29.5.11

Terjemahan Ihya' 'Ulumiddin - Muqaddimah

Bismillahirrahmanirrahim.

Pertamanya aku (Al-Ghazali) memuji Allah, pujian yang yang banyak, berturut-turut, walaupun amat kecil pujian pemuji-pemuji itu, kurang daripada hak keagungan-Nya.

Kedua, aku berselawat dan mengucapkan salam kepada rasul-rasul-Nya, selawat yang meratai rasul-rasul yang lain, bersama penghulu umat manusia.

Ketiga, aku memohonkan kebajikan kepada Allah Taala, tentang membangkitnya cita-citaku mengarang sebuah kitab tentang menghidupkan kembali ilmu-ilmu agama.

Keempat, aku menentang, untuk memotong kesombonganmu wahai pencela, yang melampaui batas dalam mencela, di antara golongan orang-orang yang engkar, yang berlebih-lebihan mencaci dan melawan, di antara lapisan orang-orang yang melawan, yang lalai.

Maka sesungguhnya sudah terlepas ikatan diam dari lidahku. Sudah dikalungkan pada lehermu tanggungan berkata-kata dan kalung mutiara bertutur kata, selama engkau berkekalan buta akan kebenaran yang nyata, serta berpanjangan menolong yang batil, membaguskan kebodohan dan mengobarkan fitnah kepada orang, yang memilih mencabut diri sedikit dari adat kebiasaan orang banyak. Dan ia cenderung sedikit dari membiasakan diri mengikuti kebiasaan itu, kepada beramal dengan yang dikehendaki oleh ilmu, kerana mengharap mencapai apa yang diajak oleh Allah Ta’ala beribadah kepada-Nya, iaitu membersihkan diri dan membaikkan hati. Dan untuk memperoleh kembali sebahagian apa yang telah dibuang-buangkannya, dari menyia-nyiakan umur, kerana putus asa dari kesempurnaan memperoleh kembali dan menampalkannya. Dan tersisih dari kumpulan orang, yang dikatakan terhadap mereka oleh yang empunya syariat – rahmat Allah dan sejahteraNya kepadanya.

“Manusia yang sangat menderita azab pada hari qiamat ialah orang berilmu yang tidak diberi manfaat oleh Allah SWT dengan ilmunya.” (Thabrani, Baihaqi dengan isnad dhaif).

Demi umurku, sesungguhnya tiada sebab untuk berkekalan kamu kepada kesombongan, selain oleh penyakit yang meratai orang ramai. Bahkan telah meratai golongan orang-orang yang teledor daripada memerhatikan (betapa) pentingnya persoalan ini. Dan bodoh, bahawa persoalan ini besar. Dan keadaannya itu sungguh-sungguh. Akhirat itu di hadapan dan dunia itu di belakang. Ajal itu dekat. Perjalanan itu jauh. Perbekalan itu sedikit. Bahaya itu besar. Dan jalan itu tertutup. Selain keikhlasan kerana Wajah Allah, dari ilmu dan amal, adalah tertolak pada pihak pengecam, yang dapat melihat.

Berjalan ke akhirat serta banyaknya tipu daya, (dan dengan keadaan) tanpa petunjuk dan teman, adalah payah dan sukar. Maka penunjuk-penunjuk jalan itu ialah kaum ulama. Mereka ialah pewaris para nabi. Telah kosonglah zaman dari mereka. Tidak ada yang tinggal kecuali orang-orang yang berbuat resmi-resmian. Kebanyakannya sudah digoda syaitan dan terjerumus ke dalam kesesatan. Masing-masing mereka telah tertarik kepada keuntungan yang dekat. Lalu memandang yang baik menjadi buruk, dan yang buruk menjadi baik. Sehingga ilmu agama sentiasa terinjak-injak dan cahaya hidayah hilang lenyap di segala pelusuk bumi.

Orang-orang itu berkhayal kepada orang ramai bahawa ilmu pengetahuan itu tidak lain daripada :

1. fatwa pemerintah yang dipakai oleh para qadhi untuk menyelesaikan persengketaan ketika berkecamuknya kezaliman.

2. Atau ilmu pengetahuan itu ialah perjidalan (perdebatan), yang diperalat oleh orang yang mencari kemegahan untuk menambah kemenangan dan keuntungan.

3. Atau ilmu pengetahuan itu itu ialah sajak yang dihiasi, yang dipergunakan oleh para penasihat supaya dapat mempengaruhi orang awam.

