KITAB AL-RISALAH AL-LADUNIYYAH berkisar tentang ilmu laduni. Tokoh mujaddid ini mengarang kitab tersebut kerana:
“Ketahuilah, bahawa salah seorang daripada kawan-kawanku telah menceritakan kepadaku kisah seorang alim yang MENGENGKARI (MENOLAK) ILMU GHAIB LADUNI, iaitu ilmu yang menjadi pegangan pemimpin tasawuf dan tumpuan ahli tariqat, yang (kaum sufi) berpendapat bahawa ilmu laduni adalah LEBIH MANTAP dan LEBIH TEPAT daripada ilmu-ilmu yang diperolehi melalui jalan usaha atau yang diperolehi dengan jalan belajar.”
Ringkasnya, Imam Ghazali menyusun kitab Ar-Risalah Al-Laduniyyah untuk mempertahankan KEWUJUDAN dan KEBENARAN ILMU LADUNI. Ilmu laduni ini adalah lebih mantap daripada ilmu-ilmu yang kita perolehi dengan cara belajar, dan menjadi pegangan ahli-ahli sufi. Kebetulan ada seorang ulama pada zaman itu menolak ilmu laduni (pada zaman sekarang pun ramai) dan Imam al-Ghazali diminta memberi penjelasan oleh sahabatnya. Terhasillah kitab ini.
Menurut sahabat Imam al-Ghazali, ulama itu berpandangan :
“Ilmu-ilmu (agama) ini hanya didapati dengan (cara) BELAJAR DAN MENGKAJI.”
Maksudnya tidak ada sebarang ilmu yang boleh diperolehi melalui jalan laduni. Begitu pegangan ulama tersebut.
Kata al-Ghazali lagi:
“Bagaimana seseorang itu mengetahui ilmu tafsir (dalam keadaan menafikan ilmu laduni) sedangkan Al-Quran adalah satu lautan besar yang mengandungi segala maklumat.”
“AHLI TAFSIR TEPI JALAN (ulama yang menafikan ilmu laduni) ini seolah-olah tidak mengetahui bahagian-bahagian ilmu, perinciannya, tingkatnya, hakikat-hakaikatnya, kenyataan-kenyataannya dan batinnya. Memang sudah menjadi adat, bahawa orang yang jahil memang selalu mengengkari (menolak).”
Memanglah, biasanya manusia menentang perkara-perkara (baik) yang mereka tidak tahu.
Seterusnya Imam al-Ghazali membahaskan tentang ilmu. Antara perkara penting yang dicatatnya:
“Orang yang mempunyai ilmu tauhid ini adalah yang paling utama antara ulama.”
.“Oleh itu ulama ilmu tauhid secara umumnya ialah nabi-nabi. Selepas mereka barulah ulama yang menjadi waris para nabi.”
“Ahli-ahli tasawuf lebih kuat berpegang pada ruh dan kalbu, daripada berpegang pada peribadi. Oleh kerana ruh itu adalah urusan Allah Taala, maka kewujudan ruh di dalam badan (fizikal kita ini) adalah sebagai ‘orang asing’. Mukanya mengarah kepada asalnya dan tempat datangnya. Ia (ruh) dapat mengambil faedah-faedah daripada pihak asalnya (Tuhan) lebih banyak daripada apa yang ia dapat daripada pihak peribadinya apabila ruh itu kuat dan tidak dikotori oleh kekotoran-kekotoran tabiat.”
PEMBAHAGIAN ILMU MENURUT AR-RISALAH AL-LADUNIYYAH
Menurut Al-Ghazali, ilmu terbahagi kepada dua:
1. Ilmu syar’i
2. Ilmu aqli
ILMU SYAR’I terbahagi kepada dua:
1.1 Ilmu usul
1.2 Ilmu furu’
Ilmu usul pula terbahagi kepada tiga:
1.1.1 Ilmu tauhid
1.1.2 Ilmu tafsir
1.1.3 Ilmu akhbar (hadith)
Ilmu furu’ ada tiga hak:
