27.4.11

Audio Syarah Ihya' 'Ulumiddin 30-34

SYARAH IHYA' 'ULUMIDDIN 30

http://www.youtube.com/watch?v=hJxFEXictSM
- Doa kita.
- Imbas kembali isi kuliah kali ke-5.
- Benda apa yang dapat disimpan lama?
- Apa maksud 'kapal karam'?
- Kelebihan-kelebihan menuntut ilmu.
- Tajuk baru: "Kelebihan Mengajar."

SYARAH IHYA ULUMIDDIN 31
http://www.youtube.com/watch?v=SgxP0ntoZ-I
- Alangkah beruntungnya orang-orang yang berdakwah!
- Mengajar secara rasmi, tak rasmi, isyarat dan melalui contoh.
- Pahala mengajar seperti MLM.

SYARAH IHYA ULUMIDDIN 32
http://www.youtube.com/watch?v=MlKrNx-6eos
- Lagi kelebihan-kelebihan mengajar, terutamanya mengajar ilmu agama.
- Di rumah kita sudah ada 'Taman Syurga'? Belum? Mahu?
- Siapakah 'Orang Besar' di langit?
- Ada ilmu, tapi tidak mahu mengajar. Apa akibatnya?

SYARAH IHYA ULUMIDDIN 33
http://www.youtube.com/watch?v=uwd18RQwD10
- Mengenal Luqman al-Hakim.
- Dia hidup pada zaman yang mana?
- Apakah bangsanya?
- Di manakah kuburnya?
- Apakah pekerjaannya?
- Bagaimanakah rupanya?

SYARAH IHYA ULUMIDDIN 34
http://www.youtube.com/watch?v=jwwUt21g7rs
- Permulaan dalil-dalil akal.
- Bagaimana hendak mengetahui seseorang itu ahli falsafah ataupun bukan?

24.4.11

Teks Kuliah Syarah Ihya' 4

Kata Imam Haramain iaitu tok gurunya, Imam Ghazali ini “Lautan tak bertepi”. Imam Ghazali ini ilmunya seolah-olah lautan tak bertepi, punya luas ilmunya. Ini pengakuan tok gurunya sendiri. Tok gurunya kata (*sekadar melakonkan) : “Anak muridku yang bernama Ghazali ini, dia punya ilmu seolah-olah laut tidak ada tepi.” Punya hebatnya. Tok gurunya sendiri iktiraf, menunjukkan Imam Ghazali ini memang handallah hal ehwal agama ni.

Disebabkan dia handal ilmu agama, PM (Perdana Menteri) pun terpikat dengannya. Perdana Menteri panggil ke istana, mengajar. Setiap dua minggu, sekali Imam Ghazali mengajar di istana. Habislah pegawai-pegawai yang lain pun semuanya ikut mendengar, selama lima tahun. Kemudian dia dinaikkan pangkat lagi, dilantik pula jadi Ketua Universiti Baghdad. Zaman itu, Baghdad di Iraq ialah pusat pemerintahan daulah Islam. Dia dilantik jadi ketua di sana.

Khalifah zaman itu bernama Khalifah Muqtadi. Dia hantar utusannya iaitu permaisuri kepada Raja Malik Syah dari Dinasti Saljuk, yang bernama Terkanu Khatun. Dia hantar seorang permaisuri berurusan dengan Imam Ghazali. Berurusan.. bersoal-jawab... jadi khalifah pun terpikat, khalifah pun sangat-sangat menyokong Imam al-Ghazali. Jadi Imam Ghazali dapat penyokong yang kuat. Sejak itu dia semakin terkenal.

Lama-kelamaan, apabila kita berada di kemuncak, suatu ketika kita terkena ujian juga. Suatu ketika kita jatuh juga, ruyup juga sekejap. Begitulah yang terjadi kepada Imam al-Ghazali. Pada tahun 485 Hijrah, Raja Malik Syah meninggal. Dia penyokong Imam Ghazali. Kemudian Perdana Menteri mati dibunuh. Kemudian Khalifah Muqtadi, khalifah yang suka akan Imam Ghazali meninggal dunia pula. Jadi, tiga orang penyokong kuatnya meninggal dunia, menyebabkan Imam Ghazali ‘jatuh’ sedikit. Sebab (*selepas itu) orang lain naik, pemerintah lain naik, tak macam pemerintah yang dahulu. Jatuhlah sikit. Jadi, ini zaman ujian. Sedang menaik, naik, naik... zoom... ruyup sekali. Tapi selepas itu naik balik.

Imam al-Ghazali pun bersedih, kerana dia punya penyokong-penyokong utama sudah meninggal. Macamlah yang berlaku kepada Nabi Muhammad. Di tengah-tengah dakwah Islam baru hendak naik di Mekah, meninggal bapa saudaranya. Setelah bapa saudara meninggal, meninggal pula isterinya. Jadi, (*tahun itu) tahun kesedihan. Sebab itu salah satu sebab Tuhan ambil Nabi Muhammad dibawa berjalan ke langit – Isra’ Mikraj, kerana Nabi Muhammad sedih sangat.

Jadi Imam al-Ghazali ini setelah berpuluh-puluh tahun hidup dalam kemewahan, jadi orang besar, mengajar di istana, tulis buku dan sebagainya, apabila umurnya hampir sampai setengah abad, datang satu tekanan dalam hidupnya. Tekanan disebabkan masalah agama, (*yang membuatkan) dia asyik berfikir. Datang tekanan dalam hidupnya, dia tidak jumpa penyelesaiannya dan dia jatuh sakit selama enam bulan.