Kerana mereka itu tidak melihat selain daripada yang tiga tadi, tempat memburu yang haram dan menangguk harta kekayaan duniawi.

Adapun ilmu jalan akhirat yang ditempuh para ulama terdahulu yang soleh, yang dinamakan oleh Allah SWT dalam KitabNya dengan fiqh, hikmah, ilmu, cahaya, nur, hidayah dan petunjuk, maka (semua itu) telah dilipat (diketepikan) dari orang banyak dan menjadi hal yang dilupakan.

Manakala hal yang demikian itu menghancurkan agama dan mendatangkan bahaya yang mengerikan, maka aku berpendapat bahawa berusaha menyusun kitab ini adalah penting untuk menghidupkan kembali ilmu-ilmu agama, membukakan jalan yang dilalui para imam terdahulu, dan memberi penjelasan maksud dari ilmu pengetahuan yang berguna, dari nabi-nabi dan ulama-ulama terdahulu yang soleh.

Aku buatkan dasar kitab ini empat bahagian besar (empat rubu’) iaitu:

1. Bahagian Peribadatan (Ibadah).

2. Bahagian Pekerjaan Sehari-hari (Adat Kebiasaan).

3. Bahagian Perbuatan Yang Membinasakan.

4. Bahagian Perbuatan Yang Menyelamatkan.

Aku mulai dengan sejumlah Kitab (Bab) Ilmu kerana ilmu itu sangat penting.

Pertamanya aku bentangkan tentang ilmu, di mana segala orang berbakti kepada Allah dengan menuntutnya, di atas sabda Rasul saw yang bersabda : “Menuntut ilmu itu wajib atas setiap orang Islam.” (Ibnu Majah, dipandang dhaif oleh Al-Baihaqi dan beberapa orang lagi)

Aku akan bezakan padanya ilmu yang bermanfaat, dari ilmu yang mendatangkan melarat. Kerana Nabi saw bersabda: “Kita berlindung dengan Allah, dari ilmu yang tidak bermanfaat.” (Ibnu Majah, dengan isnad baik).

Aku akan buktikan kecenderungan manusia sekarang, (yang) jauh dari bentuk kebenaran. Tertipunya mereka dengan kilatan fatamorgana. Dan kepuasan mereka dengan kulit ilmu, tanpa isi.

Bahagian Ibadah melengkapi 10 kitab (10 tajuk besar):

1. Kitab Ilmu.

2. Kitab Kaedah-kaedah I’tiqad (aqidah).

3. Kitab Hikmah Bersuci.

4. Kitab Hikmah Solat.

5. Kitab Hikmah Zakat.

6. Kitab Hikmah Puasa.

7. Kitab Hikmah Haji.

8. Kitab Adab Membaca Al-Quran.

9. Kitab Zikir dan Doa.

10. Kitab Tertib Wirid Pada Masing-masing Waktunya.

Bahagian Pekerjaan Sehari-hari melengkapi 10 kitab:

1. Kitab Adab Makan.

2. Kitab Adab Perkahwinan.

3. Kitab Hukum Berusaha (bekerja).

4. Kitab Halal dan Haram.

5. Kitab Adab Berteman dan Bergaul Dengan Pelbagai Golongan Manusia.

6. Kitab ‘Uzlah.

7. Kitab Adab Bermusafir.

8. Kitab Mendengar dan Merasa.

9. Kitab Amar Ma’ruf dan Nahi Mungkar.

10. Kitab Adab Kehidupan dan Budi Pekerti Kenabian.

Bahagian Perbuatan Yang Membinasakan melengkapi 10 kitab:

1. Kitab Menghuraikan Keajaiban Hati.

2. Kitab Latihan Diri (jiwa).

3. Kitab Bahaya Nafsu Perut dan Kemaluan.

4. Kitab Bahaya Lidah.

5. Kitab Bahaya Marah, Dendam dan Dengki.

6. Kitab Tercelanya Dunia.

7. Kitab Tercelanya Harta dan Kikir.

8. Kitab Tercelanya Sifat Suka Kemegahan dan Cari Muka (riya’).

9. Kitab Tercelanya Sifat Takabur dan Berasa Hairan Akan Diri (‘ujub).

10. Kitab Tercelanya Sifat Tertipu Dengan Kesenangan Duniawi.

Bahagian Perbuatan Yang Melepaskan melengkapi 10 kitab:

1. Kitab Taubat.

2. Kitab Sabar dan Syukur.

3. Kitab Takut dan Harap.

4. Kitab Fakir dan Zuhud.

5. Kitab Tauhid dan Tawakkal.

6. Kitab Cinta Kasih, Rindu, Jinak Hati dan Rela.

7. Kitab Niat, Benar dan Ikhlas.

8. Kitab Muraqabah dan Muhasabah.

9. Kitab Memikirkan Hal Diri (tafakur).

10. Kitab Mengingati Mati.

Adapun Bahagian Ibadah, maka aku akan terangkan nanti peri adabnya yang mendalam, sunnahnya yang halus-halus dan maksudnya yang penuh hikmah, yang diperlukan oleh orang yang berilmu, yang mengamalkan. Bahkan tidaklah dari ulama akhirat, orang yang tidak memperhatikan kepadanya. Dan yang terbanyak daripadanya adalah termasuk yang disia-siakan dalam ilmu fiqh.

Adapun Bahagian Pekerjaan Sehari-hari, maka aku akan terangkan hikmah pergaulan yang berlaku antara sesama manusia, liku-likunya, sunatnya yang halus-halus dan sifat memelihara diri yang tersembunyi pada tempat-tempat lalunya. Iaitu yang mesti dimiliki oleh orang yang beragama.

Adapun Bahagian Perbuatan Yang Membinasakan, maka aku akan terangkan nanti semua budi pekerti yang tercela, yang tersebut dalam Al-Quran, dengan menghilangkannya, membersihkan jiwa dan mensucikan hati daripadanya.

Aku akan terangkan masing-masing dari budi pekerti itu, batas dan hakikatnya. Kemudian aku akan sebutkan punca terjadinya, kemudian bahaya yang timbul daripadanya, kemudian tanda-tanda mengenalinya, kemudian cara mengubatinya, supaya kita terlepas daripadanya. Semua itu disertai dengan dalil-dalil ayat, hadith dan kata-kata sahabat Nabi (atsar).

Adapun Bahagian Perbuatan Yang Melepaskan, maka aku akan terangkan semua budi pekerti yang terpuji dan keadaan yang disukai, yang menjadi budi pekerti orang-orang muqarrabin dan siddiqin, yang mendekatkan hamba kepada Tuhan semesta alam.

Aku akan terangkan pada setiap budi pekerti itu batasnya, hakikatnya, sebab yang membawa tertarik kepadanya, faedah yang boleh didapati daripadanya, tanda-tanda untuk mengenalinya dan keutamaan yang membawa kegemaran kepadanya, serta apa yang ada padanya, dari dalil-dali syariat dan akal fikiran.

Penulis-penulis lain sudah mengarang beberapa buku mengenai sebahagian daripada tujuan-tujuan tadi. Akan tetapi kitab ini berbeza daripada buku-buku itu dalam lima perkara:

1. Menghuraikan dan menjelaskan apa yang ditulis oleh penulis-penulis lain secara singkat dan umum.

2. Menyusun dan mengatur (kembali) apa yang mereka (para penulis itu) buat secara terpisah-pisah dan bercerai-cerai (dalam karya-karya mereka).

3. Meringkaskan apa yang mereka panjang-panjangkan, dan menentukan apa yang ditetapkan (diputuskan) oleh mereka.

4. Membuang apa yang mereka buat secara berulang-ulang, dan menetapkan dengan kepastian antara yang dihuraikan itu.

5. Memberi kepastian pada hal-hal yang meragukan, yang membawa kepada salah faham, yang (hal itu) tidak disinggung sedikitpun dalam buku-buku yang lain. Kerana semuanya, walaupun mereka itu menempuh jalan yang satu, tetapi tidak dapat dinafikan masing-masing orang salik itu mempunyai perhatian tersendiri kepada sesuatu hal yang tertentu baginya dan dilupakan teman-temannya. Ataupun dia tidak lalai dari perhatian itu, akan tetapi dia lupa memasukkannya ke dalam buku-bukunya. Ataupun dia memang tidak lupa, tetapi dipalingkan oleh sesuatu yang menghindarkannya daripada menyingkapkan yang tertutup daripadanya (tidak menyatakan hal itu atas sebab-sebab yang tertentu).

Maka inilah keadaan-keadaan khusus bagi kitab ini, serta mengandungi pula kesemua ilmu pengetahuan itu.

Sesungguhnya yang membuatkan aku membahagikan kitab ini kepada 4 bahagian adalah dua hal:

Pertama:

Pendorong asli – bahawa susunan ini pada menjelaskan hakikat dan pengertian, adalah seperti ilmu dharuri (ilmu yang mudah, tidak memerlukan pemikiran yang mendalam untuk memahaminya). Sebab pengetahuan yang menuju ke akhirat itu terbahagi kepada ilmu mu’ammalah dan ilmu mukasyafah.

