18.8.11

Kitab Puasa - Bahagian Kedua

BAHAGIAN KEDUA

Tentang rahsia-rahsia puasa dan syarat-syarat batiniyyahnya.

Ketahuilah bahawa puasa itu 3 tingkat:

1. Puasa umum

2. Puasa khusus

3. Puasa khusus dari yang khusus

(Puasa Umum)

Adapun puasa umum iaitu mencegah perut dan kemaluan memenuhi keinginannya, sebagaimana huraian yang lalu.

(Puasa Khusus)

Adapun puasa khusus iaitu pencegahan pendengaran, penglihatan, lidah, kaki, tangan dan anggota tubuh lain daripada dosa.

(Puasa Khusus dari Yang Khusus)

Adapun yang khusus dari yang khusus iaitu puasa hati daripada segala cita-cita yang hina dan segala fikiran duniawi, serta mencegahnya daripada selain Allah ‘Azza wa Jalla secara keseluruhan. Dan hasillah berbuka daripada puasa ini dengan berfikir selain daripada Allah ‘Azza wa Jalla dan hari akhirat, dan dengan berfikir tentang dunia. Kecuali dunia yang dimaksudkan untuk agama. Maka yang demikian itu adalah sebahagian daripada perbekalan akhirat dan tidaklah termasuk dunia.

Sehingga berkatalah orang-orang yang mempunyai hati : “Barangsiapa tergerak cita-citanya dengan bertindak pada siang harinya untuk memikirkan bahan berbuka puasanya, nescaya dituliskan satu kesalahan kepadanya.” Kerana yang demikian itu termasuk kurang keyakinan akan kurniaan Allah ‘Azza wa Jalla, dan kurang yakin dengan rezeki yang dijanjikan.

(Puasa khusus dari yang khusus) Inilah tingkat nabi-nabi, orang-orang siddiq dan orang-orang muqarrabin. Dan tidak panjanglah pandangan tentang penghuraiannya secara perkataan, tetapi mengenai penyelidikannya secara pelaksanaan, kerana itu adalah menghadapkan cita-cita sejati kepada Allah ‘Azza wa Jalla. Dan berpaling daripada selain Allah SWT dan memakai akan pengertian firman Allah ‘Azza wa Jalla :

“Katakanlah “Allah”. Kemudian biarkanlah mereka main-main dengan cakap-cakap kosongnya.” (Al-An’am : 91)

Adapun puasa khusus iaitu puasa orang-orang soleh iaitu mencegah seluruh anggota badan daripada dosa. Dan kesempurnaannya adalah dengan 6 perkara.

(Tatacara Puasa Khusus)

Pertama : Memicingkan mata dan mencegahnya daripada meluaskan pandangan terhadap setiap yang dicela dan dimakruhkan, dan kepada setiap yang membimbangkan dan melalaikan hati daripada mengingati Allah ‘Azza wa Jalla.

Bersabda Nabi saw :

“Pandangan itu ialah anak panah beracun daripada panah-panah Iblis Laknatullah. Maka sesiapa yang meninggalkan pandangan kerana takut kepada Allah, nescaya didatangkan oleh Allah ‘Azza wa Jalla kepadanya keimanan yang diperoleh kemanisan dalam hatinya.” (Al-Hakim, sahih isnadnya)

Diriwayatkan oleh Jabir dari Anas dari Rasulullah saw bahawa baginda bersabda :

“Lima perkara membukakan puasa orang yang berpuasa : berdusta, mengumpat, menjadi lalat merah, bersumpah palsu dan memandang dengan nafsu.” (Menurut Abu Hatim Ar-Razi, hadith ini dusta)

Kedua : Menjaga lidah daripada perkataan yang sia-sia, berdusta, mengumpat, menjadi lalat merah, berkata keji, berkata sesuatu yang membuatkan hubungan jadi renggang, kata-kata permusuhan, kata-kata yang mengandungi ria’. Dan mengharuskan berdiam diri serta menggunakan waktu untuk berzikir kepada Allah SWT dan membaca Al-Quran.” Inilah puasa lisan.

Berkata Sufyan : “Mengumpat itu merosakkan puasa.” Diriwayatkan (perkataan-perkataan) ini oleh Bisyr bin Al-Harits daripadanya.