Selepas itu dia kata (*sekadar melakonkan): “Tak boleh jadi macam ni”. Dia letak kesemua jawatannya, dia pergi mengembara. Dia tinggalkan duit dan apa semua cukup untuk anak isteri, tinggalkan dia punya pondok (*pusat pengajian), dia suruh adiknya uruskan pusat pengajian, lalu dia mengembara selama 10 tahun. Selama 10 tahun dia tinggalkan keluarga. Dia mengembara, beruzlah, menulis kitab dan sebagainya.

Sebab apa? Dia melihat, kalau dia berterusan hidup seperti itu, apa yang dapat dia sumbangkan kepada dirinya dan umat Islam sekadar itu sahajalah, macam ulama-ulama biasa. Dia hendak buat sesuatu yang lebih lagi, tetapi dia tidak tahu bagaimana caranya. Jadi, dia mengembara. Banyak tempat dia pergi, beruzlah. Dalam uzlah itulah dia mendapat keputusan-keputusan, dapat ilham, dapat hasil kajian dan dia tulis banyak kitab yang penting yang salah satunya ialah kitab Ihya’ ‘Ulumiddin. Kalau dia tidak mengembara, mungkin tidak adalah kitab ini di tangan kita hari ini, kitab besarnya ini. Jadi, untunglah dia korbankan selama 10 tahun jauh dari keluarga pun, tapi kesannya sampai sekarang, 900 tahun lebih, dia punya kesan, dia punya pendidikan dapat kepada orang Islam.

Dalam pengembarannya ini, dia pergi ke Syam (Syria). Dia duduk di masjid, dalam menara masjid. Dia beruzlah di situ. Dia pergi ke Baitul Maqdis, Damsyiq @ Damascus. Dia pergi ke Mesir. Dia pergi buat haji (* di Makkah), pergi Madinah. Apabila dia sudah puas, dia pulang ke kampung. Balik kampung, dia buka pondoknya sendiri khususnya untuk orang-orang sufi. Dia mengajar di sana sehingalah dia meninggal dunia.

Begitulah secara ringkasnya riwayat hidup Imam al-Ghazali, tuan kitab kita, kitab Ihya’ ‘Ulumiddin ini.

Imam al-Ghazali ada empat orang anak. Satu orang anak lelaki, yang bernama Hamid. Sebab itu Imam al-Gahzali dikenali sebagai Abu Hamid. Anaknya bernama Hamid, tapi meninggal ketika kecil. Yang tinggal hanya anak perempuan tiga orang.

Hadirin yang dirahmati Allah sekelian,

Seterusnya kita lihat aliran pemikiran Imam al-Ghazali. Dari segi tauhidnya Imam al-Gahzali berpegang dengan Mazhab Asya’irah, macam kitalah. Dan dia juga berpegang dengan Mazhab Ahli-ahli Kasyaf, sebab dia banyak membicarakan tentang hal ehwal hakikat. Kalau dalam pelajaran Mazhab Asya’irah, ia tidak menyentuh persoalan hakikat (*sehingga ke kemuncaknya). Tapi kalau dalam Mazhab Ahli Kasyaf, ia sentuh hakikat (*sehingga ke puncaknya). Contoh kitab-kitab di Nusantara ini @ kitab-kitab Alam Melayu yang membicarakan Mazhab Asya’irah ialah seperti kitab Durruth Thamin, kitab Faridatul Faraid, kitab Aqidatun Najin... Tapi kitab mazhab Kasyaf ialah seperti Kasyful Asrar, kitab Durrun Nafis dan sebagainya.

Dari segi fiqhnya Imam al-Ghazali bermazhab Syafi’i. Betul-betul macam kitalah. Kita pun bermazhab Asya’irah, kita juga bermazhab Syafi’i. Dari segi tasawuhnya pula, dia berpegang dengan aliran tasawuf perdana. Jadi dia tidak terikat dengan mana-mana tariqat (*khusus). Apa ajaran-ajaran yang dibawa oleh ulama tasawuf sebelumnya seperti Abu Talib al-Makki, Junaid al-Baghdadi, Asy-Syibli, Abu Yazid al-Bustami dan lain-lain, yang itulah yang dipegangnya. Dan pegangan Imam Ghazali dalam tasawuf ini, anak-anak murid selepasnya menjadikan ia satu tariqat.

Ada satu komen daripada seorang ulama besar Nusantara ini iaitu Dr. Hamka @ Haji Abdul Malik Karim Amrullah. Sungguhpun Dr. Hamka berfahaman Kaum Muda, berjuang dalam Muhammadiyyah di Indonesia, tetapi dia puji kitab Imam al-Ghazali. Katanya : “Meskipun ada berpuluh lagi karangan Al-Ghazali yang lain dalam pelbagai bidang ilmu pengetahuan Islam, namun yang menajdi intisari seluruh karangan beliau itu ialah kitab Ihya’ ‘Ulumiddin.”

Jadi kata Dr. Hamka, Imam al-Ghazali ini punya cukup banyak karangan, tapi kesemua intipati karangannya ini ada dimasukkan dalam Ihya’ ‘Ulumiddin. Oleh itu, jika kita belajar kitab Ihya’ ‘Ulumiddin sehingga khatam, seolah-olah kita sudah membaca keseluruhan karya Imam al-Ghazali.

20.4.11

Download Syarah Ihya Ulumiddin dalam Format MP3

Alhamdulillah syukur, kuliah Syarah Ihya' 'Ulumiddin sedia untuk di'download' dalam format MP3 buat pertama kalinya. Tuan-tuan boleh ke http://www.almuttaqin.tv/mp3_papar.php?id=1927 untuk mendengar ataupun memuatturun fail Kuliah Syarah Ihya' kali pertama sepanjang 44 minit 44 saat. Fail pertama ini merangkumi 5 fail yang di'upload' ke Youtube.

