BAHAGIAN KETIGA
Tentang amalan sunat dengan puasa dan susunan wirid padanya.
Ketahuilah bahawa kesunatan puasa itu dikuatkan pada hari-hari yang utama. Hari-hari yang utama itu sebahagiannya terdapat pada tiap-tiap tahun, sebahagiannya terdapat pada tiap-tiap bulan, dan sebahagian lagi pada tiap-tiap minggu.
Adapun yang dalam setahun selain (puasa) hari-hari bulan Ramadhan iaitu :
1. Hari ‘Arafah
2. hari ‘Asyura
3. 1/10 pertama (3 hari pertama) dari bulan Zulhijjah
4. 1/10 pertama (3 hari pertama) dari bulan Muharram
Semua bulan Haram (Zulqaidah, Zulhjjah, Muharam dan Rejab) adalah tempat berat dugaan bagi puasa, iaitu waktu-waktu yang utama.
“Dan adalah Rasulullah saw membanyakkan puasa bulan Sya’aban, sehingga disangkakan orang bahawa dia sedang berada dalam bulan Ramadhan.” (Bukhari, Muslim)
Dalam hadith ada disebutkan :
“Puasa yang lebih utama sesudah bulan Ramadhan ialah puasa pada bulan Allah – Muharam.”
Kerana bulan Muharam itu permulaan tahun. Maka membangunnya atas kebajikan adalah lebih disunatkan dan diharapkan berkekalan berkatnya.
Bersabda Nabi saw :
“Puasa sehari daripada bulan-bulan haram adalah lebih utama daripada 30 hari bulan lainnya. Dan puasa sehari daripada bulan Ramadhan, adalah lebih utama daripada 30 hari daripada bulan haram.” (Al-Iraqi tidak menemui hadith ini)
Pada hadith ada disebutkan :
“Sesiapa yang berpuasa 3 hari daripada bulan haram iaitu pada Khamis, Jumaat dan Sabtu, nescaya dituliskan oleh Allah baginya setiap hari sebagai ibadah 900 tahun.” (Hadith dhaif)
Pada hadith ada disebutkan :
“Apabila sudah berada senisfu (separuh) dari bulan Sya’aban, maka tidak ada puasa lagi sehinggalah Ramadhan.” (Ibnu Hibban, sahih)
Kerana itulah disunatkan berbuka (maksudnya tidak berpuasa) sebelum Ramadhan beberapa hari. Jika disambungkannya Sya’aban dengan Ramadhan, maka boleh (jaiz) juga. Dikerjakan yang demikian (berpuasa penuh pada bulan Sya’aban lalu menyambung terus dengan puasa bulan Ramadhan) oleh Rasulullah saw sekali, dan dipisahkannya antara Sya’aban dengan Ramadhan banyak kali. Dan tiada jaiz, dimaksudkan menerima Ramadhan dengan dua atau tiga hari puasa kecuali bertepatan dengan wiridnya.
Dimakruhkan oleh sebahagian sahabat (sekiranya) diambil bulan Rejab untuk berpuasa seluruhnya sehingga (supaya) tidak menyerupai bulan Ramadhan.
Maka bulan-bulan yang utama itu ialah bulan Zulhijjah, Muharram, Rejab dan Sya’aban, dan bulan haram iaitu Zulqaidah, Zulhijjah, Muharram dan Rejab, satu tunggal (iaitu Rejab) dan tiga berturut-turut (iaitu Zulqaidah, Zulhijjah dan Muharam). Dan yang lebih utama dari bulan haram itu ialah bulan Zulhijjah, kerana padanya (ada) ibadah haji, beberapa hari yang dimaklumi dan dikirakan.
Bulan Zulqaidah adalah sebahagian daripada bulan haram dan sebahagian daripada bulan-bulan haji. Dan bulan Syawal adalah sebahagian daripada bulan-bulan haji dan (tetapi) tidaklah ia termasuk dalam bulan haram. Bulan Muharam dan bulan Rejab tidaklah sebahagian daripada bulan-bulan haji.