1.2.1 Hak Allah Taala – iaitu ibadah kita.
1.2.2 Hak hamba – iaitu mu’ammalah dan mu’aqidah (kedua-duanya dinamakan ilmu fiqh)
1.2.3 Hak jiwa – iaitu ilmu akhlak
ILMU AQLI ada tiga:
2.1 Ilmu matematik, falak, geografi, muzik, logik.
2.2 Ilmu tabii, kedoktoran.
2.3 Ilmu yang membicarakan tentang malaikat, syaitan, mukjizat, karamah, mimpi.
CARA-CARA MENDAPATKAN ILMU MENURUT AR-RISALAH AL-LADUNIYYAH
Menusia memperolehi ilmu melalui dua cara:
1. Pengajian Insani
2. Pengajian Rabbani
Pengajian Insani ada dua bahagian:
1.1 Ilmu dari luar masuk ke dalam diri kita. Contohnya mendengar guru mengajar, membaca buku, menonton video dan sebagainya.
1.2 Ilmu datang dari dalam diri kita, iaitu dengan cara kita berfikir.
Pengajian Rabbani juga ada dua bahagian:
2.1 Ilmu yang kita ketahui melalui wahyu, iaitu ilmu nabawi.
2.2 Ilmu yang kita ketahui melalui ilham, iaitu ilmu laduni.
Sebahagian manusia yang jahil menolak Pengajian Rabbani jenis kedua, iaitu ilmu laduni.
Kata Al-Ghazali : “Ilmu laduni ialah ilmu yang tidak ada perantaraan dalam mendapatkannya antara jiwa dengan Allah Taala.”
“Ilham adalah lemah jika dibandingkan dengan wahyu, tetapi (ia lebih) kuat jika dibandingkan dengan mimpi-mimpi.”
“Ilmu wahyu hanya khusus untuk para rasul (dan para nabi).”
“Ilmu laduni ialah untuk ahli kenabian dan kewalian, sebagaimana yang terjadi pada Nabi Khidhir as.”
“Berkata Amirul Mu’minin Ali bin Abi Talib dalam menceritakan tentang kitab (Taurat) Musa, bahawa syarah kitabnya ini dapat dibawa oleh 40 ekor unta. (Namun) Katanya (lagi): “Kalau dizinkan Allah (untuk aku mesyarahkan) makna-makna surah al-Fatihah (sahaja pun), nescaya aku dapat melaksanakannya hingga sebanyak itu juga.” Maksudnya (sebanyak) 40 bebanan unta.”
MasyaAllah... hebatnya Saiyidina Ali! Jika dia diberi peluang mensyarahkan surah Al-Fatihah sahaja, kitab syarahnya boleh dimuatkan di atas 40 ekor unta. Bagaimanalah agaknya jika dia berpeluang mensyarahkan keseluruhan Al-Quran? ...
Kata Al-Ghazali lagi : “... orang-orang yang sampai ke tingkat ilmu laduni tidak memerlukan penumpahan tenaga yang banyak untuk mendapatkan ilmu dan tidak penat dalam pengajian. Mereka belajar sedikit, dan tahunya banyak. Berpenat sedikit, berisitirehat banyak.”
“ (Selepas berkahirnya zaman para rasul dan nabi) Oleh itu, Allah mengunci pintu wahyu dan membuka pintu ilham, sebagai rahmat.”
Cara-cara mencapai ilmu laduni menurut Imam al-Ghazali :
1. Mempelajari semua ilmu, dan mengambil sebahagian yang lebih besar daripada kebanyakannya. Maksudnya menguasai sebahagian besar daripada setiap satu ilmu itu.
2. Latihan yang benar dan muraqabah yang betul.
3. Banyak berfikir.
Jika ketiga-tiganya diamalkan, peluang untuk mencapai ilmu laduni memang ada.
Tamat ringkasan isi kandungan Ar-Risalah Al-Laduniyyah.
KITAB MISYKATUL ANWAR umumnya menyentuh soal-soal keTuhanan peringkat tinggi, iaitu persoalan hakikat sebagaimana hidangan kitab Kasyful Asrar (karya Syeikh Muhammad Soleh al-Minangkabawi) dan kitab Durrun Nafis (karya Syeikh Muhammad Nafis al-Banjari) di alam Nusantara ini.