Sebenarnya sudah lama orang minta kami 'upload' kuliah-kuliah saudara Abu Zulfiqar dalam format MP3, sejak syarah kitab Kifaayatul Muhtaaj ( Kembara ke Sidratul Muntaha) mendapat sambutan di internet, malangnya kami sangat kesibukan dan belum ketemu laman yang sesuai. Antara alasan yang berulang kali kami temui ialah mereka hendak mendengar audio kuliah di dalam kereta, maka format MP3 yang sesuai.

Seorang sahabat menyarankan laman Al-Muttaqin TV dan kami dapati laman itu memang sesuai. Semoga usaha kita ini mendapat keberkatan daripada Allah SWT. Selamat menambah ilmu sambil memandu : )

19.4.11

Audio Syarah Ihya Ulumiddin 24-29

SYARAH IHYA' 'ULUMIDDIN 24

http://www.youtube.com/watch?v=DN4AHGEFXGI
- Kelebihan-kelebihan menuntut ilmu agama.
- Kisah Luqman dengan anaknya menunggang haiwan ke pasar.
- Buat baik orang kutuk, buat jahat pun orang kutuk. Sama sahaja. Jadi... hendak pilih yang mana?
- Imbas kembali kuliah kali ke-4.

SYARAH IHYA' 'ULUMIDDIN 25
http://www.youtube.com/watch?v=sIupDTSicdk
- "Wahai Sulaiman, engkau mahu ilmu, harta ataupun kerajaan?"
- Ibnu Mubarak : Orang tidak berilmu bukan manusia.
- Manusia mulia kerana apa? Kekuatan tenaga? Besar badan? Berani? Kuat makan? Kekuatan bersetubuh?
- Bagaimana hendak elakkan hati daripada 'mati'?

SYARAH IHYA' 'ULUMIDDIN 26
http://www.youtube.com/watch?v=hIBwiTMJ8oE
- Mengapa seseorang itu tidak sedar yang hatinya sudah 'mati'?
- Hari yang terbuka apa yang tertutup... hari apa itu?
- Hari yang tidak ada perlindungan selain perlindungan-Nya...
- Siapa 7 golongan yang dapat perlindungan Allah pada hari tersebut?

SYARAH IHYA' 'ULUMIDDIN 27
http://www.youtube.com/watch?v=FzmnYq47U_Y
- Adakah kita berpeluang berada dalam kalangan 7 golongan yang dapat perlindungan Allah pada hari akhirat? Bagaimana caranya?
- Tinta para ulama' lebih berat daripada darah para syuhada'.
- Ilmu 'diangkat'? Bagaimana? Apa tindakan kita?
- Apa maksud kebaikan di dunia dan di akhirat?
- Jika kapal kita karam, apa yang akan berenang bersama-sama kita?
- Apa maksud 'kapal karam'?

SYARAH IHYA' 'ULUMIDDIN 28
http://www.youtube.com/watch?v=LxdRaqyaVA4
- Pesan Luqman kepada anaknya yang disayangi itu.
- Duduk bertemu lutut dengan ulama.
- Petikan Surah Luqman.
- Kematian siapa yang ditangisi ikan di air dan burung di udara?
- Kewajiban belajar.
- Menuntut ilmu lebih utama daripada melakukan ibadah sunat.
- Menuntut ilmu agama suatu jihad.

SYARAH IHYA' 'ULUMIDDIN 29
http://www.youtube.com/watch?v=XMF_uRFxkSA
- Doa kita pada kali ini...
- Penjelasan tentang audio kuliah yang ditekskan.

Syarah Hikmah Al-Ghazali 1

HIKMAH 1

“Akhirat itu di hadapan dan dunia itu di belakang. Ajal itu dekat. Perjalanan itu jauh. Perbekalan itu sedikit. Bahaya itu besar. Dan jalan itu tertutup.”

Mengapa akhirat itu di hadapan?

Kerana kita sedang menuju ke arahnya, dan akhirat itulah matlamat sebenar kita, iaitu kehidupan yang kekal. Ia sedang datang dan semakin hampir, tetapi kita kurang menghiraukannya kerana kita selalu meyakinkan diri sendiri bahawa ia masih jauh.

Antara tindakan kita – Tanamkan dalam hati dan ingatlah selalu bahawa : “Aku sedang menuju kematian.” Ia mungkin berlaku sebentar lagi, malam ini, esok, minggu depan dan seterusnya. Kaedah begini dapat memotivasikan kita untuk menambah ilmu, meningkatkan iman dan melonjakkan amal-amal soleh.

Mengapa dunia itu di belakang?

Kerana kita sedang bergerak meninggalkannya, dan dunia itu hanyalah sementara. Ia perlahan-lahan sedang pergi dan semakin menjauh... menjauh..... menjauh.......

Antara tindakan kita – Berusaha keraslah untuk dunia, tetapi jangan melebihi usaha kita untuk akhirat. Bandingkan jumlah masa yang kita habiskan sehari-hari untuk memenuhi keperluan keduniaan kita dengan masa yang dihabiskan untuk memenuhi keperluan keakhiratan kita. Cubalah seimbangkan kedua-duanya. Tidak ada salahnya jika sesekali kita memotivasikan diri dengan menyebut: “Selamat tinggal dunia. Selamat tinggal semua.”

Bahkan kita boleh cuba duduk bersendirian pada waktu malam hening, andaikan diri kita bakal pergi buat selama-lamanya malam ini, dan tuliskan pesanan-pesanan untuk orang-orang yang rapat dengan kita. Tinggalkan pesanan untuk ibu, bapa, suami, isteri, anak-anak...