Diriwayatkan oleh Laits dari Mujahid : “Dua perkara merosakkan puasa : mengumpat dan menipu.”

Bersabda Nabi saw : “Sesungguhnya puasa itu benteng. Apabila seseorang kamu berpuasa, maka janganlah berkata yang keji dan jahil. Dan kalau ada orang yang menyerang atau memakinya, maka hendaklah ia mengatakan : “Aku berpuasa. Aku berpuasa.” (Bukhari, Muslim)

Tersebut pada hadith : “Bahawa dua orang wanita mengerjakan puasa pada masa Rasulullah saw, lalu kedua-duanya diserang rasa lapar dan haus yang bersangatan pada akhir siang, sehingga hampirlah kedua-duanya binasa. Lalu kedua-duanya mengirim utusan kepada Rasulullah saw, memohon keizinan untuk berbuka. Maka Rasulullah saw mengirimkan kepada mereka sebuah bekas, sambil berkata kepada utusan itu : “Katakanlah kepada kedua-dua wanita itu : “Muntahlah ke dalam bekas ini apa yang telah engkau makan.”

Maka muntahlah salah seorang dari mereka darah dan daging mentah separuh bekas. Dan yang seorang lagi muntah seperti itu juga, sehingga penuhlah bekas itu dengan muntah kedua-duanya. Maka hairanlah manusia dari yang demikian itu.”

“Lalu bersabda Nabi saw : “Kedua-duanya telah berpuasa daripada apa yang dihalalkan untuk kedua-duanya, dan berbuka dengan apa yang diharamkan oleh Allah kepada kedua-duanya. Yang seorang duduk bersama-sama yang lain, mengumpat manusia. Maka inilah apa yang dimakan oleh kedua-duanya dari daging manusia itu.” (Ahmad, sanadnya tidak diketahui)

Ketiga : Mencegah pendengaran daripada mendengar setiap yang makruh, kerana setiap yang haram diucapkan, maka haram mendengarnya. Kerana itulah disetarakan oleh Allah Ta’ala antara orang yang mendengar (yang haram) dan yang memakan yang haram. Berfirman Allah Ta’ala : “Mereka yang suka mendengar untuk berdusta dan memakan yang haram.” (Al-Ma’idah : 42)

Dan berfirman Allah Ta’ala :

“Mengapa mereka tidak dilarang oleh ahli-ahli ke Tuhanan dan para pendeta daripada mengucapkan perkataan dosa dan memakan yang haram?” (Al-Ma’idah : 63)

Maka berdiam diri mendengar umpatan adalah haram. Berfirman Allah Ta’ala : “Bahawa kamu, jadinya seperti mereka.” (An-Nisa’ : 104)

Dan kerana itulah Nabi saw bersabda : “ Yang mengumpat dan yang mendengar bersyarikat dalam dosa.” (Thabari, sanad dhaif)

Keempat : Mencegah anggota tubuh lain dari segala dosa. Dari tangan dan kaki, dan dari segala yang makruh, serta mencegah perut dari segala harta syubhat, waktu berbuka. Maka tidak ada erti berpuasa, iaitu ia mencegah daripada makanan yang halal, (tetapi) kemudian berbuka dengan makanan yang haram. Lalu serupalah orang yang berpuasa itu seperti orang yang membangun sebuah istana dan meruntuhkan kota.

Bahawa makanan yang halal itu sesungguhnya memberi mudarat dengan (dimakan dengan) banyaknya, bukan disebabkan macamnya. Maka berpuasa itu adalah dengan menyedikitkannya. Dan orang yang meninggalkan memperbanyak ubat kerana takut akan kemelaratannya, maka apabila beralih kepada memakan racun, adalah dungu. Dan yang haram itu ialah racun yang membinasakan agama. Dan yang halal ialah ubat yang bermanfaat sedikitnya dan memberi melarat banyaknya. Dan maksud dari berpuasa itu ialah menyedikitkannya.

Nabi saw telah bersabda :

“Banyaklah orang yang berpuasa, yang tidak mendapat apa-apa daripada puasanya itu selain lapar dan dahaga.” (An-Nasa’i, Ibnu Majah).