Kitab ini sebenarnya merupakan tafsir kepada Surah An-Nuur ayat 35-36. Imam al-Ghazali mentafsirkan ayat-ayat tersebut atas permintaan orang-orang yang memintanya membuka SEDIKIT rahsia keTuhanan. Tidaklah saya menghuraikan panjang lebar tentang kitab Misykatul Anwar dan kitab-kitab lain yang dimuatkan dalam Syarah Syarah Ihya’ ini, kerana maksud utama kita hanyalah untuk mensyarahkan lagi Syarah Ihya’ ‘Ulumiddin, bukannya untuk mensyarahkan kitab-kitab lain. Itu sahaja.
Saya membentangkan sedikit sinopsis kitab-kitab tersebut (Al-Munqiz min Adh-Dhalal, Ar-Risalah al-Laduniyyah, Misykatul Anwar, Kimia’ as-Sa’adah dan Minhaj al-‘Abidin) sekadar untuk memberi gambaran umum tentang isi sebahagian karya al-Ghazali yang pernah saya selami. Apatah lagi isi kitab Misykatul Anwar ini banyak membahaskan ilmu hakikat yang sukar untuk difahami oleh kebanyakan orang. Mengajarnya perlu lambat-lambat dan satu-satu agar tidak keliru. InsyaAllah kitab-kitab itu akan disyarahkan pada kesempatan yang lain, jika dipanjangkan umur.
Satu perkara yang kita patut tahu, isi kitab Misykatul Anwar ini sebaiknya dihidangkan kepada mereka YANG BERHAJAT UNTUK MENGETAHUINYA SAHAJA. Mengapa saya berkata begitu? Penjelasannya ada dalam perkataan tuan imam sendiri:
“Demikianlah permintaan saudara (agar aku menulis kitab Misykatul Anwar ini). Tetapi dengan permintaan itu (sebenarnya) saudara telah bercita-cita hendak memanjat ke tempat yang tinggi, yang sukar didaki. Tinggi sekali, hinggakan tidak terdaya oleh manusia biasa. Saudara telah mengetuk pintu yang terkunci, YANG HANYA AKAN DIBUKA KEPADA MEREKA YANG MENGETAHUI DAN MENGENAL DENGAN SEBENARNYA DAN TETAP KEYAKINANNYA. Tambahan pula, BUKAN SETIAP RAHSIA ITU AKAN DIBENTANG ATAU DIPAMERKAN kerana:
“Hati-hati yang mulia itu menutup rahsia-rahsia seperti liang lahat.”
Aataupun sebagaimana kata orang arif:
“Membuka rahsia keTuhanan itu adalah seperti menafikan Tuhan.”
“(Kata Al-Ghazali) Jika rahsia itu dikeluarkan, hanya ORANG-ORANG JAHIL SAHAJA YANG AKAN MENAFIKANNYA (menolaknya). Walau bagaimana ramaipun orang-orang jahil itu, rahsia-rahsia itu mestilah dipelihara dan jangan dibiarkan ia dinodai oleh orang-orang yang berdusta.”
Menurut tuan imam, ilmu yang bakal dihidangkannya ini adalah sangat ‘tinggi’. Ia hanya diajarkan kepada orang-orang yang dikira sudah layak untuk menanggungnya. Dalam agama memang ada ilmu-ilmu tertentu yang dirahsiakan. Ia dirahsiakan atas sebab-sebab yang munasabah. Hal ini bukan bermaksud kita sengaja tidak mahu menyebarkan ilmu-ilmu agama, tetapi atas kemaslahatan tertentu. Dalam kehidupan seharian kita pun, kita tidak mengajarkan ilmu fizik, ilmu membunuh musuh, ilmu hubungan lelaki wanita yang sudah berkahwin, ilmu mentadbir negara, ilmu perdagangan antarabangsa dan lain-lain kepada kanak-kanak, kerana belum sampai pemahaman dan keperluan mereka terhadapnya.