InsyaAllah bermanfaat.

Mengapa ajal itu dekat?

Kerana ia sedang bergerak ke arah kita dan semakin hari semakin hampir.

Kerana ia boleh berlaku pada bila-bila masa, tanpa dijangka dan dengan sangat segera.

Kerana Malaikat Maut iaitu Izrail tidak boleh dihalang oleh apa jua pun daripada mendekati kita. Ketika ajal datang, kita tidak boleh bergerak menjauhinya, melainkan ia akan berlaku ketika itu juga.

Antara tindakan kita – Cukuplah mati itu sebagai peringatan. Selalulah berfikir tentang kematian dan alam selepasnya. Tidak ada salahnya jika sesekali kita memotivasikan diri dengan menyebut : “Selamat datang kematian. Selamat datang pemutus segala nikmat dunia.” Hal ini kerana pada hakikatnya memang kematian itu sedang mendatangi kita, tetapi hanya kita yang selalu menyedapkan hati dengan beranggapan yang ia masih sangat jauh dan tidak bergerak-gerak dari tempatnya.

Mengapa perjalanan itu jauh?

Kerana apa yang hendak kita capai di dunia yang sekejap ini pun memakan masa yang lama untuk mencapainya. Berapa lama kita berusaha untuk berjaya dalam hidup di dunia? Berapa banyak masa, belanja dan tenaga sudah dihamburkan untuk berada dalam keadaan kita hari ini?

Sedangkan apa yang hendak kita kita capai di akhirat, iaitu matlamat terakhir kita itu memakan masa yang jauh lebih lama untuk mencapainya. Kita terpaksa melalui pelbagai peringkat yang setiap satunya boleh memakan masa yang amat lama. Antara peringkatnya ialah alam dunia, alam sakaratul maut, alam kubur, Padang Mahsyar, timbangan amal, titian sirat dan lain-lain. Berapa lama masa yang diperlukan untuk menamatkan pengembaraan terpanjang ini? Seribu tahun? Sepuluh ribu tahun? Sejuta tahun?...

Sebab itu perjalanan itu.... sangat jauh...

Antara tindakan kita – Siapkanlah perbekalan untuk hidup di dunia, sepadan dengan usia kita di dunia ini, iaitu sekitar 70-80 tahun. Mahu siapakan perbekalan untuk anak cucu? Baiklah, siapakanlah untuk 300 tahun. Dan siapkanlah perbekalan untuk hidup di akhirat, sepadan dengan usia kita dan anak cucu kita di sana, iaitu selama-lamanya.

Carilah guru, rakan dan buku. Pelajarilah cara menyediakan bekalan-bekalan untuk setiap alam yang disebutkan di atas tadi.

Mengapa perbekalan itu sedikit?

Kerana kita lalai mengejar fatamorgana. Fatamorgana-fatamorgana ini sebenarnya menyimpangkan perjalanan kita daripada laluan sebenar menuju Allah. Lagi diikut, lagi seronok kerana ia mengghairahkan kita untuk mencapainya. Sebenarnya, lagi diikut, lagi jauh kita tersimpang dan tersesat.

Kerana kita meyakinkan diri sendiri bahawa kematian itu lambat lagi berlakunya dan kita punya banyak masa lagi untuk membuat persediaan. Kita selalu menangguh-nangguhkan kerja mempersiap bekalan ke sana, padahal untuk setiap satu alam yang bakal kita lalui itu, ada perkara-perkara yang perlu kita bawa untuk melepasinya.

Tindakan kita – Tanamkan dalam sanubari, bahawa : “Aku tak akan kalah dengan fatamorgana.” Apabila bertemu dengan perkara-perkara yang menjauhkan kita dari agama, sekalipun menyenangkan kita, sebut saja, “Fatamorgana semua ini” dan menjauhlah daripadanya dengan sesegera mungkin.

Mulai saat ini, fikir-fikirkanlah : “Apa yang boleh aku buat mulai hari ini dan seterusnya untuk menyiapkan perbekalan untuk hidup di akhirat?” Senaraikan perancangan anda, dan laksanakanlah perancangan itu.

Mengapa bahaya itu besar?

Kerana jika kita tersilap memilih jalan, kita akan mengalami kerugian dan penderitaan yang tidak ada tolok bandingnya lagi di akhirat kelak. Rumah terbakar, kaum keluarga mati dibunuh, hilang pekerjaan, dipenjara 100 tahun, dihukum mati dengan suntikan beracun dan sebagainya di dunia ini hanyalah sebutir debu jika hendak dibandingkan dengan bahaya, kerugian dan penderitaan yang bakal dialami di akhirat kelak. Tidak ada bahaya yang lebih besar daripada bahaya alam akhirat. Dan tidak ada nikmat yang lebih besar daripada nikmat alam akhirat. Yang mana satu pilihan hati kita?

Antara tindakan kita – Ambil tahulah tentang hal ehwal sakaratul maut, alam kubur, Padang Mahsyar, timbangan amal, titian, syurga, neraka dan lain-lian yang bersangkutan dengan alam akhirat. Dengan mnegetahui serba-sedikit tentang ini semua, akan memotivasikan kita ke arah mencapai kecemerlangan di dunai dan di akhirat.

Mengapa jalan itu tertutup?

Kerana jalan itu perkara ghaib. Hakikatnya tidak dapat dikesan oleh pancaindera dan fikiran makhluk, membuatkan kita memandang remeh padanya. Kita tidak nampak dosa pahala, malaikat-malaikat yang membuat catatan, syaitan-syaitan jin yang menggoda, Malaikat Maut dan alam akhirat. Seandainya jalan itu terbuka, lain ceritanya. Sebab tertutup itulah maka kita sangat kurang ambil peduli tentangnya.