Maka ada orang yang mengatakan iaitu yang berbuka dengan yang haram. Dan ada yang mengatakan iaitu yang menahan diri daripada makanan yang halal dan berbuka dengan daging manusia, iaitu pengumpatan, dan itu adalah haram. Dan ada yang mengatakan iaitu orang yang memelihara anggotanya dari dosa.

Kelima : Bahawa tidak membanyakkan makanan yang halal ketika berbuka, di mana rongganya penuh melimpah. Maka tidak adalah karung yang lebih dimarahi Allah ‘Azza wa Jalla daripada perut yang penuh dengan yang halal.

Bagaimanakah dapat memperolehi faedah daripada puasa, memaksakan musuh Allah (syaitan) dan menghancurkan hawa nafsu, apabila diperoleh oleh orang yang berpuasa ketika berbuka apa yang tidak diperolehnya pada siang hari? Kadang-kadang bertambah lagi dengan pelbagai macam warna makanan, sehingga berjalanlah kebiasaan dengan menyimpan segala macam makanan itu untuk bulan Ramadhan. Maka dimakanlah segala makanan itu dalam bulan Ramadhan, apa yang tidak dimakan dalam bulan-bulan (lain) ini.

Dan dimaklumi bahawa maksud/ tujuan berpuasa ialah mengosongkan perut dan menghancurkan hawa nafsu, untuk menguatkan jiwa kepada bertaqwa.

Apabila perut ditolak (dikosongkan) daripada makanan sejak pagi sampai ke petang, sehingga perut itu bergolak keinginannya dan bertambah kuat kegemarannya, kemudian disuguhkan (dihidangkan) dengan makanan yang lazat-lazat dan kenyang, nescaya bertambahlah kelazatan dan berlipatgandalah kekuatannya, serta membangkitkan nafsu syahwat itu, apa yang diharapkannya tadi tenang, jikalau dibiarkan atas kebiasaannya.

Maka jiwa dan rahsia puasa ialah melemahkan kekuatan yang menjadi jalan syaitan dalam mengembalikan kepada kejahatan. Dan yang demikian itu tidak akan berhasil selain dengan menyedikitkan makanan, iaitu dengan memakan makanan yang dimakan setiap malam kalau tidak berpuasa. Apabila dikumpulkan apa yang dimakan pada pagi hari kepada apa yang dimakan pada malam, maka tidaklah bermanfaat dengan puasanya itu.

Bahkan sebahagian daripada adab berpuasa adalah tidak membanyakkan tidur pada waktu siang, supaya dirasainya lapar dan haus, dan dirasainya lemahnya kekuatan.

Maka jernihlah hatinya ketika itu serta berkekalanlah pada setiap malam sekadar kelemahan, sehingga ringanlah mengerjakan solat tahajjud dan wirid-wiridnya. Maka semoga syaitan tidak mengelilingi hatinya, lalu dapat ia memandang ke alam tinggi.

Dan Malam Al-Qadar adalah malam yang terbuka padanya sesuatu dari alam malakut. Dan itulah yang dimaksudkan dengan firman Allah Ta’ala:

“Sesungguhnya (Al-Quran) itu Kami turunkan pada Malam Al-Qadar.” (Al-Qadr : 1)

Barangsiapa menjadikan di antara hati dan dadanya tempat penampung makanan, maka dia terhijab daripada-Nya. Dan barangsiapa mengosongkan perutnya, maka yang demikian itu belum mencukupi untuk mengangkatkan hijab, sebelum kosong cita-citanya daripada selain Allah ‘Azza wa Jalla. Dan itulah urusan seluruhnya. Dan pangkal semuanya itu adalah dengan menyedikitkan makanan. Dan akan datang untuk itu, penjelasan lebih lanjut dalam Kitab Makanan (salah satu bab dalam kitab Ihya’ ini), insyaAllah ‘azza wa Jalla.

Keenam : Adalah sesudah berbuka itu, hatinya bergantung dan bergoncang antara takut dan harap, kerana ia tidak mengetahui, apakah puasanya diterima, maka (dengan penerimaan itu) dia menjadi sebahagian orang muqarrabin, ataupun (puasanya ) ditolak, maka (dengan penolakan itu) dia menjadi sebahagian orang yang tercela (mamqutin). Dan hendaklah ada seperti itu pada akhir setiap ibadah yang baru selesai dikerjakan.

