http://www.youtube.com/watch?v=9KM7fl7-T3k
Jadi apabila Tuhan puji kepada makhluk, sebenarnya Dia puji DiriNya sendiri juga. Yang pertama tadi, Tuhan puji DiriNya sendiri, itu sudah ‘confirm’. Yang kedua ini, Tuhan memuji makhluk. Tapi Dia puji makhluk pun, sebenarnya Dia memuji DiriNya balik.
Contohnya kita kata : “Ehh Che’ Mat ini baiklah, dia suka buat kenduri bagi orang makan!” Sebenarnya yang menggerakkan Che’ Mat ini buat kenduri siapa dia? Tuhan juga. Dari segi hakikatnya Che’ Mat tidak ada kuasa. Yang buka dan yang lapangkan hati Che’ Mat supaya dia : “Eh, aku ada duit lebih, nak buat kendurilah,”... Tuhanlah juga.
(*Contoh ini sebenarnya sesuai untuk puji jenis yang keempat, iaitu makhluk puji makhluk. Mohon maaf atas kesilapan ini – Abu Zulfiqar)
Jadi sebenarnya apabila Tuhan memuji makhluk, Dia memuji DirinYa sendiri. Che’ Mat itu jadi baik, sebab atas dorongan yang dibuat oleh Tuhan. Jadi sudah dua (jenis pujian), kedua-dua ini puji ikut mana pun patah balik kepada Tuhan.
Puji yang ketiga – baharu puji Qadim. Kita cakap : “Alhamdulillah, segala puji-pujian bagi Allah...” Sudah tentulah puji itu pergi kepada Allah. Ketiga-tiga (jenis pujian tadi) pergi kepada Allah.
Puji yang keempat – baharu puji yang baharu. Kita berjalan bawa barang, tiba-tiba barang kita jatuh. Ada seorang makcik tolong ambil barang kita dan beri kepada kita. Kita pun cakap : “Terima kasihlah makcik. Makcik ni baik hati sungguhlah.” Apabila kita cakap sebegitu, sebenarnya puji itu pergi ke mana? Dia yang membuka hati makcik ini supaya tolong kita, siapa Dia? Allah! Jadi, makcik ini baik sebab Allah. Kita puji itu sebenarnya, patah balik kepada Allah juga.
Jadi keempat-empat jenis puji ini, semua patah balik kepada Tuhan. Tuhan puji DiriNya sendiri, maksudnya puji itu jatuh pada DiriNya. Kemudian Tuhan puji makhluk, jatuh pada DiriNya juga sebab Tuhanlah yang bagi makhluk ini jadi baik. Kemudian makhluk puji Tuhan, memang kena pada Tuhanlah. Dan yang keempat, sama-sama makhluk kita puji, sebenarnya pujian itu kena pada Tuhan juga. Sebab itulah yang dikatakan “SEGALA PUJI bagi Allah.”
Hari ini kita fahamlah, yang orang sebut : “Segala puji bagi Allah. Segala puji bagi Allah.” Macam mana yang dikatakan “Segala puji bagi Allah”? Berdasarkan 4 cara ini tadi, kita puji ikut mana pun, semua yang baik – (ialah) Tuhan. Bukan kita yang baik.
Begitu juga (apabila) kita hendak ucapkan terima kasih. Selalu (apabila) orang tolong kita, (kita kata) : “Terima kasihlah encik.” Terima kasih itu kita tuju kepada siapa? Kita tuju kepada orang itu (sahajalah). Sebenarnya kalau ikut kaedah tasawuf, “Terima kasihlah encik”... terima kasih kita itu ‘direct’ ke Tuhan terus. Sebab apa? Orang itu menolong kita tadi, Tuhan yang menggerakkan dia.
Jadi selepas ini (apabila) kita hendak berterima kasih kepada orang, (kepada) Allah dahulunya.
“Terima kasih makcik.”
“Terima kasih cikgu.”
“Terima kasih adik.”
Walaupun kita tujukan kepada adik, sebenarnya kita tuju kepada Allah (terlebih) dahulu. (Kemudian) barulah kepada budak itu tadi. Terima kasih... Allah (terlebih dahulunya) dari segi tasawufnya. Sebab apa? Orang ini baik, orang ini tolong kita, orang ini buat apa-apa kebaikan pun... semua Allah yang buat. Sebab itu dikatakan : “La haulawala quwwata illa billahil ‘Aliyyil ‘Azim.” Tidak ada daya dan kekuasaan melainkan daya dan kekuasaan Tuhan... Dia jadi baik itu sebab Tuhan.
Yang kita datang malam ini sebab Tuhan pilihlah ni... dari segi hakikatnya. Dari segi syariatnya memanglah kita yang berusaha. Tapi dari segi hakikatnya, Tuhan yang bawa kita datang ke sini, kita tidak ada kuasa. “La haula wala...” tadi itu.
Jadi kita fahamlah hari ini, “Segala puji bagi Allah” itu macam mana ceritanya.