Antara tindakan kita – Buka sedikit demi sedikit pengetahuan tentang jalan yang tertutup itu dengan mengambil tahu hal ehwal alam akhirat. Apabika kita sudah boleh ‘nampak’ sebahagian alam itu, akan lebih mantaplah iman dan usaha kita berbanding sebelum ini. InsyaAllah.

15.4.11

Syarah Teks Kuliah 3A

KALAM ABU ZULFIQAR:

Setakat itu sahaja (doa kita). Cerdik itu cerdik yang mana? Kadang-kadang (apabila) dia besar (sudah dewasa), dia cerdik bahagian (perkara-perkara) jahat.

“Ya Allah, bagilah anak aku ini ada lesung pipit.”

Setiap hari asyik doa yang itulah sampai terigau-igau dalam mimpi, (kerana) hendak sangat anak yang ada lesung pipit. Tidak salah, tapi itu sudah jadi doa yang ‘atas’ sekali. Itu yang tidak berapa kena.

“Ya Allah jadikanlah anak aku cantik, mukanya macam Siti Norhaliza.”

Tidak salah, tetapi jangan itu jadi doa utama.

“Bagilah anak aku apabila besar nanti ‘handsome’ macam Rosyam Nor.”

Tidak salah juga. Tapi bapa Imam Ghazali tadi, doanya yang teratas sekali (ialah) dia hendak dapat anak, Allah kurniakan anak yang jadi ulama. Dan doanya dimakbulkan Tuhan.

Kita minta memang Tuhan beri, cuma masalahnya doa kita yang ‘atas’ sekali, yang utama itu apa dia? Kalau dapat anak cantik tapi perangai tak cantik pun, susah juga kita nanti.

Jadi Allah kurniakan dua orang anak lelaki. Kalau Imam Ghazali namanya Muhammad, adiknya bernama Ahmad – ‘Terpuji’ juga (maksudnya). Muhammad (dan) Ahmad, kedua-duanya pun ‘Mat’. Imam Ghazali, gelarannya Abu Hamid. Adiknya tadi (dipanggil) Abul Futuh Ahmad bin Muhammad. Gelaran adiknya Mujiduddin.

Sungguhpun berjaya mendapat dua orang anak yang baik, tapi bapanya meninggal awal. Tidak sempatlah hendak melihat anak-anak membesar dan jadi ulama. Sungguhpun begitu, yang penting usaha, bukannya (mesti) hendak tengok kejayaan. Kita didik anak kita, kita ‘target’ jadi orang yang soleh, jadi orang baik, jadi orang berjaya. Kita tidak sempat tengok (kejayaan mereka) pun tidak mengapa, asalkan mereka ini berjaya.

Adik kepada Imam Ghazali ini pun ulama besar, kita tidak boleh hendak menyisihkan adiknya. Sebab apa? Suatu ketika Imam Ghazali jadi imam, adiknya sembahyang di belakang. Tengah-tengah sembahyang, adiknya mufaraqah, keluar (dari sembahyang). Adiknya beri salam, keluar. Selepas sembahyang, Imam Ghazali pun tanyalah, “Kenapa tadi (waktu) abang jadi imam, kamu keluar?”

Adiknya kata, “Tiba-tiba saya ternampak badan abang ni dalam api.” Setengah riwayat kata , “...badan abang ni berlumuran dengan darah.” Sebab itu saya keluar. Saya berasa ada sesuatu yang tidak kena. (Sebenarnya) Masa (sembahyang) itu adiknya diangkat hijab. Sebab adiknya (pada) zaman itu mendahului Imam Ghazali dari segi kerohanian. Adiknya ini di bidang kerohanian, tasawuf, adiknya teroka lebih dahulu berbanding Imam al-Ghazali.

“Jadi, apa yang abang fikir tadi?”

Barulah Imam Ghazali teringat.

“Ooh memang betul. Masa dalam sembahyang tadi aku terfikir permasalahan fiqh, iaitu masalah darah wanita, darah haid. Macam mana hukum-hakamnya begini begini.”

Tengah sembahyang dia fikir persoalan agama. Kalau ikut kita, tidak salahlah (sebab masih fikir hal ehwal agama juga). Tapi bagi ulama-ulama, dia mesti tumpu pada Tuhan. Tidak boleh hendak fikir masalah agamakah, perjuangankah, tidak boleh. Jadi Imam Ghazali ini pada masa itu ulama fekah. Dia menyelesaikan masalah hukum-hakam yang orang tanya, terbawa-bawa dalam sembahyangnya persoalan tentang darah wanita. Disebabkan dia terfikir begitu, Tuhan beri nampak kepada adiknya tadi, nampak dirinya... setengah riwayat kata ‘berapi’, setengah riwayat kata badannya berlumuran darah.

Apabila Imam Ghazali dengar sebegitu, “Memang betullah. Aku tadi terfikir selain daripada Allah iaitu masalah fiqh. Mulai hari ini aku pun hendak terjun ke dalam dunia tasawuf, dunia kerohanian.”

Sejak hari itu Imam Ghazali pun belajar juga, bertekun juga dalam bidang kerohanian, adiknya pula kalah dengannya. Hebat dia lagi.

Jadi masa kecil ini, ketika bapanya hendak mati itu, bapanya sudah berpesan, anak lelakinya yang dua orang ini beri kepada seorang ustaz untuk dijaga, seorang ulama tasawuf. Duduk dengan ahli tasawuf. Selepas bapanya meninggal, Imam Ghazali dan adiknya duduk dengan ulama tasawuf.