Tapi, mengapa Imam al-Ghazali menyiapkan juga buku ini walaupun dia tahu akan kewujudan risiko? Kita hayati kata-katanya:
“Tetapi saya percaya, hati saudara (orang-orang yang membuat permintaan itu) sudah dibuka oleh cahaya itu, dan kesedaran saudara sudah bersih daripada kegelapan jahil (maksudnya mereka ini sudah beres asas-asas agama). Oleh itu, saya tidak teragak-agak membawa saudara menuju hakikat yang mulia dan suci itu, kerana KESALAHAN MENYEMBUNYIKAN ILMU DARI ORANG-ORANG YANG MENGHENDAKINYA adalah sama dengan KESALAHAN MENGELUARKAN ILMU KEPADA ORANG-ORANG YANG MENSIA-SIAKANNYA. Seperti kata penyair : “Orang yang memberi ilmu kepada si bodoh, akan hilanglah ilmu itu. Orang yang MENAHAN ILMU DARI ORANG YANG MEMERLUKANNYA, ADALAH MEMBUAT DOSA.”
Kitab ini disiapkannya juga kerana ada orang yang berhajat dan layak untuk mengetahuinya. Di samping itu tuan imam juga tidak mahu terlibat dengan dosa tidak menyampaiakn ilmu kepada ornag-orang yang sudah layak mempelajarinya. Jelaslah sudah, sememangnya ilmu dalam kitab Misykatul Anwar ini, sebaiknya disampaikan kepada mereka yang menghendakinya/berhajat sahaja.
Tafsiran ayat-ayat daripada surah An-Nuur ini sedikit-sebanyak melegakan rindu kita kepada Tafsir Al-Ghazali sebanyak 40 jilid yang hilang itu. Ayat-ayat dalam Surah An-Nuur yang ditafsirkan oleh tuan imam kita ialah:
“Allah cahaya langit dan bumi. Perumpamaan cahayaNya seperti sebuah misykaat (lubang yang tidak tembus) yang di dalamnya ada pelita besar, pelita itu di dalam tabung kaca, tabung kaca itu bagaikan bintang yang berkilauan, yang dinyalakan (dengan minyak) dari pohon yang diberkati (iaitu) pohon zaitun yang tidak di timur dan tidak barat, yang minyaknya hampir-hampir menyala, walaupun tidak disentuh api, cahaya di atas cahaya.” (An-Nuur : 35)
“Atau (perbuatan orang-orang kafir itu) seperti kegelapan di laut yang dalam, (lautan) yang berombak dan dilapisi pula dengan ombak, di atasnya (ada) awan gelap, (itulah halnya) kegelapan atas kegelapan. Apabila dihulurkan tangannya, tidaklah kelihatan tangan itu. Barangsiapa yang tidak diberi cahaya oleh Allah, maka tidaklah ada cahaya baginya.” (An-Nuur : 40)
Bayangkan, huraian dua ayat ini sahaja pun sudah menghasilkan sebuah kitab. Memang padanlah Tafsir Al-Ghazali mencapai 40 jilid.
Imam al-Ghazali kemukakan persoalan:
“Apakah yang dimaksudkan oleh Allah dengan perbandingan atau qias antara CAHAYA, dan MISYKAT, dan KACA, dan LAMPU, dan MINYAK, dan POKOK itu?”
Kita selalu membaca ayat ini, tetapi sehingga ke hari ini, fahamkah kita maksudnya? Tidakkah kita ingin mengetahui is kandungan ayat ini? Daripada mana datangnya pengetahuan Imam al-Ghazali tentang perkara-perkara ini hinggakan mampu disyarahkannya menjadi sebuah kitab, sedangkan ayat-ayat ini sangat sukar untuk difahami maksudnya?
Di sinilah PERANAN ILMU LADUNI sebagaimana yang dinyatakan oleh imam dalam kitabnya Ar-Risalah Al-Laduniyyah yang sudah kita sinopsiskan sebelum ini. Tanpa ilham terus daripada Tuhan, manakan mungkin kita dapat mensyarahkan ayat ini dengan sebegitu terperinci.
Kita ambil beberapa petikan menarik daripada kitab ini:
“Cahaya hakiki (sebenar-benar cahaya) ialah Allah. Selain daripada itu (iaitu makhluk), nama ‘cahaya’ hanyalah perumpamaan sahaja, dan tidak membawa maksud yang sebenar.”
“Bahawa Allahlah cahaya paling tinggi dan terakhir....... maka disedarilah bahawa Allah sahajalah cahaya yang hakiki, dan yang lain (iaitu makhluk) tidak mempunyai apa-apa cahaya.”