Seterusnya kata Imam Al-Ghazali : “Kedua, aku berselawat dan mengucapkan salam kepada rasul-rasul-Nya. Selawat yang meratai rasul-rasul yang lain bersama penghulu umat manusia.
Jadi Imam Al-Ghazali tadi pertamanya dia puji Tuhan (terlebih) dahulu. Selepas itu dia mendoakan keselamatan kepada Nabi Muhammad – (yakni) selawat. Selawat ini pun bukan barang-barang main. Dalam satu hadith riwayat Imam Nasa’i, Ahmad dan Al-Hakim, kata Nabi Muhammad : “Barangsiapa berselawat kepada aku 1 kali, maka Allah berselawat kepadanya 10 kali, dan Allah menghapuskan 10 kesalahan dan mengangkat 10 darjat.”
Kita cakap : “Allahummasalli ‘ala Muhammad”, kita doa keselamatan kepada Nabi Muhammad, Allah balas kepada kita 10 kali. Jadi selawat ini sebenarnya ‘short-cut’ kita hendak dapat doa kebaikan 10 kali. Kalau tidak kita berdoa : “Ya Allah, bagilah aku kekayaan.” Baru 1 doa. Tapi kalau kita berselawat, ia patah balik 10 kali daripada Tuhan. Jadi 1 selawat seolah-olah 10 kali doa. Itulah untungnya.
Sesetengah orang kata, daripada berselawat lebih baik berzikir. Zikir ini tuju kepada Allah terus. Tapi kita kena ingat balik, mula-mula selawat itu sudah ada (zikir) “Allah”. “Allahummasalli ‘ala Muhammad.” Mula-mula itu sudah “Allah”. Jadi dalam selawat ini, zikir pun ada, selawat pun ada. Ia lebih hebat. Sebab itu sebahagian ulama melebihkan selawat daripada zikir.
Kalau ikut kata hadith Nabi tadi, sekali kita berselawat, Allah balas kepada kita 10 kali. Selepas itu 10 dosa pula habis, diangkat pula 10 darjat. Ini kehebatan selawat. Mudah sahaja : “Allahummasalli ‘ala Muhammad.”
Kalau hendak baca apa-apa selawat pun boleh. Bacalah selawat tahiyyat akhir (Selawat Ibrahimiyyah), bacalah Selawat Tafrijiyyah, bacalah Selawat Syifa’, bacalah selawat apa pun. Banyak jenis selawat. Tapi yang mudahnya yang itulah : “Allahummasalli ‘ala Muhammad.” Ringkas sahaja. Dapat 10 kali doa patah balik.
Kemudian kata Imam Al-Ghazali : “Ketiga, aku memohonkan kebajikan kepada Allah Taala tentang membangkitkan cita-citaku mengarang sebuah kitab.” Yang ini dia kata dia seronoklah. Dia harpa Tuhan menolong dia dalam (usaha) dia buat kitab ini. Dah memang selesai dah kitab ni.
“Keempat, aku menentang untuk memotong kesombonganmu hai pencela yang melampaui batas dalam mencela.” Di sini Imam Ghazlai meluahkan isi hatinya. Sebab apa, pada zaman Imam Al-Ghazali ini ramai orang bercakap tentang ilmu tetapi mereka tidak beramal. Banyak orang suka kumpul ilmu. Kumpul, kumpul tapi dari segi amalan... lemah. Dari segi batin, dari segi hati, dari segi tasawuf, hubungan dengan Tuhan... lemah. Banyak ulama yang kumpul ilmu sahaja.
Kita ringkaskan bahagian ini.
Imam Al-Ghazali petik satu hadith, maksudnya : “Manusia yang sangat menderita azab pada hari kiamat ialah orang yang berilmu yang tidak diberi manfaat oleh Allah SWT dengan ilmunya.”
Walaupun hadith ini sandanya dhaif tapi kita boleh pakai (*akan diterangkan cara berinteraksi dengan hadith dhaif pada fail-fail kuliah akan datang). Kata Nabi Muhammad, hari akhirat, hari kiamat nanti... orang yang sangat-sangat menderita, teruk kena azab ialah orang itu ada ilmu, bukan orang yang tidak ada ilmu. Dia ada ilmu tapi ilmunya tidak bermanfaat untuk dirinya. Sebab apa? Dia tidka amal, dia tidak sebar dan dia tidak ada jiwa ilmu. Dia cuma kumpul (ilmu) sahaja. Dia hafal hadith. Berapa hadith dihafal? 10,000 hadith. Tapi (bandingan) dia dengan orang awam nampak biasa sahaja, tidak nampak pun macam orang soleh. Sebab dia tidak ada amal. Tambah-tambah amal hati dia tidak ada, tasawuf tidak ada. Dia kira duduk hafal banyak benda. Dia suruh orang berjuang tapi dia sendiri pun tidak berjuang. Dia suruh orang beramal, dia sendiri pun tidak beramal. Ini jenis orang yang dikatakan Nabi Muhammad , hari kiamat nanti akan kena teruk. Kita ingatkan orang yang tidak ada ilmu yang kena teruk. Rupa-rupanya orang yang ada ilmu yang kena teruk lagi.