Antara tok guru yang mereka belajar... ulama tasawuf ini menjaga mereka macam anaklah. Imam Ghazali belajar ilmu fiqh dengan Syeikh Ahmad bin Muhammad ar-Razakani. Zaman itu cukup ramai yang bernama Ahmad, cukup ramai yang bernama Muhammad. Dia punya tok guru pun nama Ahmad bin Muhammad. Adiknya bernama Ahmad bin Muhammad. Dia pula bernama Muhammad bin Muhammad bin Muhammad bin Ahmad. Itulah nama mereka zaman itu.

SYARAHNYA:

Tahukah anda, nama yang paling banyak digunakan di dunia adalah ‘Muhammad’ dan ‘Ahmad’?

Adik Imam al-Ghazali iaitu Ahmad bin Muhammad menggantikan abangnya sebagai pengajar di Nizamiyyah apabila abangnya keluar bermusafir selama lebih 10 tahun. Beliau meninggal dunia pada 520 Hijrah/ 1126 Masihi di Qazwin. Terjun ke dunia sufi sejak zaman mudanya lagi.

KALAM ABU ZULFIQAR:

Selain belajar ilmu fiqh dengan Imam Razakani, belajar pula tasawuf dengan Yusuf an-Nassaj. Selepas itu dia pergi mengembara ke Jurjan, belajar. Gurunya bernama Abi Nassar al-Isma’ili. Selepas belajar, balik ke kampungnya, mengajar di sana. Jadi, ramailah ulama yang ditemui oleh Imam al-Ghazali. Saya senaraikan di sini dua tiga orang sahaja. Sebenarnya ramai ulama yang dia temui sepanjang hidupnya.

Dulu saya pernah ‘test’ satu kumpulan remaja berusia 14 tahun. Saya bagi satu kertas, saya cakap kepada mereka, “Dalam masa dua minit, kamu senaraikan nama artis yang kamu tahu. Bermula dari sekarang.”

Mereka pun apa lagi, tulis nama artis. Dua minit tidak cukup. “Cukup,cukup! Dua minit!”

“Ada lagi ni!” Punya ramainya nama artis yang mereka ini ingat, remaja sekarang. Dua minit tidak cukup.

“OK, sudah!”

Penuh kertas.

“Baik. Sekarang kertas kamu pusing sebelah belakang.” Mereka pun pusing.

“Saya beri masa dua minit, kamu senaraikan nama ulama yang kamu tahu.”

Terpinga-pinga budak-budak ni tadi. Hendak tulis satu (nama) pun susah.

“Siapa dia ulama ye?”

Cukup dua minit, saya tengok paling banyak ada 7-8 nama ulama. Itu paling banyaklah tu. Biasanya 3 orang, 2 orang. Sebab apa? Generasi sekarang tidak kenal ulama. Artis? Dua minit kita bagi, dia tak cukup kertas hendak tulis. Tu dia tulis nama. Tulis nama ulama, dua minit... tak tahu hendak tulis.

“... siapa dia ulama?”

Yang tidak ulama pun dia masukkan juga. Ustaz kecil pun dia tulis juga, sebab sudah tidak tahu (tidak kenal ulama).

Balik rumah, kita boleh ‘test’ anak-anak kita.

“Awang, mari sini sekejap, bapak nak ‘test’ ni. Ini kertas, ini pen, bapa bagi masa dua minit, cuba kamu tulis nama-nama artis.” Laju dia tulis. Tulis nama ahli sukan? Laju dia tulis.

“Ok, cukup dua minit! Sekarang bapak bagi dua minit lagi, tulis nama ulama.”

Hah, tengok dia hendak tulis macam mana! Silap-silap kertas kosong. Sebab? Generasi kita tidak kenal ulama.

Tapi yang kita takut dia ‘test’ kita balik : “Ooh, bapak pandai ya? Hah,nah! Saya bagi dua minit, bapak tulis nama-nama ulama!” Takut-takut kita pun tak boleh.

Baik. Selepas itu Imam Ghazali pergi ke Nisapur. Di sana ada satu sekolah Nizamiyyah, dia berguru pula dengan seorang ulama besar bernama Imam Haramain. ‘Haramain’ ini maksudnya ‘Dua Tanah Haram’. Imam ini cukup terkenallah di Makkah dan di Madinah, (lalu) diberi nama Imam Haramain. Belajar dengan Imam Haramain ini, Imam Haramain cukup sayang kepadanya kerana dalam banyak-banyak anak muridnya, Imam Ghazali yang paling handal, paling hebat dalam ilmu-ilmu agama dan amalan. Sampaikan kalau Imam Haramain tidak ada, (jika) dia ada urusan di luar, dia akan suruh Imam Ghazali tolong mengajar. Padahal masa itu Imam Ghazali muda lagi.

Apabila sampai umurnya 25 tahun, dia dipilih sebagai seorang pensyarah di Universiti Nizamiyyah. Umur baru 25 tahun. Dia mengajar itu pun orang-orang yang sebaya dengannya, menunjukkan handalnya dia.

Pada tahun 479 Hijrah, Imam Haramain iaitu tok gurunya yang handal itu meninggal. Apabila tok gurunya meninggal, orang lantik dia jadi pensyarah menggantikan tempat tok gurunya. Muda lagi dia masa itu. Yang lantik dia siapa dia? Perdana Menteri Nizam al-Mulk, dari Bani Abbasiyyah.