Diriwayatkan dari Al-Hasan bin Abil Hasan al-Basri, bahwa dia melewati satu kaum yang sedang tertawa besar. Maka dia berkata : “Bahwa Allah ‘Azza wa Jalla menjadikan bulan Ramadhan (sebagai) tempat persembunyian bagi makhluk-Nya, yang mana mereka tetap padanya mentaati-Nya. Maka dahululah satu kaum, lalu mereka beroleh kemenangan, dan tertinggallah beberapa kaum lalu rugilah mereka. Maka hairan sekali bagi orang yang tertawa, yang bermain-main pada hari di mana padanya beroleh kemenangan orang yang telah dahulu dan rugilah padanya orang-orang yang berjalan sia-sia. Demi Allah, kalau terbukalah hijab, sungguh akan bekerja orang baik dengan berbuat kebaikan dan orang jahat dengan berbuat kejahatan. Ertinya : “Adalah kegembiraan orang yang diterima amalannya, menjauhkan dia daripada bermain-main. Dan kesedihan hati orang yang tertolak amalannya, menutupkan baginya pintu ketawa.”

Dari Al-Ahnaf bin Qais, bahawa orang mengatakan kepadanya : “Bahawa tuan seorang yang sudah sangat tua, dan puasa itu melemahkan tuan.”

Jawab Al-Ahnaf : “Aku sediakan puasa itu untuk perjalanan jauh. Dan bersabar dalam mentaati Allah SWT adalah lebih mudah daripada bersabar dari azab-Nya.”

Maka inilah segala pengertian batiniyyah dalam puasa.

Kalau engkau mengatakan bahawa orang yang menyingkatkan saja dengan pencegahan keinginan perut dan kemaluan serta meninggalkan segala pengertian ini, maka telah berkata segala ulama fiqh bahawa puasanya sah. Maka apakah ertinya itu?

Maka ketahuilah, bahawa para ulama fiqh zahiriyyah adalah menetapkan syarat-sayarat zahiriyyah dengan dalil-dalil yang lebih lemah daripada dalil-dalil yang telah kami sebutkan dalam syarat-syarat batiniyyah itu. Lebih-lebih lagi tentang mengumpat dan semua yang menyamainya.

Tapi tidaklah kepada para fuqaha’ zahiriyyah itu diberatkan selain apa yang mudah kepada umum orang yang lalai, yang menghadapkan dirinya kepada dunia yang masuk di bawahnya.

Adapun ulama akhirat, maka mereka bersungguh-sungguh dengan sahnya itu akan diterima. Dan dengan diterima, akan sampai kepada yang dimaksudkan. Mereka memahami bahawa yang dimaksudkan dengan puasa ialah berakhlak dengan salah satu akhlak daripada akhlak Allah ‘Azza wa Jalla iaitu tempat meminta ,dan mengikuti malaikat tentang pencegahan dari hawa nafsu sedapat mungkin.

Para malaikat itu suci daripada segala hawa nafsu. Dan manusia, darjatnya adalah di atas darjat haiwan kerana kesanggupannya dengan nur akal menghancurkan hawa nafsunya. Dan kurang daripada darjat malaikat kerana berkuasa hawa nafsu padanya, serta ia diuji dengan perjuangan menghadapi hawa nafsu itu.

Sewaktu manusia itu terjerumus ke dalam hawa nafsu, maka ia menurun ke tingkat yang paling bawah dan berhubungan dengan lumuran haiwan. Dan sewaktu ia mencegah diri daripada hawa nafsu, nescaya terangkatlah ia ke tingkat yang paling tinggi dan berhubunganlah ia dengan tingkatan malaikat.

Dan malaikat itu berdekatan dengan Allah ‘Azza wa Jalla. Dan (orang) yang mengikuti para malaikat serta menyerupakan diri dengan perilakunya, maka dekatlah ia dengan Allah ‘Azza wa Jalla sebagaimana dekatnya para malaikat itu. (Hal ini) kerana menyerupai dengan orang yang dekat itu maka menjadi dekat. Dan tidaklah dimaksudkan dengan dekat di situ (dekat) dengan tempat, tetapi dengan sifat.

