PENGENALAN
“Kunci solat ialah kesucian/kebersihan.” (Turmizi)
Bersih apa yang dimaksudkan itu? Bersih anggota badankah? Bersih pakaiankah? Bersih dari hadaskah?
“Kebersihan/ kesucian itu setengah daripada iman.” (Muslim)
Banyak orang berasa hairan, bagaimana kebersihan/kesucian itu begitu besar peratusannya pada keimanan, bahkan separuh! Mengapa sampai begitu hebat lagi penting sangat kebersihan/kesucian itu?
Sebenarnya kehairanan itu timbul kerana mereka menyangkakan kebersihan/kesucian itu hanyalah kebersihan atau kesucian fizikal/ luaran/ zahir. Kebersihan zahir tidaklah kita nafikan kepentingannya, tetapi kebersihan dalaman/batin yang bersangkutan dengan jiwa/hati/kalbu/nurani/rohani adalah jauh lebih penting. Jika yang dimaksudkan hanyalah kebersihan luaran, ia tidak akan mencapai separuh daripada keimanan. Fahamilah perkara ini baik-baik.
Membersihkan anggota badan umumnya beres bagi kita semua, tetapi membersihkan anggota batin (hati, jiwa)? Ramai orang yang tersangkut. Dalam pengajian kitab Ihya’ ‘Ulumiddin ini, kita bukan sahaja hendak membersih dan mensucikan anggota badan, tetapi juga hendak mencapai separuh daripada iman, iaitu dengan membersihkan hati/jiwa kita sekaligus.
Ilmu fiqh membawa kita kepada kebersihan tubuh badan, dan itulah batas pencapaiannya (peringkat tertingginya). Ringkasnya, dengan fiqh semata-mata, kita tidak akan mencapai “kebersihan separuh daripada iman” itu. Ilmu tasawuf pula membawa kita lebih daripada batasan fiqh itu, iaitu membersihkan juga dalaman (hati/jiwa) kita, yang memungkinkan kita mencapai “kebersihan separuh daripada iman”.
Dari itu, marilah kita meneruskan pengajian kita hingga ke akhirnya, insyaAllah.