SYARAHNYA:

IMAM AL-HARAMAIN

Nama sebenar Imam al-Haramain ialah Dhia’ ul-Din Abdul Malik bin Abdullah bin Yusuf bin Muhammad bin Abdullah bin Hayyuwiyah al-Juwaini asy-Syafi’i (1028-1085 Masihi/ 419-478 Hijrah). Dilahirkan berhampiran Nisabur, Khurasan (dalam wilayah Iran hari ini) dalam keluarga ilmuwan agama. Bapanya Abu Muhammad Abdullah bin Yusuf al-Juwaini merupakan seorang yang mahir akan Mazhab Syafi’i manakala abangnya Abu al-Hasan Ali al-Juwaini seorang guru sufi yang mengajarkan hadith. Gelaran al-Juwaini itu berdasarkan nama wilayah kelahirannya.

Dr. Hamka ada menulis sedikit tentang kisah Imam Haramain dalam Tafsir Al-Azharnya pada jilid 1 muka surat 236-237. Menurutnya bapa Imam Haramain bernama Abu Muhammad. Pada masa muda, Abu Muhammad mengambil upah menyalin kitab-kitab. Duit hasil kerjanya itu berjaya membeli seorang hamba wanita yang soleh lagi taat. Hasil hubungannya dengan hamba wanita itu (menurut hukum Islam, hamba wanita boleh ‘digauli’ oleh majikannya yang lelaki sebagaimana isteri-isteri sendiri) lahirlah Abdul Malik yang kemudiannya dikenali sebagai Imam Haramain. Abu Muhammad berpesan kepada wanita soleh itu agar jangan sekali ada wanita lain menyusui anak mereka. Hal ini kerana Abu Muhammad tidak mahu ada makanan atau minuman daripada sumber yang tidak diyakininya masuk ke dalam tubuh si anak.

Pada suatu hari, si wanita jatuh sakit dan susu badannya kering. Anaknya pun menangis kerasa lapar dahaga. Masuk jirannya lalu menyusukan si anak. Apabila Abu Muhammad datang, dia tonggengkan anaknya dan mengorek tekak anaknya sampai termuntah. Katanya : “Bagiku tidak keberatan jika anak ini meninggal di waktu kecilnya, daripada rosak perangainya kerana dia meminum susu perempuan lain yang tidak aku kenal ketaatannya kepada Allah.”

Anak kecil itu tidak lain ialah Imam Haramain. Setelah dewasa, ketika mengajar agama kadang-kadang dia marah-marah. Menurut Imam Haramain, sikap itu mungkin berpunca daripada sisa-sisa air susu wanita jirannya itu. Tamat kisah yang saya petik dari Tafsir Al-Azhar.

Digelar Imam al-Haramain (Imam Dua Tanah Haram) kerana terkenal sebagai ulama besar di dua Tanah Haram iaitu Makkah dan Madinah. Mula menjadi guru pada usia 19 tahun menggantikan ayahnya yang meninggal dunia. Walaupun sudah bergelar guru, dia masih berguru ilmu-ilmu Mazhab Syafi’i dan teologi Asya’irah dengan Imam al-Isfiraini. Dia juga menuntut ilmu fiqh Syafi’i dan hadith dengan Imam al-Baihaqi.

Kebanyakan pengkaji mengakui Imam Haramain sebagai salah seorang ulama besar ilmu kalam bermazhab Asya’irah. Namun sebahagian lagi mengatakan Imam Haramain tidak berfahaman Asya’irah sepenuhnya, sebaliknya mempunyai sudut pandangan tersendiri yang menjadi penengah antara fahaman Asya’irah dengan Mu’tazilah.

Sememangnya persekitaran tempat lahir Imam Haramain ketika itu dipengaruhi oleh gandingan fahaman Asya’irah-Syafi’i. Namun apabila Dinasti Saljuk meluaskan kekuasaannya di Timur Iran, Imam Haramain mengalami kesukaran untuk mengajarkan fahaman Asya’irah. Hal ini kerana sultan Saljuk pertama iaitu Tughril Beg berfaham Mu’tazilah-Hanafi.

Imam Haramain berhijrah ke Hijjaz dan tinggal di sana selama 4 tahun. Ketika itu dia menjadi terkenal. Kemudiannya dia dipanggil semula ke Nisabur oleh pengasas Madrasah Nizamiyyah yang bermazhab Syafi’i, iaitu Perdana Menteri Saljuk yang baharu bernama Nizam al-Mulk. Di situ dia kembali mengajarkan ilmu kalam beraliran Asya’irah sehinggalah ke akhir hayatnya. Tempatnya selaku pengetua Madrasah Nizamiyyah digantikan oleh muridnya iaitu Imam al-Ghazali.

Apa tindakan kita selepas membaca kisah Imam Haramain ini?

1. Berazamlah untuk menjadikan keluarga kita sebuah keluarga yang ‘beragama’ sekalipun mungkin ahli-ahlinya tidak mencapai tahap ilmuwan agama. Tidak kisah bidang kerjaya apa pun yang bakal atau sedang mereka ceburi, usahakan bersungguh-sungguh agar setiap ahli keluarga kita mempunyai ilmu agama yang mencukupi dan mereka beramal dengan ilmu tersebut. Yang paling penting, mulakan dengan diri kita sendiri terlebih dahulu.

2. Usahakan bersungguh-sungguh agar masyarakat kita khususnya keluarga kita mengutamakan produk buatan orang Islam, yang halal lagi baik. Makanan turut berperanan membentuk jiwa, dan jiwa pula berperanan melahirkan perlakuan. Untuk mendapatakan perlakuan yang baik, maka makanan yang masuk ke dalam tubuh badan hendaklah yang baik.

10.4.11

Hikmah Al-Ghazali 1-5

HIKMAH 1
"Akhirat itu di hadapan dan dunia itu di belakang. Ajal itu dekat. Perjalanan itu jauh. Perbekalan itu sedikit. Bahaya itu besar. Dan jalan itu tertutup."