Dalam hadith ada disebutkan :
“Tiadalah dari hari-hari yang berbuat amalan padanya yang lebih utama dan lebih dikasihi Allah ‘Azza wa Jalla, daripada hari-hari 10 Zulhijjah. Sesungguhnya berpuasa sehari padanya menyamai dengan puasa setahun. Melakukan ibadah solat satu malam daripadanya, menyamai dengan mengerjakan ibadah solat pada Lailatul Qadar. Lalu orang bertanya : “Dan tiadakah jihad pada jalan Allah Ta’ala?” Maka Nabi saw menjawab : “Dan tiadalah jihad pada jalan Allah ‘Azza wa Jalla, selain orang yang diletihkan kudanya dan ditumpahkan darahnya.” (Ibnu Majah)
Adapun puasa yang berulang-ulang dalam sebulan iaitu pada awal, pertengahan dan akhir. Dan pertengahannya ialah pada hari-hari putih iaitu pada tanggal 13, 14 dan 15. Adapun yang berulang-ulang dalam seminggu iaitu hari Isnin, Khamis dan Jumaat. Maka inilah hari-hari yang utama disunatkan berpuasa padanya dan memperbanyakkan kebajikan kerana berlipat ganda pahalanya dengan barakahnya pada waktu-waktu tersebut.
Adapun puasa suntuk masa, maka adalah melengkapi bagi keseluruhannya serta tambahannya. Dan bagi orang-orang yang berjalan pada jalan Allah, padanya beberapa jalan. Antara mereka ada yang memakruhkannya kerana telah datang beberapa hadith yang menunjukkan kepada makruhnya.
Dan yang sahih, sesungguhnya dimakruhkan kerana dua perkara :
1. Pertama – bahawa tiada berbuka pada dua hari raya (Aidil Fitri dan Aidil Adha) dan hari-hari tasyriq (11. 12 dan 13 Zulhijjah), maka itu adalah suntuk masa seluruhnya.
2. Kedua – bahawa dengan berpuasa suntuk masa itu adalah tidak menyukai sunnah (menyalahi sunnah) tentang berbuka. Dan orang yang selalu berpuasa itu menjadikan puasa suatu larangan terhadap dirinya, sedangkan Allah SWT menyukai supaya dilaksanakan kemudahan yang dianugerahi-Nya, sebagaimana menyukai dilaksanakan segala kemahuanNya. Maka apabila sesuatu daripada itu tidak ada dan melihat kebaikan bagi dirinya dalam berpuasa suntuk masa, maka hendaklah dikerjakannya yang demikian. Sesungguhnya telah dikerjakan itu oleh segolongan sahabat dan tabi’in, diredhai Allah kiranya mereka sekalian.
Nabi saw bersabda dalam apa yang diriwayatkan oleh Abu Musa Al-As’ari :
“Sesiapa berpuasa dalam masa seluruhnya, nescaya disempitkan kepadanya neraka jahannam dan dinombori 90.” (Tidak dicatatkan sumber hadith ini)
Ertinya tidak ada baginya tempat dalam nereka jahannam itu.
Dan kurang dari itu, ada darjat yang lain iaitu puasa setengah (separuh) masa, dengan cara ia berbuka sehari dan berbuka sehari. Yang demikian itu adalah sangat memberatkan bagi diri dan lebih kuat memaksakannya.
Dan telah datang kelebihannya banyak hadith kerana hamba padanya adalah antara puasa sehari dan syukur sehari.
