8.8.11

Kitab Puasa - Bahagian Pertama

BAHAGIAN PERTAMA

Tentang yang wajib dan sunat, yang zahir serta yang harus dengan merosakkan puasa.

Adapun yang wajib 6 perkara :

1. Mengintip permulaan bulan Ramadhan.

2. Niat.

3. Tidak memasukkan sesuatu ke dalam rongga tubuh.

4. Tidak bersetubuh.

5. Tidak mengeluarkan air mani dengan sengaja.

6. Tidak muntah dengan sengaja

Pertama: Mengintip permulaan bulan Ramadhan.

Dan yang demikian itu dengan melihat bulan (ru’yah). Jika mendung, maka disempurnakan 30 hari daripada bulan Sya’aban. Dan kami maksudkan dengan ru’yah ialah mengetahuinya. Dan hasil (diterima) yang demikian itu dengan dikatakan oleh seorang yang ‘adil. Dan tidaklah tetap permulaan bulan Syawal (hilal Syawal) melainkan dengan dikatakan oleh dua orang yang ‘adil, kerana memelihara akan ibadah.

Sesiapa yang mendengar dari seorang yang ‘adil dan ia percaya perkataannya itu serta berat sangkaannya kepada benar, maka hendaklah ia berpuasa walaupun qadhi tidak melaksanakannya. Maka hendaklah masing-masing hamba mengikut tentang ibadahnya menurut berat sangkaannya (zhannya).

Apabila bulan dilihat di sebuah negeri tapi tidak dilihat di negeri yang lain, dan di antara kedua-dua negeri itu jaraknya kurang daripada dua marhalah, maka wajiblah semuanya (di kedua-dua negeri itu) berpuasa. Dan kalau lebih daripada dua marhalah, nescaya bagi negeri-negeri itu mengikut keputusan masing-masing, dan kewajipan berpuasa itu tidaklah melampaui negeri yang tidak melihat bulan.

Kedua : Niat. Dan tidak boleh tidak (mesti diniatkan) pada setiap malam, berniat pada waktu malam yang tentu lagi yakin. Kalau diniatkan berpuasa bulan Ramadhan dengan sekali niat (sekaligus untuk sebulan), nescaya tidak mencukupi/memadai. Dan itulah yang kami maksudkan dengan perkataan kami “setiap malam”.

Dan kalau diniatkan pada siang hari, nescaya tidak memadai bagi puasa Ramadhan dan puasa fardhu lainnya, kecuali untuk puasa sunat. Dan itulah yang kami maksudkan dengan perkataan kami “pada waktu malam”. Kalau diniatkan berpuasa secara mutlak atau diniatkan fardhu secara mutlak, nescaya tidak memadai. Berniatlah “fardhu daripada Allah ‘Azza wa Jalla puasa Ramadhan”.

Kalau diniatkan pada malam yang diragukan (malam syak) untuk berpuasa esoknya, jikalau ia dari bulan Ramadhan, nescaya tidak memadai kerana malam syak itu tiada yakin. Kecualilah disandarkan niatnya pada kata-kata seorang saksi yang ‘adil. Dan kemungkinan salah atau berbohongnya saksi itu, tidaklah membatalkan keyakinan.

Atau disandarkan pada penyertaan suatu keadaan seperti syak hati pada malam penghabisan dari Ramadhan. Maka yang demikian itu tidaklah mencegah keyakinan niat.

Atau disandarkan pada ijtihad, contohnya orang yang ditahan di dalam lubang tanah. Apabila berat sangkaannya tentang masuknya Ramadhan dengan ijtihadnya, maka keraguannya itu tidaklah mencegahnya daripada niat.

Manakala ia ragu pada malam syak, nescaya tidak bermanfaat akan yakinnya niat dengan lisan kerana niat itu tempatnya di hati dan tidaklah tergambar keteguhan maksud serta keraguan itu. Sebagaimana kalau ia mengatakan pada pertengahan bulan Ramadhan : “Aku akan berpuasa esok hari, kalau esok itu daripada bulan Ramadhan.”Maka sedemikian itu tidak memberi kemelaratan kepadanya kerana hal itu merupakan keraguan kata-kata.Dan tempat niat tidaklah tergambar padanya keraguan, tapi dia yakin bahawa esok itu daripada bulan Ramadhan.

Sesiapa yang meniatkan pada malam hari, kemudian dia makan, maka tidaklah merosakkan niatnya. Kalau seseorang wanita itu berniat dalam masa “berkain kotor” (datang haid), kemudian ia suci (daripada haidnya) sebelum terbit fajar, nescaya sahlah puasanya.

Ketiga : Menahan diri daripada menyampaikan sesuatu ke dalam rongga dengan sengaja, serta teringat puasa. Maka rosaklah (batallah) puasa dengan (sengaja) makan, minum, memasukkan sesuatu ke dalam hidung, dan memasukkannya ke dalam lubang dubur. Dan tidaklah rosak (batal) puasa dengan membetik, berbekam, bercelak, memasukkan alat memakai celak ke dalam telinga dan ke dalam al-ihli (lubang kencing lelaki atau rongga kecil tempat keluar susu wanita), kecuali dititiskan ke dalam al-ihlil sesuatu yang sampai ke tempat air kecil seseorang.