Yang dimaksudkan dengan ilmu mukasyafah ialah yang diminta mengetahuinya sahaja. Dan (yang dimaksudkan) dengan ilmu mu’ammalah yang diminta selain mengetahuinya, ia hendaklah diamalkan.

Dan yang dikehendaki daripada kitab ini hanyalah ilmu mu’ammalah, bukan ilmu mukasyafah (kerana ia ilmu) yang tidak mudah menyimpannya dalam buku-buku (ilmu yang sukar untuk dijelaskan dengan tulisan), meskipun ia menjadi matlamat para pelajar dan keinginan perhatian orang-orang siddiqin.

Dan ilmu mu’ammalah itu adalah jalan kepada ilmu mukasyafah. Tetapi para nabi – rahmat Allah atas mereka – tidak memperkatakan kepada orang ramai melainkan tentang ilmu untuk jalan dan petunjuk kepada ilmu mukasyafah itu.

Adapun ilmu mukasyafah, mereka tidak membicarakannya melainkan dengan jalan rumus dan isyarat, yang merupakan contoh dan kesimpulan kerana para nabi itu tahu akan singkatnya pemahaman orang ramai untuk dapat memikulnya (memahaminya). Alim ulama itu adalah pewaris para nabi. Maka tidak ada jalan lain bagi mereka untuk berpaling daripada mengikuti dan mematuhinya.

Kemudian, ilmu mu’ammalah itu terbahagi kepada:

1. Ilmu zahir – iaitu ilmu tentang amal perbuatan anggota badan.

2. Ilmu batin – iaitu ilmu tentang amal perbuatan hati dan yang melalui pada anggota badan. Adakalanya adat kebiasaan dan adakalanya ibadah.

Dan yang datang pada hati yang dengan sebab terdinding dari pancaindera, termasuk bahagian alam malakut, adakalanya terpuji dan adakalanya tercela. Maka semestinyalah ilmu ini terbahagi kepada dua iaitu zahir dan batin.

Bahagian yang bersangkutan dengan anggota badan terbahagi kepada adat kebiasaan dan ibadah. Bahagian batin yang bersangkutan dengan hal ehwal hati dan budi pekerti terbahagi kepada yang tercela dan yang terpuji. Jadi semuanya berjumlah 4 bahagian. Dan tidaklah kurang perhatian pada ilmu muammalah daripada bahagian-bahagian ini.

Pendorong kedua:

Yang menggerakkan (aku) untuk menyusun kitab ini menjadi 4 bahagian ialah aku melihat keinginan para pelajar yang amat besar kepada ilmu fiqh, ilmu yang layak bagi orang yang tidak takut kepada Allah SWT, yang memperalat ilmu itu untuk mencari kemegahan dan penonjolan dengan kemegahan serta kedudukan dalam perlumbaan.

Dan ilmu fiqh itu terdiri daripada 4 bahagian. Dan orang yang menghiasi dirinya dengan hiasan yang disukai orang ramai, tentu dia akan disukai.

Maka aku tidak jauh dalam membentuk kitab ini dengan bentuk fiqh untuk menarik hati golongan pelajar. Dan kerana inilah sebahagian orang yang ingin menarik hati para pembesar kepada ilmu kesihatan bertindak lemah-lembut, lalu membentuknya dalam bentuk ilmu bintang dengan memakai ranji dan angka, dan menamakannya ilmu takwim kesihatan supaya kejinakan hati mereka dengan cara itu menjadi tertarik kepada membacanya.

Berlemah-lembut menarik hati orang kepada ilmu pengetahuan yang berguna dalam kehidupan abadi, adalah lebih penting daripada kelemah-lembutan menariknya kepada ilmu kesihatan, yang faedahnya hanya untuk kesihatan jasmaniah belaka.

Faedah pengetahuan (seperti dalam kitab) ini ialah membawa kesihatan kepada hati dan jiwa yang bersambung terus kepada kehidupan abadi. Apalah ertinya ilmu kesihatan itu yang hanya dapat mengubati tubuh kasar sahaja, yang akan hancur binasa dalam waktu yang tidak lama lagi. Kita bermohon kepada Allah SWT akan taufik bagi petunjuk dna kebenaran. Bahawa Allah Maha Pemurah lagi Maha Pengasih.