Nabi saw telah bersabda :
“Didatangkan kepadaku kunci-kunci gudang dunia dan tempat simpanan di dumi, maka aku kembalikan semuanya. Dan aku mengatakan : “Aku lapar sehari dan kenyang sehari. Aku memuji Engkau apabila aku kenyang dan aku merendahkan diri kepada Engkau apabila aku lapar.” (Turmizi)
Nabi saw bersabda :
“Puasa yang lebih utama ialah puasa saudaraku Daud. Adalah dia berpuasa sehari dan berbuka sehari.” (Bukhari, Muslim)
Dan daripada itulah turun tangan Nabi saw pada Abdullah bin Umar mengenai puasa, di mana Abdullah mengatakan : “Sesungguhnya saya sanggup lebih banyak daripada itu.” Maka jawab Nabi saw : “Berpuasalah sehari dan berbukalah sehari.” Lalu Abdullah menyambung : “Bahwa aku bermaksud lebih baik daripada itu.” Maka Nabi saw bersabda : “Tidak ada yang lebih baik daripada itu.” (Bukhari, Muslim)
Diriwayatkan bahawa Nabi saw tidak berpuasa sekali-kali sebulan penuh, selain daripada bulan Ramadhan. (Bukhari, Muslim)
Dan sesiapa yang tidak sanggup berpuasa setengah masa itu maka tidak mengapalah (melakukan) sepertiganya, iaitu dia berpuasa sehari dan berbuka dua hari. Dan apabila berpuasa tiga hari dari awal bulan, tiga hari di tengah dan tiga hari di penghujungnya, maka itu adalah sepertiga dan jatuh dalam waktu-waktu yang utama. Dan jika berpuasa Isnin, Khamis dan Jumaat, maka itu mendekati sepertiga.
Apabila sudah jelas waktu-waktu keutamaan, maka yang sempurna ialah difahami oleh orang banyak akan pengertian puasa. Dan bahawa maksudnya ialah membersihkan hati dan menuangkan segala cita-cita bagi Allah ‘Azza wa Jalla. Orang yang memahami dengan halusnya dari kebatinan, melihat ia akan segala hal ehwalnya. Kadang-kadang dikehendaki oleh keadaannya akan berkekalan puasa, dan kadang-kadang dikehendaki akan berkekalan berbuka. Dan kadang-kadang dikehendaki mencampurkan berbuka dengan berpuasa.
Apabila telah difahami akan ertinya dan telah dipastikan akan batasnya dalam menempuh jalan akhirat dengan muraqabah hati, nescaya tidak tersembunyi kepadanya kebaikan hatinya. Dan itu tidak mengharuskan tertib yang terus-menerus. Dan kerana itulah diriwayatkan bahawa Nabi saw : “adalah berpuasa sehingga dikatakan orang dia tidak berbuka, dan dia berbuka sehinggga dikatakan orang (dia) tiada berpuasa. Dan dia tidur sehingga dikatakan orang dia tiada bangun, dan dia bangun sehingga dikatakan orang dia tiada tidur.” (Bukhari, Muslim)
Dan adalah yang demikian itu menurut apa yang terbuka baginya dengan nur kenabian, daripada menunaikan hak segala waktu.
Para ulama memandang makruh membuat berturut-turut antara berbuka lebih banyak daripada empat hari, kerana penghargaan dengan hari raya dan hari-hari tasyriq. Para ulama itu menyebutkan bahawa yang demikian mengesatkan hati, melahirkan keburukan adat kebiasaan dan membukakan pintu-pintu hawa nafsu. Dan demi umurku, benarlah seperti yang demikian pada pihak kebanyakan manusia, lebih-lebih lagi orang yang makan dua kali sehari semalam.
Inilah yang kami maksudkan menyebutkannya dari tertib susunan puasa sunat.
WaAllahua’lam bissawab. Allah Maha Tahu dengan kebenaran. Telah tamat kitab Rahsia-rahsia Puasa. Dan segala puji bagi Allah dengan segala tempat pujiannya semuanya, apa yang kita ketahui daripadanya dan apa yang tidak kita ketahui atas segala nikmat-Nya seluruhnya, apa yang kita ketahui daripadanya dan apa yang tidak kita ketahui. Rahmat Allah kepada penghulu kita Muhammad, keluarganya dan sahabatnya, serta sejahtera dan mulia dan kepada setiap hamba pilihan darti penduduk bumi dan langit.
Akan diiringi insyaAllah Ta’ala dengan kitab Rahsia-rahsia Haji. Dan Allah yang menolong, tidak ada Tuhan selain dari-Nya. Dan tidak adalah taufik bagiku selain dari Allah. Cukuplah Allah bagi kami dan sebaik-baik tempat penyerahan diri.