Untuk memahami sedikit tentang hal ini, saya datangkan contoh. Pada suatu malam, anda sedang berada di dalam rumah yang gelap, tidak ada sebarang lampu dinyalakan. Namun anda melihat cahaya di sebahagian dinding ruang tamu. Anda pun mengatakan : “Dinding ruang tamu itu cantik bercahaya.”
Dari mana datangnya cahaya di dinding ruang tamu itu? Rupa-rupanya dari sebuah cermin berhampiran tingkap. Cermin itu bercahaya kerana sedang disinari cahaya alam dari luar rumah yang masuk melalui tingkap rumah anda yang terbuka. Anda pun mengatakan : “Cermin itu cantik bercahaya.”
Kemudian dari tingkap yang terbuka itu, anda melemparkan pandangan ke arah luar rumah. Kelihatan alam sekeliling begitu cantik dilimpahi cahaya bulan purnama. Anda pun mengatakan : “Bumi ini cantik bercahaya.”
Bagaimana bumi boleh terang bercahaya pada waktu malam? Kerana disuluh oleh cahaya bulan. Maka anda mendongak pula melihat bulan purnama di langit. Memang cantik bersinar, begitu indah sekali. Anda pun mengatakan : “Bulan itu cantik bercahaya.”
Sungguhpun begitu, berdasarkan ilmu tentang alam yang anda pelajari, anda sedia maklum bahawa bulan tidak memiliki cahaya sendiri. Dari mana datangnya cahaya pada bulan? Tentunya daripada matahari, sekalipun anda tidak nampak matahari pada malam itu. Mataharilah yang sebenar-benarnya mempunyai cahaya. Bulan hanya membalikkan cahaya yang diterimanya daripada matahari lalu tersimbah cahaya itu ke bumi.
Baiklah. Ada beberapa benda yang bercahaya dalam tamsilan di atas iaitu:
1. Sebahagian dinding ruang tamu
2. Cermin berhampiran tingkap.
3. Alam di luar rumah.
4. Bulan.
5. Matahari.
Semuanya kita katakan bercahaya. Tapi....... yang mana yang sebenar-benarnya (hakikinya) mempunyai cahaya? Dinding? Ia tidak ada cahaya, ia hanya meminjam cahaya dari cermin. Cermin? Ia juga tidak ada cahaya, ia hanya meminjam cahaya dari luar rumah. Luar rumah? Juga tidak ada cahaya sendiri, ia meminjam cahaya dari bulan. Bulan? Bulan sendiri meminjam cahaya daripada matahari. Matahari? Ya, mataharilah yang mempunyai cahaya sendiri, ia tidak meminjam daripada mana-mana pihak.
Begitu jugalah dengan cahaya Allah. Alam makhluk yang dipenuhi cahaya zahir (cahaya alam seperti suasana terang) dan cahaya batin (cahaya mata hati akal seperti faham, berakal, cerdas dan lain-lain) ini sebenarnya langsung tidak punya sebarang cahaya. Yang sebenar-benar cahaya ialah Allah SWT. Sebab itu Al-Quran mengatakan “Allah cahaya langit dan bumi.”
Samalah halnya dengan cantik. Kita katakan rumah cantik, alam cantik, manusia cantik, hati cantik, budi cantik dan sebagainya cantik, tapi pada hakikatnya kesemua itu (seluruh alam makhluk) ini tidak ada cantiknya. Mengapa? Kerana yang sebenar-benar cantik hanyalah Allah SWT. Segala yang ada di alam makhluk ini yang kelihatan cantik itu sebenarnya hanya meminjam daripada Sumbernya iaitu Allah SWT.
Kerana mataharilah bulan kelihatan cantik. Kerana mataharilah alam kelihatan cantik. Kerana mataharilah cermin kelihatan cantik. Kerana mataharilah dinding kelihatan cantik. Semuanya kelihatan cantik kerana matahari. Ringkasnya, apa sahaja yang berlaku di dunia dan di seluruh alam makluk ini sebenarnya ‘KERANA ALLAH’. Nampak?
Dalam kes wujud pula. Kita katakan alam ini wujud, isi alam ini wujud, diri kita wujud, malaikat wujud, syurga neraka wujud dan seterusnya. Berdasarkan contoh dinding ruang tamu dan matahari tadi, anda sudah tentu boleh menjawab : “Siapa sebenarnya yang benar-benar wujud? Yang punya wujud hakiki?”
