, sedangkan segala amalan taat adalah dengan disaksikan dan dilihat oleh orang ramai. Dan puasa itu tidak ada yang melihatnya mealinkan Allah ‘Azza wa Jalla. Dari itu, puasa adalah amalan pada batin dengan kesabaran semata-mata.

Kedua :

Bahawa puasa itu adalah paksaan bagi musuh Allah ‘Azza wa Jalla. Sesungguhnya jalan bagi syaitan, dikutuk Allah akan dia, ialah (melalui) hawa nafsu, dan hawa nafsu itu menjadi kuat dengan makan dan minum.

Kerana itulah bersabda Nabi saw :

“Sesungguhnya syaitan berjalan pada anak Adam pada tempat jalan darahnya. Maka sempitkanlah tempat laluannya dengan lapar.” (Bukhari, Muslim)

Kerana itu bersabda Nabi saw kepada A’isyah ra :

“Berterusanlah mengetuk pintu syurga!”

Bertanya A’isyah ra : “Dengan apa?”

Maka jawab Nabi saw : “Dengan lapar.” (Menurut Al-Iraqi, dia tidak menemui hadith ini)

Dan akan datang keutamaan lapar pada Kitab (Bab) Kelobaan Makanan dan Mengubatinya dari bahagian (rubu’) Yang Membinasakan.

Tatkala puasa itu khususnya adalah pencegahan bagi syaitan, penghambatan bagi tempat-tempat yang dilaluinya, penyempitan bagi tempat-tempat yang ditempuhinya, maka berhaklah puasa itu dikhususkan penyangkutannya kepada Allah ‘Azza wa Jalla. Maka pada mencegah musuh Allah itu adalah menolong (agama) Allah SWT. Dan menolong Allah Ta’ala adalah terhenti kepada menolong-Nya.

Berfirman Allah Ta’ala :

“Kalau kamu menolong Allah (agama) tentu Allah akan menolong kamu dan mengukuhkan kedudukanmu.” (Muhammad : 7)

Maka permulaannya adalah dengan perjuangan dari hamba dan pembalasan dengan petunjuk daripada Allah ‘Azza wa Jalla. Kerana itulah Allah Ta’ala berfirman :

“Dan orang-orang yang berjuang untuk Kami, nescaya Kami akan tunjukkan kepada mereka jalan Kami.” (Al-Ankabut : 69)

Dan berfirman Allah Ta’ala :

“Sesungguhnya Allah tidak mengubah keadaan sesuatu kaum, sebelum mereka mengubah keadaan diri mereka sendiri.” (Ar-Ra’d : 11)

Dan bahawasanya perubahan itu ialah pembanyakan hawa nafsu. Maka hawa nafsu adalah tempat bersenang-senang dan tempat menjaga diri syaitan-syaitan. Maka selama hawa nafsu itu subur, nescaya tidak putus-putuslah para syaitan itu pergi balik. Dan selama mereka pergi balik itu, nescaya tidaklah terbuka bagi hamba akan kebesaran Allah SWT. Dan adalah ia terdinding daripada menemui-Nya.

Nabi saw bersabda :

“Jikalau tidaklah syaitan-syaitan itu berkeliling di atas hati anak Adam, nescaya anak-anak Adam melihat ke alam malakut yang tinggi.” (Ahmad)

Maka dari sudut ini, jadilah puasa itu pintu ibadah dan banteng. Dan apabila besar kelebihannya sampai kepada batas ini, maka tidak boleh tidak daripada menerangkan syarat-syarat, yang zahir dan yang batin dengan menyebutkan rukun-rukun, sunat-sunat dan syarat-syaratnya yang batin. Dan Kami terangkan yang demikian itu dalam 3 bahagian :