Dan apa yang sampai kepada rongga badan tanpa sengaja berupa debu jalan atau lalat yang masuk ke dalam rongganya, atau apa yang masuk ke dalam rongganya ketika berkumur-kumur, maka tidaklah membukakan (membatalkan) puasa. Kecuali apabila dia berlebih-lebihan dalam berkumur-kumur (lalu tertelan air), maka membukakan puasa kerana itu kecuaian sendiri. Dan itulah yang kami maksudkan dengan perkataan kami : “Sengaja.”

Adapun “teringat puasa”, maka kami maksudkan di luar (selain) orang yang lupa. Maka tidaklah membukakan (membatalkan) puasa bagi orang yang lupa.

Orang yang makan dengan sengaja pada dua tepi siang, kemudian ternyata baginya yang dia telah makan pada siang hari dengan sebenarnya, maka hendaklah dia menqadhakan puasa itu. Dan kalau masih dalam hukum zhan dan ijtihadnya, maka tidak wajib qadha. Dan tidak seharusnyalah makan pada dua tepi siang, selain dengan memperhatikan dan ijtihad.

Keempat : Menahan diri dari bersetubuh. Dan batas/had/sempadan bersetubuh ialah masuknya hujung kemaluan lelaki (hasyafah). Jikalau bersetubuh (pada waktu siang) kerana lupa, maka tidak membukakan (membatalkan) puasa.

Jika bersetubuh pada malam hari atau bermimpi (berihtilam), lalu tiba waktu Subuh sedangkan dia berjanabah (berhadas besar), maka tidak membukakan puasa. Dan kalau terbit fajar, di mana ia sedang bercampur (bersetubuh) dengan isterinya lalu ditarik (keluar zakar)nya, sahlah puasanya. Tetapi jika ia bertahan (tidak menarik keluar zakarnya dengan segera), rosaklah puasanya dan wajib dia memberikan kafarat puasa.

Kelima : Menahan diri daripada mengeluarkan mani (al-istimna’). Iaitu mengeluarkan mani dengan sengaja, dengan bersetubuh ataupun tanpa bersetubuh. Maka yang demikian itu membukakan puasa.

Dan tidaklah membukakan puasa dengan memeluk isterinya, dan tidak juga dengan tidur bersama, selagi tidak inzal (keluar mani kerana terlalu ghairah). Tetapi hal itu makruh, kecuali dia orang tua atau (orang yang) dapat mengawal dirinya (daripada inzal). Maka dalam hal sedemikian, tidak mengapa berpelukan. Dan meninggalkannya (tidak berbuat begitu) adalah lebih utama.

Apabila ia takut sekiranya berpelukan itu akan membuatkannya inzal, lalu dia berpelukan dan keluarlah maninya, maka yang sedemikian itu membukakan puasa, kerana salahnya sendiri.

Keenam : Menahan diri dari mengeluarkan muntah. Maka mengeluarkan muntah (dengan sengaja) itu merosakkan (membatalkan) puasa. Dan jika termuntah (tidak sengaja), maka tidaklah merosakkan puasanya.

Apabilaia menelan kahak dari kerongkong atau dadanya, nescaya tidaklah merosakkan puasanya kerana (hal itu) merupakan satu kelapangan (rukhsah) kerana meratanya (selalu berlaku dan sukar untuk dielakkan) bahaya yang sebegitu. Kecuali ditelannya setelah (kahak itu) sampai ke mulutnya, maka yang demikian itu membukakan puasa.

Adapun yang mesti dilaksanakan dengan terbukanya puasa itu 4 perkara :

1. Mengqadhakan (puasa itu).

2. Memberi (membayar) kafarah.

3. Memberi (membayar) fidyah.

4. Menahan diri pada siang hari itu, untuk menyerupakan diri dengan orang berpuasa.

Tentang qadha, maka wajibnya adalah umum atas setiap muslim mukallaf yang meninggalkan puasa dengan keuzuran ataupun tanpa keuzuran. Wanita yang berkain kotor (datang haid kenalah) mengqadhakan puasa. Dan begitu pula orang yang murtad (yang) kemudiannya kembali ke dalam Islam, maka mestilah mengqadhakan puasa. Adapun orang kafir, kanak-kanak di bawah umur dan orang gila, maka tidak adalah (tuntutan) qadha ke atas mereka.

Dan tidaklah disyaratkan berturut-turut dalam mengaqadhakan puasa Ramadhan, tetapi diqadha mengikut kehendak dari yang mengqadha, (samada diqadha secara) bercerai-cerai ataupun berkumpul berturut-turut.

Tentang kafarat, maka tidak wajib kecuali disebabkan oleh bersetubuh. Adapun mengeluarkan mani, makan dan selain daripada bersetubuh, maka tidaklah wajib kafarat.

