TINGKAT-TINGKAT BERSUCI
Bersuci atau membersih itu terdiri daripada 4 tingkat:
1. Membersihkan anggota tubuh yang zahir daripada hadas, najis, kotoran dan benda menjijikkan.
2. Membersihkan anggota badan daripada perbuatan yang mendatangkan dosa.
3. Membersihkan anggota batin (hati) daripada sifat-sifat mazmumah (yang dikeji pada syarak).
4. Membersihkan sir (rahsia atau batin) dari segala sesuatu selain Allah SWT.
BERSIH PERINGKAT TERTINGGI
Tingkat tertinggi iaitu tingkat keempat itu adalah tingkat para nabi dan para siddiqin. Penamat amalan sir ialah dengan terbuka kebesaran dan keagungan Allah. Ma’rifah kepada Allah tidak akan tercapai kecuali setelah ‘berangkat daripada kita’ segala sesuatu selain Allah. Mana mungkin Allah dan segala sesuatu selain Allah ‘berada’ serentak pada hati kita kerana :
“Allah tidak menjadikan seseorang itu mempunyai dua hati di dalam dadanya.” (Al-Ahzaab : 4)
TINGKAT BERSIH YANG KITA MAHU CAPAI
Tadi sudah diberikan sedikit gambaran tentang kemuncak suci/bersih. Namun begitu, kita ini orang biasa-biasa, bukannya para nabi dan bukan juga para siddiqin. Maka yang hendak kita bersihkan buat masa ini ialah tingkat 1, 2 dan 3. Cuba renung kembali kebersihan tingkat 1, 2 dan 3 itu. Sudahkah kita memilikinya?
Jika belum, tidak mahukah kita mencapai kebersihan tingkat 1, 2 dan 3 itu? Jika mahu, marilah sama-sama kita meneruskan pengajian kitab Ihya’ ‘Ulumiddin peninggalan Imam Al-Ghazali ini. InsyaAllah tercapai maksud kita.