HIKMAH 2
"Berjalan ke akhirat serta banyaknya tipu daya tanpa petunjuk dan teman, adalah payah dan sukar. Maka penunjuk-penunjuk jalan itu ialah kaum ulama."

HIKMAH 3
"Aku akan buktikan kecenderungan manusia sekarang, jauh dari bentuk kesenangan. Tertipunya mereka dengan kilatan fatamorgana. Dan kepuasan mereka dengan kulit ilmu, tanpa isi."

HIKMAH 4
"Orang yang tidak berilmu, hatinya menjadi sakit dan kematian hatinya itu suatu kemestian. Tetapi, dia tidak menyedari demikian, kerana kecintaan dan kesibukannya dengan dunia, menghilangkan perasaan itu. Sebagaimana takut yang bersangatan kadang-kadang menghilangkan kepedihan luka seketika, meskipun luka itu masih ada."

HIKMAH 5
"Kedudukan yang tertinggi bagi seseorang manusia ialah kebahagiaan abadi. Dan suatu yang paling utama, ialah jalan kepadanya. Dan tidak akan sampai kepadanya selain dengan ilmu dan amal. Dan tidak akan sampai kepada amal, selain dengan mengetahui cara beramal."

9.4.11

Teks Kuliah Syarah Ihya 3

Setakat itu sahaja (doa kita). Cerdik itu cerdik yang mana? Kadang-kadang (apabila) dia besar (sudah dewasa), dia cerdik bahagian (perkara-perkara) jahat.

“Ya Allah, bagilah anak aku ini ada lesung pipit.”

Setiap hari asyik doa yang itulah sampai terigau-igau dalam mimpi, (kerana) hendak sangat anak yang ada lesung pipit. Tidak salah, tapi itu sudah jadi doa yang ‘atas’ sekali. Itu yang tidak berapa kena.

“Ya Allah jadikanlah anak aku cantik, mukanya macam Siti Norhaliza.”

Tidak salah, tetapi jangan itu jadi doa utama.

“Bagilah anak aku apabila besar nanti ‘handsome’ macam Rosyam Nor.”

Tidak salah juga. Tapi bapa Imam Ghazali tadi, doanya yang teratas sekali (ialah) dia hendak dapat anak, Allah kurniakan anak yang jadi ulama. Dan doanya dimakbulkan Tuhan.

Kita minta memang Tuhan beri, cuma masalahnya doa kita yang ‘atas’ sekali, yang utama itu apa dia? Kalau dapat anak cantik tapi perangai tak cantik pun, susah juga kita nanti.

Jadi Allah kurniakan dua orang anak lelaki. Kalau Imam Ghazali namanya Muhammad, adiknya bernama Ahmad – ‘Terpuji’ juga (maksudnya). Muhammad (dan) Ahmad, kedua-duanya pun ‘Mat’. Imam Ghazali, gelarannya Abu Hamid. Adiknya tadi (dipanggil) Abul Futuh Ahmad bin Muhammad. Gelaran adiknya Mujiduddin.

Sungguhpun berjaya mendapat dua orang anak yang baik, tapi bapanya meninggal awal. Tidak sempatlah hendak melihat anak-anak membesar dan jadi ulama. Sungguhpun begitu, yang penting usaha, bukannya (mesti) hendak tengok kejayaan. Kita didik anak kita, kita ‘target’ jadi orang yang soleh, jadi orang baik, jadi orang berjaya. Kita tidak sempat tengok (kejayaan mereka) pun tidak mengapa, asalkan mereka ini berjaya.

Adik kepada Imam Ghazali ini pun ulama besar, kita tidak boleh hendak menyisihkan adiknya. Sebab apa? Suatu ketika Imam Ghazali jadi imam, adiknya sembahyang di belakang. Tengah-tengah sembahyang, adiknya mufaraqah, keluar (dari sembahyang). Adiknya beri salam, keluar. Selepas sembahyang, Imam Ghazali pun tanyalah, “Kenapa tadi (waktu) abang jadi imam, kamu keluar?”

Adiknya kata, “Tiba-tiba saya ternampak badan abang ni dalam api.” Setengah riwayat kata , “...badan abang ni berlumuran dengan darah.” Sebab itu saya keluar. Saya berasa ada sesuatu yang tidak kena. (Sebenarnya) Masa (sembahyang) itu adiknya diangkat hijab. Sebab adiknya (pada) zaman itu mendahului Imam Ghazali dari segi kerohanian. Adiknya ini di bidang kerohanian, tasawuf, adiknya teroka lebih dahulu berbanding Imam al-Ghazali.

“Jadi, apa yang abang fikir tadi?”

Barulah Imam Ghazali teringat.

“Ooh memang betul. Masa dalam sembahyang tadi aku terfikir permasalahan fiqh, iaitu masalah darah wanita, darah haid. Macam mana hukum-hakamnya begini begini.”

Tengah sembahyang dia fikir persoalan agama. Kalau ikut kita, tidak salahlah (sebab masih fikir hal ehwal agama juga). Tapi bagi ulama-ulama, dia mesti tumpu pada Tuhan. Tidka boleh hendak fikir masalah agamakah, perjuangankah, tidak boleh. Jadi Imam Ghazali ini pada masa itu ulama fekah. Dia menyelesaikan masalah hukum-hakam yang orang tanya, terbawa-bawa dalam sembahyangnya persoalan tentang darah wanita. Disebabkan dia terfikir begitu, Tuhan beri nampak kepada adiknya tadi, nampak dirinya... setengah riwayat kata ‘berapi’, setengah riwayat kata badannya berlumuran darah.