Apabila inilah rahsia puasa pada ahli akal dan ahli hati, maka apakah faedahnya mengemudiankan suatu makan dan mengumpulkan dua makan pada waktu malam, serta membenamkan diri di dalam hawa nafsu yang lain sepanjang hari? Dan kalaulah bagi yang seperti ini ada faedahnya, maka apakah ertinya sabda Nabi : “Berapa banyak orang yang berpuasa, yang tidak ada puasanya selain lapar dan dahaga?” (An-Nasa’i , Ibnu Majah)

Kerana inilah Abu Darda’ mengatakan : “Alangkah baiknya tidur dan berbuka orang-orang yang pandai! Bagaimanakah mereka tidak mencela puasa dan tidak tidur malam orang-orang bodoh? Sebiji sawi dari orang yang berkeyakinan dan bertaqwa adalah lebih utama dan lebih kuat daripada seperti bukit ibadah orang-orang yang tertipu dengan dirinya.”

Dan kerana itulah sebahagian ulama mengatakan : “Berapa banyak orang yang berpuasa (tapi sebenarnya) berbuka, dan berapa banyak orang yang berbuka (tapi sebenarnya) berpuasa.”

Orang yang berbuka (tapi sebenarnya) berpuasa ialah orang yang menjaga segala anggota tubuhnya daripada dosa. Ia makan dan minum. Dan orang yang berpuasa berpuasa (tetapi sebenarnya berbuka) ialah orang yang lapar dan haus dan melepaskan segala anggota tubuhnya.

Dan barangsiapa memahami akan erti dan rahsianya puasa, nescaya mengetahui bahawa seumpama orang yang mencegah dirinya daripada makan dan bersetubuh dan berbuka dengan bercampur aduk dengan dosa, adalah seperti orang yang menyapu salah satu daripada anggotanya pada wudhuk sebanyak 3 kali. Maka sesungguhnya telah sesuai dengan zahir bilangannya, kecuali ia telah meninggalkan yang penting,iaitu membasuh. Maka solatnya tertolak lantaran kebodohannya.

Dan seumpama orang yang berbuka puasa dengan makan dan ia mengerjakan puasa dengan segala anggota tubuhnya daripada segala yang makruh, adalah seperti orang yang membasuh (tidak sekadar menyapu) segala anggota wudhu’nya sekali sekali, maka solatnya diterima insyaAllah. (Hal ini) kerana kukuhnya ia berpegang pada pokok/ dasar sekalipun ia meninggalkan keutamaan.

Dan seumpama orang yang mengumpulkan kedua-duanya adalah seperti orang yang membasuh (bukan sekadar menyapu) setiap anggota wudhu’nya tiga-tiga kali, maka ia telah mengumpulkan antara pokok/dasar dengan kelebihan. Dan itu adalah kesempurnaan namanya.

Bersabda Nabi saw : “Sesungguhnya puasa itu amanah, maka hendaklah dipelihara oleh seseorang akan amanahnya.” (Dirawikan Al-Khairati dari Ibnu Mas’ud, isnad baik)

Sewaktu Nabi saw membaca firman Allah ‘Azza wa Jalla : “Sesungguhnya Allah menyuruh kamu menunaikan amanah kepada yang punya.” (An-Nisaa’ : 58) , lalu meletakkan tangannya atas pendengaran (telinga) dan penglihatannya (mata) seraya bersabda : “Pendengaran itu amanah dan penglihatan itu amanah.”

Jikalau tidaklah itu daripada amanah puasa, maka tidaklah Nabi saw bersabda : “Maka hendaklah ia mengatakan : “Sesungguhnya aku ini berpuasa.” Ertinya, sesungguhnya aku simpankan lisanku supaya aku memeliharakannya. Maka bagaimanakah ia (hendak) aku lepaskan dengan menjawab akan perkataan engkau?”

Jadi, telah teranglah bahawa bagi setiap ibadah itu mempunyai zahir dan batin, kulit dan isi. Dan kulitnya itu mempunyai beberapa darjat dan bagi setiap darjat mempunyai beberapa lapisan. Maka kepada engkaulah sekarang untuk memilih, apakah engkau cukupkan dengan kulit sahaja tanpa isi, ataupun engkau berpihak mencemplungkan diri kepada para ahli isi.