Kafaratnya ialah memerdekakan seorang hamba. Jika sukar, maka (digantikan dengan) berpuasa dua bulan berturut-turut. Dan jika tidak sanggup, maka (digantikan dengan) memberikan makanan kepada 60 orang miskin 1 mud (secupak) untuk seorang.

Tentang menahan diri dari siang hari itu yang masih ada, maka mestilah terhadap orang yang berdosa dengan berbuka itu atau bersalah pada berbuka. Dan tidaklah mesti atas wanita yang haid apabila datang sucinya, menahan diri daripada sisa harinya itu. Dan tidak juga atas orang musafir apabila kembali dari bermusafir yang sampai dua marhalah itu dalam keadaan berbuka (tidak berpuasa).

Dan wajiblah menahan diri apabila naik saksi melihat bulan seorang yang ‘adil pada hari syak. Berpuasa ketika bermusafir adalah lebih utama daripada berbuka, kecuali apabila tidak sanggup. Dan jangan berbuka pada hari keluar bermusafir, di mana dia tadinya bermukim pada permulaan safarnya (perjalanannya). Dan jangan pula berbuka pada hari pulang, apabila ia datang dari perjalanan itu dengan berpuasa.

Tentang fidyah, maka wajiblah atas wanita hamil dan wanita yang menyusukan jika kedua-duanya berbuka kerana khuatir membawa kemelaratan kepada anak. Fidyah itu diwajibkan untuk setiap hari satu mud gandum (atau seumpamanya) untuk seorang miskin, serta mengqadhanya. Dan orang yang sudah terlalu tua, apabila tidak berpuasa maka bersedekahlah satu hari satu mud.

Adapun sunat, maka 6 perkara :

1. Mengemudiankan (melewatkan) sahur.

2. Menyegerakan berbuka puasa dengan tamar ataupun air sebelum solat (Maghrib).

3. Meninggalkan bersugi (menggosok gigi) sesudah zawal (gelincir matahari).

4. Bermurah hati dalam bulan Ramadhan, kerana kelebihan-kelebihannya yang sudah diterangkan pada (bab) zakat (dalam kitab Ihya’ ‘Ulumiddin ini) dahulu.

5. Bertadarus Al-Quran.

6. Beri’tikaf di dalam masjid, lebih-lebih lagi pada sepuluh (hari) terakhir daripada bulan Ramadhan, kerana yang demikian adalah kebiasaan Rasulullah saw.

“Adalah Rasulullah saw apabila masuk sepuluh (hari) yang akhir, maka (baginda) melipatkan tikar (menyimpan tempat tidur), mengikatkan pinggang dan telah membiasakan diri dan keluarganya sebegitu.” (Bukhari, Muslim)

Ertinya (baginda) berkekalan menegakkan ibadah, kerana pada sepuluh yang akhir itu terdapat Malam Al-Qadar. Dan yang lebih kerap kali, Lailatul Qadar itu (berlaku) pada malam yang ganjil daripada sepuluh (malam) yang akhir. Dan malam yang ganjil yang lebih mendekati ialah malam pertama (21), malam ketiga (23), malam kelima (25) dan malam ketujuh (27). Dan berturut-turut dalam beri’tikaf itu adalah lebih utama.

Jika bernazar hendak mengerjakan i’tikaf berturut-turut atau meniatkannya berturut-turut, nescaya terputuslah berturut-turutnya dengan keluar dari masjid tanpa ada kepentingan. Contohnya kalau ia keluar untuk menziarahi orang sakit, atau menjadi saksi, atau menghantarkan jenazah, atau berziarah, atau membaharukan bersuci. Dan jikalau keluar untuk membuang air, nescaya tidak putus i’tikafnya. Dan boleh ia berwudhuk di rumah dan tidak sayugianya ia meningkat kepada urusan lain.

“Adalah Nabi saw tidak keluar, kecuali untuk keperluan manusia (buang air besar atau kecil), Dan dia tidak bertanyakan dari hal orang sakit, kecuali melaluinya sahaja.” (Bukhari, Muslim)

Dan putuslah berturut-turut itu disebabkan bersetubuh. Dan tidak putus dengan berpeluk. Dan tidak mengapa di dalam masjid memakai bau-bauan, melakukan perkahwinan (aqad nikah), makan, tidur dan membasih tangan pada tempat membasuh tangan. Semuanya ini kadang-kadang diperlukan dalam melakukan iktikaf berturut-turut itu. Dan tidak terputus berturut-turut dengan mengeluarkan sebahagian badan.

“Adalah Nabi saw mendekatkan (mengeluarkan) kepalanya lalu disikat rambutnya oleh A’isyah, sedangkan A’isyah berada di dalam kamar (rumah Nabi yang terletak di samping masjid itu).” (Bukhari , Muslim)

Manakal orang yang melakukan i’tikaf (mu’takif) itu keluar untuk menunaikan keperluannya (buang air) lalu apabila ia kembali, seharusnyalah mengulang kembali niatnya. Kecuali apabila ia telah berniat pada mulanya 10 hari umpamanya. Meskipun begitu, yang lebih baik, niat itu diperbaharui.