Sudah ada jawapannya? Belum? Renungilah kalam tuan kitab kita:
“Oleh itu, Wujud Hakiki ialah Allah SWT, dan Cahaya Hakiki ialah Allah SWT juga.”
“Apa sahaja selain Allah, apabila dipandang dari segi dirinya, adalah pada HAKIKATNYA tidak wujud. Wujud yang ada pada sesuatu selain Allah itu adalah semata-mata pemberian Allah jua. Allah yang memberikan makhluk itu wujud. Wujud makhluk itu bergantung kepada Wujud Allah. Oleh yang demikian, Wujud Allah itulah yang sebenar-benarnya Wujud.”
“Tiap-tiap sesuatu itu ada dua wajah. Wajahnya dan Wajah Allah. Wajahnya itu tidak ada apa-apa, tetapi Wajah Allah itulah yang sebenarnya Wujud. Dengan itu, tidak ada Yang Wujud kecuali Allah.”
Sekiranya anda dikurniakan Tuhan pemahaman akan contoh-contoh ringkas di atas, dan selepas itu anda mengaktifkan fikiran, insyaAllah anda akan mendapat jawapan kepada banyak perkara yang penting lagi menarik, yang selama ini anda kurang peduli ataupun anda gagal memahaminya. Namun jika anda masih gagal memahaminya, tidak mengapa, bersabar dahulu, kerana kata Imam al-Ghazali:
“Bagi setiap ilmu ada ahlinya, dan setiap orang dimudahkan (Allah) untuk mendapatkan apa yang diperuntukkan kepadanya.”
Menurut Al-Ghazali, ada dua jenis mata yang boleh digunakan untuk menyaksikan cahaya, iaitu mata kepala dan mata hati (akal).
Mata kepala sangat terbatas kebolehannya. Ia tidak mampu melihat sesuatu yang jauh ataupun sesuatu yang terlalu dekat. Tetapi bagi mata hati (akal): “... tidak ada bezanya antara dekat dan jauh. Dalam sekelip mata akal dapat naik ke langit yang paling tinggi, sekelip mata juga ia turun ke perut bumi.”
“Mata (di kepala) itu sebenarnya gelap. Penglihatan adalah semata-mata salah satu daripada alat pengintip bagi akal. Akal memberi mata satu tugas untuk melihat perkara yang kasar iaitu warna dan bentuk. Akal menyuruh mata membawa laporan tentang warna dan bentuk tadi kepada Tuhannya, yang akan menghakimkan menurut arahan penelitian dan pertimbangan akal itu.”
“Mata (di kepala) nampak benda yang besar itu kecil. Ia melihat matahari sebesar mangkuk dan bintang sebesar duit syiling yang bertaburan di atas permaidani biru. Tetapi akal (mata hati) mengetahui bahawa matahari dan bintang itu besar, bahkan lebih besar daripada bumi.”
Jelaslah sudah kepada kita bahawa mata hati itu lebih penting dan lebih berperanan berbanding mata kepala.
Untuk mata kepala melihat, mestilah ada sumber cahayanya iaitu matahari. Bagi mata hati pula, dari manakah sumber cahayanya? Apa yang menjadi matahari kepada mata hati/ akal? Tidak lain ialah Al-Quran.
Kata Al-Ghazali: “Oleh yang demikian, ayat-ayat Al-Quran itu kepada akal (mata hati) ibarat matahari bagi mata kepala. Dengan adanya cahaya matahari, perbuatan melihat dapat dilaksanakan. Oleh itu Al-Quran itulah yang paling layak dinamakan ‘CAHAYA’, seperti cahaya matahari itu digelar cahaya juga.”
“Setiap mata itu (mata kepala dan mata hati) mempunyai matahari dan cahaya masing-masing, supaya dapat melihat dengan sempurna.”
Saya lihat perkataan-perkataan Imam al-Ghazali ini ada persamaan dengan ajaran Syeikh Ibnu ‘Atoillah dalam kitab Hikam susunannya, seperti katanya: “Cahaya adalah tentera hati, samalah seperti kegelapan adalah tentera nafsu.”
Kata Ibnu ‘Atoillah lagi : “Allah menerangi alam dengan cahaya ciptaan-Nya, dan Dia menyinari rahsia hati dengan cahaya sifat-sifatNya. Kerana itu cahaya yang menerangi alam boleh lenyap, sedangkan cahaya hati dan rahsia batin tidak akan pudar. Sebab itulah ada ungkapan : “Sesungguhnya MATAHARI SIANG akan tenggelam kala malam, sedangkan MATAHARI HATI tak akan tenggelam.”
Menurut Imam al-Ghazali, orang-orang yang TERFANA itu ialah : “Mereka mabuk (tidak ingat apa-apa/ hilang kewarasan sebentar) dalam suasana yang di dalamnya akal (mata hati) mereka sendiri pun lenyap, hinggakan ada yang berkata (terlatah/ tersebut) :
“Ana al-Haq.”
“Maha Suci Aku.”
“Alangkah Agungnya Aku.”
“Dalam baju(ku) ini tidak ada yang lain kecuali Allah.”
“Tetapi perkataan orang-orang yang mencintai Allah dalam mabuknya ini mestilah disembunyikan dan jangan dihebahkan. Apabila mereka keluar daripada mabuk itu, mereka pun kembali semula kepada akal mereka, dan akal inilah neraca Allah di muka bumi ini.”
Sebab itulah ada guru-guru zaman dahulu yang mengurung sebentar murid-murid mereka yang sedang mabuk fana ini. Apabila mabuknya sudah hilang, barulah dibebaskan bergaul dengan manusia lain.
Jika anda berpeluang, dengarkan lagu saya yang bertajuk ‘Terfana’ di Youtube. Hayati liriknya. Ia mengisahkan (*menyentuh) hal ehwal fana.
TERFANA
Terfana diriku
di dalam cahaya-Mu
Terkelu lidahku
menyaksikan
Di dalam zikirku
terubat rasa rindu
Munajatku
kerana-Mu
Allah Maha Kaya
Sebenar Penguasa
Engkau yang kucinta
Yang kudamba
Ilmu yaqin mula
Ainul yaqin kedua
Haqqul yaqin
Kemuncaknya
Binasakan mazmumah
Isikan mahmudah
Tajalli kan datang
Asyiknya
Af'al, Asma' dan Sifat
beserta ZatNya
aku tauhidkan
Ilahku
Lagu : Abu Zulfiqar Amsyari
Lirik : Abu Zulfiqar Amsyari
Ada orang-orang yang mempelajari ilmu hakikat, sampai pada suatu peringkat mereka mula menolak syariat. Mereka meninggalkan solat dan puasa serta melakukan perkara-perkara yang diharamkan Allah. Pelbagai alasan diberi untuk meluluskan nafsu serakah mereka. Untuk golongan ini, Imam al-Ghazali mengatakan:
“Orang yang meninggalkan syariat itu sebenarnya sudah silap, dan hal ini ada berlaku kepada beberapa orang yang menganggap dirinya sufi, yang mengatakan dibolehkan membuang syariat seperti menggulung tikar sahaja. Sehingga ada yang mengatakan solat itu tidak perlu lagi kerana dia sentiasa bersolat dalam hatinya.”
Kepada mereka yang berasa cukup dan berpuas hati beriman dengan AKAL sahaja, Al-Ghazali mengatakan:
“Oleh itu, ingatlah wahai orang-orang yang hanya berhenti dan berpuas hati dengan akal fikiran sahaja. Tidakkah ada peringkat yang lebih tinggi lagi daripada peringkat akal, yang (dengan perkara itu) boleh melihat apa yang terlihat di dalam bidang akal? Sebagaimana juga bidang akal itu lebih tinggi daripada bidang deria, dan (akal itu) dapat melihat apa yang tidak terlihat oleh deria? Tidakkah ada yang lebih tinggi lagi daripada akal itu? Berhati-hatilah, jangan berhenti setakat itu sahaja dan menyangka (sudah) sempurna.”
Banyak lagi pembicaraan kitab Misykatul Anwar ini, namun untuk kali ini rasanya biarlah setakat ini sahaja dulu sebagai sinopsisnya.
... bersambung ke Syarah Teks Kuliah 2C